Sekarang adalah musim haji. Berduyun-duyun kaum Muslimin dari serata dunia menuju ke tempat yang sama untuk menunaikan ibadah yang sangat besar nilainya ini. Namun saya bukanlah ingin membincangkan tentang hukum-hakam berkaitan ibadah haji, malah saya juga belum mempunyai pengalaman melaksanakannya. Sekadar berkongsi sebuah hadith yang tinggi nilainya di sisi ulama, kerana ia membincangkan tentang praktikal haji baginda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.
Hadith ini diriwayatkan oleh sahabat Jabir bin Abdillah, anak kepada sahabat Abdullah bin Jubair, panglima yang mengetuai pasukan pemanah dalam perang Uhud, dan akhirnya menggapai syahid. Hadith ini sangat bernilai (dan agak panjang juga), kerana daripadanya para ulama mengistinbathkan pelbagai hukum berkaitan ibadah haji. Sekadar perkongsian, agar minimum kita mengetahui sumber yang menjadi pegangan kita dalam beramal ibadah, juga menghayati bagaimana baginda Nabi dan para sahabat menunaikan fardhu haji.
Imam Muslim di dalam sohihnya meriwayatkan dari Jabir radhiallahu ‘anhu:
Selama 9 tahun Rasulullah tidak menunaikan haji. Kemudian pada tahun ke-10 hijrah, diisytiharkan kepada orang ramai bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam akan menunaikan haji. Maka ramai manusia datang berkumpul di Madinah. Mereka ingin menyempurnakannya bersama-sama Rasulullah dan melakukannya seperti yang baginda lakukan. Lalu kami keluar bersama baginda sehingga sampai di Zulhulaifah. Di situ Asma binti Umais melahirkan Muhammad bin Abu Bakr; lalu beliau menghantar utusan menemui Rasulullah bertanya, “Apa yang perlu aku lakukan?”
Jawab baginda, “
Mandilah, sumbatlah, (disumbat sesuatu di tengah, kemudian diambil kain yang panjang, diletakkan di tempat darah dan diikatkan kedua belahannya, di hadapan dan belakang untuk mengelakkan darah mengalir)
ikatlah dengan kain dan berihramlah.”
Lalu Rasulullah solat di masjid, kemudian menuggang al-Qaswa (nama unta baginda). Apabila sampai di al-Baida’, aku melihat dihadapanku sejauh mata memandang terdapat penunggang unta dan pejalan kaki. Di sebelah kanan baginda juga begitu, demikian di sebelah kiri dan di belakangnya. Ketika itu Rasulullah berada di tengah-tengha kami, dan al-Quran diturunkan kepada baginda. Dialah yang mengetahui takwilnya. Apa-apa yang baginda lakukan, kami turut melakukannya, lalu baginda mengangkat suara bertalbiyah:
Labbaikallahumma labbaik. Labbaika la syarika laka labbaika. Innal hamda wan ni’mata laka wal mulk. La syarika laka. (Ya ALLAH! Aku datang kepadaMU, aku datang kepadaMU, dan tiada sekutu bagiMU, aku datang kepadaMU. Sesungguhnya pujian, kenikmatan dan kekuasaan milikMU, tiada sekutu bagiMU)
Maka orang ramai bertalbiah dengan talbiah ini, dan Rasulullah tidak melarang tindakan mereka. Rasulullah sentiasa bertalbiah. Jabir berkata, “Kami tidak berniat kecuali haji, dan kami tidak tahu umrah. Sehinggalah kami sampai ke Baitullah bersama baginda, baginda mencium rukun Hajarul Aswad, berlari-lari anak 3 kali dan berjalan kaki 4 kali (pusingan tawaf). Kemudian baginda pergi ke maqam Ibrahim dan membaca,
Dan jadikanlah maqam Ibrahim itu sebagai tempat solat. (surah al-Baqarah; 2:125)
Kemudian baginda solat dengan menjadikan maqam berada di antara baginda dan Baitullah (maqam di tengah). Baginda membaca dalam 2 rakaat tersebut; Qul huwallahu Ahad (surah al-Ikhlas) dan Qul ya ayyuhal Kaafirun (surah al-Kaafirun). Kemudian baginda kembali ke rukun Hajarul Aswad lalu menciumnya. Kemudian baginda keluar ke pintu menuju bukit Shofa. Apabila hampir ke Shofa, baginda membaca,
Sesungguhnya as-Shofa dan al-Marwah itu adalah sebahagian dari syi’ar agama ALLAH. (surah al-Baqarah; 2:158).
Baginda berkata, “
Aku memulakan dengan apa yang dimulakan ALLAH.” Lalu memulakannya (sa’i) dengan Shofa dan memanjatnya sehingga nampak Baitullah, lalu menghadap kiblat dan dan mentauhidkan ALLAH dan bertakbir. Baginda berkata, “
Tidak ada tuhan melainkan ALLAH yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-NYA. Bagi-NYA lah kerajaan dan pujian, dan DIA Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Tidak ada tuhan melainkan ALLAH yang Maha Esa, yang telah membenarkan janji-NYA, membantu hamba-NYA, dan mengalahkan tentera Ahzab dengan seorang diri.”
