Tuesday, December 23, 2008

Perhatian yang dialihkan

Sebuah berita yang ‘meletop’ dalam Tanah air dan hangat dibincangkan dalam beberapa hari ini. Kisah pernikahan seorang artis lelaki terkemuka tanah air. Tak sebut pun semua tahu.

“Kini tinggal ½ jam lagi sebelum waktu melafazkan akad nikah.” Lebih kurang begitulah ulasan pihak media yang dimasukkan ke dalam slot berita terkini sebuah media tempatan. Begitu hebatnya liputan media ke atas majlis pernikahan tersebut, sehingga setiap detik perlu dimaklumkan perkembangannya. Lama sebelum hari ‘bersejarah’ tersebut (mungkin perlu dimasukkan dalam silibus pengajaran subjek Sejarah sekolah menengah pada masa akan datang), pasangan ini begitu terkenal sehingga ketika kedua-duanya menghadiri kursus nikah juga perlu dilaporkan dalam akhbar. Ketikan-ketikan gambar dengan pelbagai posing seolah-olah sudah menikah, banyak disiarkan dalam akhbar dan majalah.

Jujur saja, saya rimas sangat dengan suasana kepedulian begini. Meluat dengan keprihatinan masyarakat yang teramat terhadap berita-berita begini, sedang pada masa yang sama, masih begitu banyak isu-isu kemasyarakatan dan isu umat Islam di pelbagai belahan dunia yang lebih patut mendapat perhatian.

Ke arah mana perhatian masyarakat kita telah dialihkan?

Dan orang-orang kafir berkata, “Janganlah kamu mendengar sungguh-sungguh al-Quran ini, dan buatlah hiruk-pikuk terhadapnya, agar kalian dapat mengalahkan (mereka).” (surah Fusshilat; 41:26).

Demikian adalah sikap masyarakat Quraisy ketika al-Quran dibacakan oleh baginda Nabi. Mereka membuat suara hiruk-pikuk dan kegaduhan untuk mengalihkan perhatian masyarakat Mekkah agar memalingkan diri dari baginda dan kemudian memberikan perhatian kepada perkara kesesatan yang akan mereka perkatakan.

Salah seorang yang memiliki sikap seperti ini ialah an-Nadhir. Dia ialah seorang Quraisy yang mempelajari kisah-kisah dongeng Parsi, kemudian disampaikan kepada penduduk Mekah untuk mengalihkan mereka dari mendengar al-Quran. Akhirnya dia dibunuh ketika menjadi tawanan perang Badar. ALLAH menyebut tentang sikapnya dalam al-Quran;

Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat KAMI, mereka berkata, “Sesungguhnya kami telah mendengar (ayat-ayat seperti ini). Kalau kami menghendaki, nescaya kami dapat menceitakan yang seperti ini pula. (al-Quran) ini tidak lain hanyalah dogengan orang purbakala.” (surah al-Anfal; 8:31)

Walaupun ayat ini diturunkan untuk menceritakan sikap orang kafir terhadap al-Quran pada lebih 1400 tahun yang lampau, tetapi warisannya masih dapat dilihat sehingga kini.

Lihat saja bagaimana perhatian kita dialihkan hanya dengan kisah-kisah artis yang digembar-gemburkan saban hari. Beli saja akhbar-akhbar tempatan, nescaya pasti akan ada sisipan khas untuk dunia hiburan.

Lihat saja hebahan luar biasa tatkala ada movie terbaru yang akan ditayangkan di pawagam. Tayangan trailer di TV, peraduan-peraduan berdasarkan movie tersebut, hadiah untuk kanak-kanak seperti patung watak utama, tawaran tiket percuma jika untuk pertandingan kuiz, dan seumpamanya. Segenap lapisan masyarakat diwarnai dengan kondisi ini. Tiada yang terlepas.

Akhirnya, berapa ramai yang masih konsisten dengan bacaan al-Quran, pengajian-pengajian hadith, amalan-amalan sunnah, solat tahajud, dhuha dan lain-lain. Ketika perhatian kita telah teralih kepada dunia hiburan yang merosakkan itu, bagaimana pula kita dapat menumpukan kepada amalan untuk akhirat kita?

Ayuh! Cukuplah! Janganlah kegaduhan dan hiruk pikuk seperti ini melalaikan kita lagi. Marilah melaungkan seruan dakwah sehingga kegaduhan ini dapat pula kita kalahkan!

