Wednesday, November 19, 2008

Blogging... Mengapa?!


Tatkala melihat ramai ikhwah memiliki blog, terdetik juga rasa ingin memiliki blog seliaan sendiri. Walaupun pengetahuan berkaitan multimedia sangat kurang, namun ingin juga sekurang-kurangnya menumpahkan setiap rasa dan detik hati ke dalam bentuk tulisan. Sejak tahun pertama di universiti, saya ditugaskan mengeluarkan risalah untuk edaran pada setiap kali Jumaat. Mungkin sejak itu telah tercetus minat untuk menulis. Cuma biasanya setiap artikel lebih berbentuk ilmiah dan menggunakan kata ganti diri ketiga, sedangkan ada keinginan untuk ‘berbual’ dengan para pembaca, bentuk tulisan yang lebih ringan, natural dan datang dari hati.

Ketika mula mengenali buku-buku karangan seorang pendakwah terkenal, ‘Amru Khalid, saya sangat tersentuh dengan bahasa yang digunakan, kerana ia seolah-olah sedang berinteraksi dengan para pembaca. Bahasanya begitu lembut sehingga pembaca dapat merasakan kehadiran beliau di hadapan mereka. Sungguh, suatu sentuhan dakwah melalui penulisan yang sangat berkesan. Malah tidak sedikit mereka yang menghadiri kuliah pengajian beliau berubah kepada lebih baik pengamalan Islam mereka.

Kadang-kadang, ketika ada masa terluang, saya biasa menelusuri internet untuk melihat blog-blog yang sedia ada sebagai rujukan, atau sekadar memerhatikan tujuan seseorang membuat blognya sendiri. Di Malaysia saja, hampir setiap individu memiliki blog. Ada yang bermanfaat, dan tak kurang juga yang hanya diwujudkan untuk tujuan yang sia-sia dan tidak mendatangkan kebaikan untuk masyarakat. Malah ada juga blog, terutamanya yang dibina oleh golongan remaja seperti saya, yang menggunakan bahasa pasar dan ‘short form’ yang susah difahami. Walaupun mungkin ada isi yang boleh diambil dan buah berharga yang boleh dipetik, tapi unsur bahasa juga memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan mesej. Penggunaan bahasa murahan seperti ini sebenarnya merosakkan bahasa Melayu sendiri yang perit diperjuangkan oleh institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. (pada masa akan datang kita akan bicarakan bab ini lebih jauh :D)

Ada antara blog yang menyumbangkan manfaat dengan perbincangan-perbincangan yang membuka minda masyarakat, sama ada membincangkan isu semasa, masalah berkaitan ibadah harian, mahupun menyentuh sesuatu isu dari perspektif baru yang berbeza dari pendekatan lama yang biasa digunakan.

Malangnya ada juga sesetengah blog hanya bertujuan untuk menghina individu-individu tertentu, atau mempertahankan prinsip mereka dengan cara yang tidak ilmiah dan hikmah, sehingga menimbulkan kesan hati yang keras dek kerana terlalu biasa dengan pendekatan debat yang kurang adab. Sungguh, saya berasa kecewa benar saat membaca blog-blog seperti ini, sedangkan ada di antara pemilik blog tersebut adalah golongan yang memiliki ijazah dalam bidang agama dan akademik. Sepatutnya keintelektualan mereka didaya gunakan untuk sesuatu yang memberi sumbangan kepada masyarakat umum, bukan sebaliknya membawa mereka kepada bentuk pengeliruan yang lebih besar. Umat sekarang sungguh dahagakan ilmu dan kefahaman yang benar terhadap agama, namun golongan yang memiliki kesedaran dan menyumbangkan idea dan tenaga mereka untuk keperluan masyarakat tersebut masih dikira sangat sedikit.