Monday, December 15, 2008

Umat Terbaik!

Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia. (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada ALLAH. (surah Ali 'Imran; 3:110)

Sering ayat ini dikaitkan dengan insan yang digelar pendakwah. Dan terdapat sekian ayat dan hadith sohih lain yang menjadikan 'dakwah' sebagai topik perbahasan. Namun sering juga kemahuan beramal dengan tuntutan ayat tersebut dilaksanakan hanya oleh segelintir dari kalangan kita.

http://saifulislam.com/wp-content/uploads/2008/05/2616.jpg

Di sini saya membawakan sebuah kisah nyata yang dipetik dari buku karangan Dr Khalid bin Abdul Aziz al-Jubair. Mudah-mudahan menjadi motivasi perangsang semangat kita semua; anda dan saya, untuk menancapkan lagi tekad dan mengukuhkan semangat kita untuk tidak jemu menyebarkan risalah ALLAH ini, kendati pelbagai mehnah yang kita hadapi.

Seorang rakan yang bisa dipercayai menceritakan kepadaku,

Saya berdua bersama-sama sahabatku, pergi mendakwahi anak-anak muda di kafe, disko dan tempat-tempat lainnya yang biasa kami lakukan.

Kami berhenti di sebuah disko, yang terdengar lantunan nyanyian dari dalamnya. Kami mengetuk pintu dan pintu dibuka untuk kami.

Ketika kami memasuki ruangan tersebut, mereka berhenti bernyanyi untuk menghargai kami, akan tetapi salah seorang dari mereka tidak menyukai kedatangan kami, lalu melontarkan cacian, makian dan sumpah seranah, malah menghembuskan asap rokok ke arah kami.

Setelah kami menyampaikan segala apa yang mungkin, dengan takdir ALLAH, lalu kami beranjak keluar.

Sampai di luar, sahabatku belum mahu pergi. Ia berdiam di depan tempat hiburan tersebut. Saat aku bertanya kepadanya, untuk apa menunggu, ia menjawab, "Engkau akan tahu saat orang itu -yang mencaci maki tadi- keluar."

Setelah 2 jam menunggu, orang yang dimaksudkan oleh sahabatku itu tadi keluar. Sahabatku mendekatinya dan memberinya nasihat, akan tetapi orang tersebut meludahi wajahnya. Sahabatku mengusap ludah tersebut dari wajahnya dan berusaha memberinya nasihat lagi, dan justeru orang itu meludahinya lagi malah mendorongnya ke tepi.

Sahabatku mendekatiku dan memintaku untuk mengikuti orang tersebut. Lalu aku bertanya kepadanya, untuk apa? Ia berkata, "Kamu akan melihatnya esok."

Kami mengikuti orang tersebut untuk melihat tempat tinggalnya. Kami sepakat akan menunaikan solat Maghrib bersama-sama di masjid terdekat dengan tempat tinggalnya keesokan hari.

Esoknya, setelah menunaikan fardhu Maghrib, sahabatku pergi menuju rumah orang itu lalu mengetuk pintunya. Tatkala dia membuka pintu dan melihat sahabatku yang dayang, segera ia menderanya dengan cacian dan makian yang memerahkan telinga, akan tetapi cepat-cepat sahabatku memegang kepalanya dan menciumnya -sebuah ungkapan penghormatan dan tanda cinta bagi masyarakat arab- seraya meminta izin untuk berbicara 1/4 jam sahaja di dalam rumah. Sahabatku berhasil mengambil hati orang tersebut.

Kemudian mereka masuk ke dalam rumah dan aku mengiringi dari belakang. Sahabatku mulai memberikan saranan dan nasihat kepada orang tersebut. 10 minit kemudian, air mata kami bertiga menitis tak tertahankan.

Sahabatku meminta orang tersebut mandi dan berwudhu, kemudian kami menunaikan solat Isya bersama-sama di masjid berdekatan.

Setelah hari itu, orang tersebut selalu menjaga solatnya dengan baik.
...
Selanjutnya Dr Khalid menceritakan bahawa orang tersebut meninggal sesudah itu, yakni setelah ia kembali bertaubat dan istiqamah dalam agamanya. Sungguh, suatu hal yang menakjubkan. Bagaimana pula pengakhiran kita? Hanya ALLAH yang menyimpan rahsianya. Untuk itu, sentiasalah menjaga amal kita agar sentiasa istiqamah dalam kebaikan dan akhirnya mati dalam husnul khatimah.

Sebuah tauladan nyata yang amat berharga buat kita; bahawa tiada seorangpun yang memiliki suatu sifat agung, melainkan dakwahnya pasti berhasil, yakni kesabaran.

Dr Khalid bin Abdul Aziz al-Jubair, Kesaksian Seorang Doktor.

Tuesday, December 2, 2008

Bintang Tersenyum :-)

Sewaktu kecil, saya suka membaca buku yang dikarang oleh Isaac Asimov, yang saya pinjam dari perpustakaan utama di bandar tempat saya tinggal. Buku tersebut adalah serial buku yang menceritakan secara ringkas tentang setiap planet dalam sistem solar kita. Setiap minggu saya akan dapatkan siri seterusnya, planet Jupiter, Venus, Bumi, dan seterusnya sehingga habis kesemua 9 planet (pada waktu itu). Sehinggakan pustakawan yang menjaga kaunter pernah bertanya kepada saya, "Nak jadi ahli astronomi ke, besar nanti?"

Entahlah. Bukan kerana bercita-cita menjadi ahli kaji bintang setelah dewasa, tapi mungkin kerana minat terhadap alam mendorong saya untuk membaca bahan-bahan seperti itu, walaupun kebanyakan isinya tidak dapat saya hadam dan fahami dengan baik, malah banyak juga yang saya dah lupa. Namun pembacaan sedemikian dan fakta-fakta yang saya peroleh memberikan suatu kepuasan ketika itu.



Semalam, saya dan beberapa orang ikhwah menyaksikan Buletin Utama di TV3. Di penghujung rancangan, mereka menayangkan visual yang menarik; bulan yang sedang tersenyum! Ditambah dengan 'sepasang mata' menjadikannya kelihatan sangat hebat! Tapi malangnya, apabila kami meluru ke luar rumah untuk menghayatinya, tiada bulan yang kelihatan. Ish...ish... sedihnya.

Fenomena ini dikenali sebagai Triple Conjunction, dan jarang berlaku. Fenomena seperti ini sangat penting dan amat dihargai oleh ahli astronomi. Ia berlaku kerana masing-masing objek di angkasa mempunyai orbit peredarannya yang tersendiri. Sepasang mata yang kelihatan di atas bulan yang 'tersenyum' sebenarnya adalah planet Jupiter dan Venus. Subhanallah! Pengaturcaraan siapa lagi yang lebih daripada ALLAH! Sungguh, ini adalah salah satu dari sekian tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan kejituan DIA dalam mengatur segala sesuatu. Secara ringkasnya boleh dapatkan maklumat di Jogja Astro Club.


Sejak dari awal lagi, ALLAH Ta'ala memerintahkan kita untuk memerhatikan alam dan pelbagai fenomenanya sebagai salah satu sarana meningkatkan iman. Malah hal itu akan lebih membekas dalam jiwa golongan yang memahaminya dengan lebih detail. Kerana itu golongan berilmu dan bertambah imannya kerana ilmu tersebut, diangkat darjatnya oleh ALLAH.

Yang menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu tidak akan melihat sesuatu yang tidak seimbang pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pengasih. Maka lihatlah sekali lagi, adakah kamu daat melihat sesuatu yang cacat? Kemudian, ulangi pandangan(mu) sekali lagi (dan) sekali lagi, nescaya pandanganmu akan kembali kepadamu tanpa menemukan cacat, dan ia (pandanganmu) dalam keadaan letih. (surah al-Mulk; 67:3-4)

Tatkala melihat alam dan memikirkan keunikan yang ia tunjukkan, nescaya jiwa kita akan tercetus sebuah rasa, betapa Agungnya dan Maha Berkuasanya ALLAH. Dengan itu, iman juga makin mengakar kuat dalam diri, kerana tanda-tanda yang nampak jelas di mata, tinggal lagi adakah kita memerhatikan atau tidak mengambil endah dengan semua itu.

Antara pelajaran terbesar yang dapat kita peroleh dari alam, ialah ketaatan mereka yang mutlak kepada Sang Pencipta.