Saya tidaklah tergolong dalam kalangan intelektual agama yang mampu memenuhi keperluan masyarakat, tapi insya ALLAH sedang dalam usaha ke arah itu. Jadi blog saya ini memiliki banyak kekurangan dan banyak pula posting yang tiada apa-apa pengisian pun, hanya sekadar ‘copy and paste’ ditambah sedikit ulasan menurut kaca mata pandangan saya sendiri yang banyak cacat lemahnya. Tapi cuba memastikan setiap pandangan itu (atau petikan pandangan dari blog lain) adalah bersandarkan kepada al-Quran dan Sunah.

Mengapa? Kerana pandangan manusia terkadang buta dan hanya mampu menilai sesuatu peristiwa seadanya, sedang dengan bersandarkan kaca mata pandangan Islam berdasarkan nas dan wahyu ILAHI, sudut pandang itu akan menjadi lebih luas.

Ambil saja contoh peperangan Badar al-Kubra sebagaimana yang ALLAH ungkapkan dalam al-Quran. Pada mulanya para sahabat diajak oleh baginda Nabi keluar dari Madinah untuk menahan kafilah perdagangan Abu Sufyan dan merampas semula barang-barang sahabat Muhajirin yang mereka ditinggalkan di Mekah ketika peristiwa hijrah. Namun di pertengahan jalan, Rasulullah mengkhabarkan bahawa peperangan akan tercetus kerana kaum kafir Quraisy telah menghantar pasukan tentera untuk membantu kafilah Abu Sufyan. Apa reaksi para sahabat?

Mereka membantahmu (wahai Nabi) tentang kebenaran setelah nyata (bahawa mereka pasti menang), seakan-akan mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat (sebab kematian itu).
(surah al-Anfal; 8:6)

Malah majoriti sahabat lebih suka andai mereka bertemu dengan kafilah perdagangan daripada bertembung dengan pasukan tentera, kerana kurangnya kelengkapan perang yang ada pada mereka ketika itu. Kebanyakan mereka juga tidak memiliki pengalaman perang yang mencukupi. Tapi kehendak ALLAH adalah berlainan dengan apa yang mereka harapkan;

Dan (ingatlah) ketika ALLAH menjanjikan kepadamu bahawa salah satu dari dua golongan (yang kamu hadapi) adalah untukmu, sedang kamu menginginkan bahawa yang tidak mempunyai kekuatan senjatalah (kafilah dagang) untukmu. Tetapi ALLAH hendak membenarkan yang benar dengan ayat-ayat NYA dan memusnahkan orang-orang kafir sampai ke akar-akarnya.
(surah al-Anfal; 8:7)

ALLAH berkehendak agar mereka bertembung dengan pasukan tentera Quraisy walaupun mereka tidak suka, kerana peperangan tentu berakibat kematian, sakit dan luka parah. Tapi mengapa ALLAH tetap mentakdirkan berlakunya peperangan?

Agar ALLAH memperkuat yang hak (Islam) dan menghilangkan yang batil (syirik) walaupun orang-orang yang berdosa itu (musyrik) tidak menyukainya.
(surah al-Anfal; 8:8)

Begitulah! Ketakutan dan kebencian para sahabat hanyalah kerana natijah yang mampu mereka lihat adalah untuk jangka masa pendek, sedangkan pengaturan ALLAH memberikan impak yang sangat besar dalam jangka masa panjang. Seandainya perang Badar tidak berlaku, maka pasti akan melambatkan gerakan dan perkembangan dakwah Islam ketika itu, dan seterusnya memberi kesan sehingga ke hari ini.

Kerana itu, setiap pandangan kita biarlah bersandarkan kepada kedua-dua sumber ini; al-Quran dan Sunnah, barulah akan terhindar dari mengeluarkan pandangan atas dasar emosi dan akal logik kita semata-mata yang tentunya penuh keterbatasan.

Semoga blog yang cuba dibangunkan ini adalah atas landasan ini, insya ALLAH, dan memberikan manfaat walaupun sedikit kepada sesiapa yang melayarinya.