(DIA ciptakan) matahari, bulan dan bintang-bintang tunduk kepada perintah-NYA. Ingatlah! Segala penciptaan dan urusan menjadi hak-NYA. Maha Suci ALLAH, Tuhan seluruh alam. (surah al-A'raf; 7:54)

Kemudian DIA menuju ke langit, dan (langit ketika) itu masih berupa asap, lalu DIA berfirman kepadanya dan kepada Bumi, "Datanglah kamu berdua menurut perintah-KU dengan patuh atau terpaksa." Kedua-duanya menjawab, "Kami datang dengan patuh." (surah Fusshilat; 41:11)

Bagaimana dengan kita? Mungkin sebagai refleksi yang baik untuk mengevaluasi sikap kita terhadap perintah dan larangan ALLAH selama ini. Adakah kita juga mampu menjawab sebagaimana jawapan langit dan Bumi, "Kami datang dengan patuh." ???

Hadith Jabir Tentang Haji Rasulullah

Sekarang adalah musim haji. Berduyun-duyun kaum Muslimin dari serata dunia menuju ke tempat yang sama untuk menunaikan ibadah yang sangat besar nilainya ini. Namun saya bukanlah ingin membincangkan tentang hukum-hakam berkaitan ibadah haji, malah saya juga belum mempunyai pengalaman melaksanakannya. Sekadar berkongsi sebuah hadith yang tinggi nilainya di sisi ulama, kerana ia membincangkan tentang praktikal haji baginda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Hadith ini diriwayatkan oleh sahabat Jabir bin Abdillah, anak kepada sahabat Abdullah bin Jubair, panglima yang mengetuai pasukan pemanah dalam perang Uhud, dan akhirnya menggapai syahid. Hadith ini sangat bernilai (dan agak panjang juga), kerana daripadanya para ulama mengistinbathkan pelbagai hukum berkaitan ibadah haji. Sekadar perkongsian, agar minimum kita mengetahui sumber yang menjadi pegangan kita dalam beramal ibadah, juga menghayati bagaimana baginda Nabi dan para sahabat menunaikan fardhu haji.



Imam Muslim di dalam sohihnya meriwayatkan dari Jabir radhiallahu ‘anhu:

Selama 9 tahun Rasulullah tidak menunaikan haji. Kemudian pada tahun ke-10 hijrah, diisytiharkan kepada orang ramai bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam akan menunaikan haji. Maka ramai manusia datang berkumpul di Madinah. Mereka ingin menyempurnakannya bersama-sama Rasulullah dan melakukannya seperti yang baginda lakukan. Lalu kami keluar bersama baginda sehingga sampai di Zulhulaifah. Di situ Asma binti Umais melahirkan Muhammad bin Abu Bakr; lalu beliau menghantar utusan menemui Rasulullah bertanya, “Apa yang perlu aku lakukan?”

Jawab baginda, “Mandilah, sumbatlah, (disumbat sesuatu di tengah, kemudian diambil kain yang panjang, diletakkan di tempat darah dan diikatkan kedua belahannya, di hadapan dan belakang untuk mengelakkan darah mengalir) ikatlah dengan kain dan berihramlah.

Lalu Rasulullah solat di masjid, kemudian menuggang al-Qaswa (nama unta baginda). Apabila sampai di al-Baida’, aku melihat dihadapanku sejauh mata memandang terdapat penunggang unta dan pejalan kaki. Di sebelah kanan baginda juga begitu, demikian di sebelah kiri dan di belakangnya. Ketika itu Rasulullah berada di tengah-tengha kami, dan al-Quran diturunkan kepada baginda. Dialah yang mengetahui takwilnya. Apa-apa yang baginda lakukan, kami turut melakukannya, lalu baginda mengangkat suara bertalbiyah:

Labbaikallahumma labbaik. Labbaika la syarika laka labbaika. Innal hamda wan ni’mata laka wal mulk. La syarika laka. (Ya ALLAH! Aku datang kepadaMU, aku datang kepadaMU, dan tiada sekutu bagiMU, aku datang kepadaMU. Sesungguhnya pujian, kenikmatan dan kekuasaan milikMU, tiada sekutu bagiMU)

Maka orang ramai bertalbiah dengan talbiah ini, dan Rasulullah tidak melarang tindakan mereka. Rasulullah sentiasa bertalbiah. Jabir berkata, “Kami tidak berniat kecuali haji, dan kami tidak tahu umrah. Sehinggalah kami sampai ke Baitullah bersama baginda, baginda mencium rukun Hajarul Aswad, berlari-lari anak 3 kali dan berjalan kaki 4 kali (pusingan tawaf). Kemudian baginda pergi ke maqam Ibrahim dan membaca,

Dan jadikanlah maqam Ibrahim itu sebagai tempat solat. (surah al-Baqarah; 2:125)

Kemudian baginda solat dengan menjadikan maqam berada di antara baginda dan Baitullah (maqam di tengah). Baginda membaca dalam 2 rakaat tersebut; Qul huwallahu Ahad (surah al-Ikhlas) dan Qul ya ayyuhal Kaafirun (surah al-Kaafirun). Kemudian baginda kembali ke rukun Hajarul Aswad lalu menciumnya. Kemudian baginda keluar ke pintu menuju bukit Shofa. Apabila hampir ke Shofa, baginda membaca,

Sesungguhnya as-Shofa dan al-Marwah itu adalah sebahagian dari syi’ar agama ALLAH. (surah al-Baqarah; 2:158).

Baginda berkata, “Aku memulakan dengan apa yang dimulakan ALLAH.” Lalu memulakannya (sa’i) dengan Shofa dan memanjatnya sehingga nampak Baitullah, lalu menghadap kiblat dan dan mentauhidkan ALLAH dan bertakbir. Baginda berkata, “Tidak ada tuhan melainkan ALLAH yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-NYA. Bagi-NYA lah kerajaan dan pujian, dan DIA Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Tidak ada tuhan melainkan ALLAH yang Maha Esa, yang telah membenarkan janji-NYA, membantu hamba-NYA, dan mengalahkan tentera Ahzab dengan seorang diri.

Kemudian baginda berdoa di antara Shofa dan Marwah. Baginda mengucapkan doa tersebut sebanyak 3 kali. Kemudian baginda turun menuju ke Marwah. Di Marwah, baginda melakukan apa yang telah dilakukan di Shofa, sehingga apabila sampai di tengah wadi (lembah), baginda berlari anak. Apabila kami menaiki lembah, baginda berjalan sehingga sampai di Marwah. Baginda melakukan di Marwah apa yang dilakukan di atas Shofa, sehingga pada akhir tawafnya di atas Marwah, baginda bersabda,

Jika aku tahu sejak awal lagi, nescaya aku tidak akan membawa al-hadyu (binatang yang disembelih oleh orang yang mengerjakan haji), dan aku akan menukarkan hajiku ini kepada umrah. Sesiapa dalam kalangan kalian tidak mempunyai binatang sembelihan, maka dia hendaklah bertahallul dan menjadikannya umrah. Lalu Suraqah bin Malik bin Ju’syum bangun dan berkata, “Wahai Rasulullah! Apakah untuk tahun ini sahaja atau untuk selama-lamanya?” Lalu Nabi memasukkan jarinya ke dalam jari yang lain, sabda baginda, “Umrah masuk ke dalam haji, umrah masuk ke dalam haji. Bahkan ia adalah untuk selama-lamanya.

Ali datang dari Yaman dengan membawa unta Rasulullah. Beliau mendapati Fatimah dalam kalangan mereka yang bertahallul, memakai pakaian yang bercelup (berwarna) dan bercelak. Maka beliau menegur perbuatannya itu. Fatimah menjawab, “Sesungguhnya bapaku memerintahkanku melakukan ini.”

Dia (Jabir) berkata: Ali pernah bercerita di Iraq, Aku pergi menemui Rasulullah untuk menceritakan teguranku terhadap Fatimah disebabkan apa yang telah dia lakukan (tahallul), di samping untuk meminta fatwa terhadap apa yang berlaku. Aku memberitahu baginda bahwa aku tidak bersetuju dengan tindakannya itu. Baginda bersabda, “Dia benar, dia benar. Apakah yang kamu katakan sewaktu mula mengerjakan haji?” katanya, saya (Ali) berkata, Aku berkata, ‘Ya ALLAH! Sesungguhnya aku berniat haji dengan apa yang diniatkan oleh Rasulullah.’ Sabda baginda, “Sesungguhnya bersama-samaku ada binatang sembelihan, maka janganlah kamu bertahallul.

Jabir menceritakan lagi: Jumlah orang yang mempunyai binatang sembelihan yang dibawa oleh Ali dari Yaman, dan juga binatang sembelihan yang dibawa oleh Rasulullah ialah 100 ekor. Kata Jabir: Orang ramai semuanya bertahallul dan bercukur kecuali Nabi dan mereka yang memiliki al-hadyu. Pada hari tarwiyyah (8 Zulhijjah), mereka menuju ke Mina dan bertalbiah dengan talbiah haji. Rasulullah menunggang tunggangannya. Di sana mereka solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Kemudian mereka menunggu seketika sehingga terbit matahari. Baginda mengarahkan supaya dibina khemah berbentuk kubah untuknya di Namirah. Lalu Rasulullah berjalan dan orang-orang Quraisy percaya bahawa baginda hanya akan wuquf di al-Masy’aril Haram (bukit kecil di hujung Muzdalifah) sebagaimana yang dilakukan kaum Quraisy pada zaman Jahiliyyah. Tetapi Rasulullah terus bergerak sehingga sampai di Arafah. Di sana baginda mendapati kubah telah dibuat untuknya di Namirah. Baginda berada di situ sehingga tergelincir matahari. Baginda meminta supaya al-Qaswa (unta Nabi) dibawa dan dipersiapkan untuk ditunggang. Baginda pergi ke tengah-tengah lembah dan berkhutbah kepada orang ramai,

Sesungguhnya darah dan harta kalian haram (kehormatan yang tidak boleh dicerobohi) ke atas kalian, sebagaiman haramnya hari ini pada bulan ini di negeri ini. Ingatlah semua perkara jahiliyyah sekarang berada di bawah kedua-dua tapak kakiku (ditinggalkan dan batil). Pertumpahan darah secara jahiliyyah juga adalah batil. Sesungguhnya darah pertama dalam kalangan kita yang ditumpahkan secara batil ialah darah Ibnu Rabi’ah bin al-Harith yang telah menyusu di Bani Saad dan dibunuh oleh Huzail. Riba jahiliyyah juga adalah batil. Riba pertama yang aku batilkan ialah riba bapa saudaraku, al-Abbas bin Abdul Muthalib. Sesungguhnya semua itu adalah batil dan tidak boleh diterima.

Bertaqwalah kepada ALLAH dalam mengendalikan urusan wanita. Sesungguhnya kalian telah mengambil mereka berdasarkan amanah ALLAH. Kamu menghalalkan kemaluan mereka menggunakan kalimah ALLAH. Hak kamu yang mesti mereka tunaikan ialah tidak membenarkan tempat tidur kamu dipijak oleh orang yang tidak kamu sukai. Sekiranya mereka melakukannya, maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukakan. Hak mereka yang mesti kamu tunaikan ialah memberi rezeki dan pakaian dengan baik.

Sesungguhnya aku telah tinggalkan untuk kalian sesuatu yang kalian tidak akan sesat selepasku jika kalian berpegang dengannya iaitu kitab ALLAH. Kalian akan ditanya tentang aku, apakah jawapan kalian? Mereka (para sahabat) menjawab, “Kami menyaksikan bahawa sesungguhnya kamu telah menyampaikan, melaksanakan dan menasihatkan.” Sabda baginda sambil mengangkat jari telunjuknya kepada manusia, dan menggerak-gerakkannya, “Ya ALLAH! Saksikanlah, ya ALLAH! Saksikanlah. (diulang 3 kali).”

Kemudian diazankan, diiqamahkan dan ditunaikan solat Zuhur. Selepas itu diiqamahkan dan ditunaikan solat Asar, dan tidak dilakukan sebarang solatpun di antara kedua-duanya. Kemudian Rasulullah menunggang sehingga sampai ke tempat wuquf dan meletakkan perut untanya al-Qaswa (mendudukkannya) di batu-batu kecil, dan meletakkan simpulan tali di hadapannya. Baginda menghadap kiblat. Baginda terus wuquf sehingga matahari tenggelam, dan bulatan warna kekuningan di ufuk menghilangkan diri.

Rasulullah menunggangkan Usamah (bin Zaid bin Harithah) di belakang. Baginda menolak tunggangannya (menyuruh bangun), sedangkan al-Qaswa berasa sempit haluannya sehingga kepalanya menyentuh tempat meletakkan kaki penunggang (dekat leher unta). Baginda berkata sambil mengisyaratkan dengan tangan kanannya, “Wahai manusia! Bertenanglah, bertenanglah.” Setiap kali ada tunggangan yang ingin bangun, diberikan sedikit laluan agar ia dapat bangun.

Baginda mula bergerak sehingga sampai ke Muzdalifah. Di sana, baginda solat Maghrib dan Isyak dengan satu azan dia iqamah (Jama’ ta`khir), tiada tasbih di antara kedua-duanya. Kemudian Rasulullah berbaring sehingga terbit fajar. Baginda solat Subuh apabila masuk waktu Subuh dengan satu azan dan iqamah. Kemudian baginda menunggang al-Qaswa sehingga sampai di al-Masy’aril Haram. Baginda menghadap kiblat sambil berdoa, bertakbir, bertahlil dan mentauhidkan ALLAH. Baginda terus berada di situ sehingga hari betul-betul terang (tetapi sebelum terbit matahari).

Kemudian baginda bertolak sebelum matahari terbit. Al-Fadhlu bin Abbas menunggang bersama-sama baginda. Beliau adalah lelaki yang cantik rambutnya, berkulit putih dan segak. Ketika baginda bertolak, lalu di hadapannya unta yang ditunggangi oleh wanita, lalu al-Fadhlu melihat kepada mereka. Lantas Rasulullah meletakkan tangan baginda pada muka al-Fadhlu untuk menutup pandangannya daripada wanita tersebut. Mereka meneruskan perjalanan sehingga sampai ke lembah Muhassir. Kemudian baginda bergerak sedikit, lalu melalui jalan tengah dan keluar di Jamratul Kubra (Aqabah). Sehingga apabila sampai di Jamrah yang terletak berdekatan dengan pokok, baginda melontar 7 biji batu. Baginda bertakbir setiap kali melakukan lontaran. Batu itu sebesar batu kecil dan dilontarkan dari tengah wadi (lembah). Kemudian baginda pergi ke tempat sembelihan dan menyembelih sendiri 63 ekor sembelihan. Kemudian baginda menyerahkan kepada Ali untuk menyembelih bakinya, dan berkongsi dengannya dalam sembelihan itu. Kemudianbaginda mengambil beberapa ketul daging daripada setiap unta itu, lalu dimasak. Baginda memakan dagingnya dan menghirup kuahnya. Kemudian baginda melakukan tawaf ifadhah (tawaf rukun) di Baitullah, dan solat Zuhur di Mekah.

Baginda menemui Bani Abdul Muthalib yang sedang memberi minum air zamzam kepada orang ramai, lalu berkata, “Ceduklah, wahai bani Abdul Muthalib! Kalaulah bukan disebabkan bimbang kalian dikalahkan oleh ramai manusia (iaitu, bimbang manusia akan menganggap menceduk itu termasuk amalan haji, lalu berebut menceduknya sendiri dan menyebabkan terabai khidmat bani Abdul Muthalib tersebut), nescaya aku akan menceduknya sendiri (kerana besarnya fadhilat menceduk).” Lalu mereka menceduknya untuk Rasulullah dan baginda meminumnya.

Demikian hadis Jabir. Begitu banyak manfaat yang boleh kita peroleh sama ada berkaitan haji ataupun hukum-hakam lain. Antara yang sangat penting untuk kita perhatikan dan contohi, ialah semangat para sahabat dalam melakukan ibadah, juga semangat mereka dalam memelihara asholah ibadah dengan benar-benar memerhatikan bagaimana praktikal baginda Nabi melakukannya. Kerana mereka tahu, tiada cara ibadah terbaik melainkan yang menyamai perbuatan baginda. Lalu bagaimana kita? Penuhilah jiwa kita dengan cinta kepada baginda dengan mengikuti sunnah dan contoh kehidupan baginda dalam setiap segi kehidupan kita, kerana ia adalah salah satu syarat mendapat cinta ALLAH. Katakanlah (wahai Nabi), “Jika kalian mencintai ALLAH, maka ikutilah aku, nescaya ALLAH akan mencintai kalian, dan mengampunkan dosa-dosa kalian.” ALLAH Maha Pengampun, Maha Penyayang. (surah Ali Imran; 3:31)