Kemudian baginda berdoa di antara Shofa dan Marwah. Baginda mengucapkan doa tersebut sebanyak 3 kali. Kemudian baginda turun menuju ke Marwah. Di Marwah, baginda melakukan apa yang telah dilakukan di Shofa, sehingga apabila sampai di tengah wadi (lembah), baginda berlari anak. Apabila kami menaiki lembah, baginda berjalan sehingga sampai di Marwah. Baginda melakukan di Marwah apa yang dilakukan di atas Shofa, sehingga pada akhir tawafnya di atas Marwah, baginda bersabda,
Jika aku tahu sejak awal lagi, nescaya aku tidak akan membawa al-hadyu (binatang yang disembelih oleh orang yang mengerjakan haji),
dan aku akan menukarkan hajiku ini kepada umrah. Sesiapa dalam kalangan kalian tidak mempunyai binatang sembelihan, maka dia hendaklah bertahallul dan menjadikannya umrah. Lalu Suraqah bin Malik bin Ju’syum bangun dan berkata, “Wahai Rasulullah! Apakah untuk tahun ini sahaja atau untuk selama-lamanya?” Lalu Nabi memasukkan jarinya ke dalam jari yang lain, sabda baginda, “
Umrah masuk ke dalam haji, umrah masuk ke dalam haji. Bahkan ia adalah untuk selama-lamanya.”
Ali datang dari Yaman dengan membawa unta Rasulullah. Beliau mendapati Fatimah dalam kalangan mereka yang bertahallul, memakai pakaian yang bercelup (berwarna) dan bercelak. Maka beliau menegur perbuatannya itu. Fatimah menjawab, “Sesungguhnya bapaku memerintahkanku melakukan ini.”
Dia (Jabir) berkata: Ali pernah bercerita di Iraq, Aku pergi menemui Rasulullah untuk menceritakan teguranku terhadap Fatimah disebabkan apa yang telah dia lakukan (tahallul), di samping untuk meminta fatwa terhadap apa yang berlaku. Aku memberitahu baginda bahwa aku tidak bersetuju dengan tindakannya itu. Baginda bersabda, “
Dia benar, dia benar. Apakah yang kamu katakan sewaktu mula mengerjakan haji?” katanya, saya (Ali) berkata, Aku berkata, ‘Ya ALLAH! Sesungguhnya aku berniat haji dengan apa yang diniatkan oleh Rasulullah.’ Sabda baginda, “
Sesungguhnya bersama-samaku ada binatang sembelihan, maka janganlah kamu bertahallul.”
Jabir menceritakan lagi: Jumlah orang yang mempunyai binatang sembelihan yang dibawa oleh Ali dari Yaman, dan juga binatang sembelihan yang dibawa oleh Rasulullah ialah 100 ekor. Kata Jabir: Orang ramai semuanya bertahallul dan bercukur kecuali Nabi dan mereka yang memiliki al-hadyu. Pada hari tarwiyyah (8 Zulhijjah), mereka menuju ke Mina dan bertalbiah dengan talbiah haji. Rasulullah menunggang tunggangannya. Di sana mereka solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Kemudian mereka menunggu seketika sehingga terbit matahari. Baginda mengarahkan supaya dibina khemah berbentuk kubah untuknya di Namirah. Lalu Rasulullah berjalan dan orang-orang Quraisy percaya bahawa baginda hanya akan wuquf di al-Masy’aril Haram (bukit kecil di hujung Muzdalifah) sebagaimana yang dilakukan kaum Quraisy pada zaman Jahiliyyah. Tetapi Rasulullah terus bergerak sehingga sampai di Arafah. Di sana baginda mendapati kubah telah dibuat untuknya di Namirah. Baginda berada di situ sehingga tergelincir matahari. Baginda meminta supaya al-Qaswa (unta Nabi) dibawa dan dipersiapkan untuk ditunggang. Baginda pergi ke tengah-tengah lembah dan berkhutbah kepada orang ramai,
Sesungguhnya darah dan harta kalian haram (kehormatan yang tidak boleh dicerobohi)
ke atas kalian, sebagaiman haramnya hari ini pada bulan ini di negeri ini. Ingatlah semua perkara jahiliyyah sekarang berada di bawah kedua-dua tapak kakiku (ditinggalkan dan batil)
. Pertumpahan darah secara jahiliyyah juga adalah batil. Sesungguhnya darah pertama dalam kalangan kita yang ditumpahkan secara batil ialah darah Ibnu Rabi’ah bin al-Harith yang telah menyusu di Bani Saad dan dibunuh oleh Huzail. Riba jahiliyyah juga adalah batil. Riba pertama yang aku batilkan ialah riba bapa saudaraku, al-Abbas bin Abdul Muthalib. Sesungguhnya semua itu adalah batil dan tidak boleh diterima. Bertaqwalah kepada ALLAH dalam mengendalikan urusan wanita. Sesungguhnya kalian telah mengambil mereka berdasarkan amanah ALLAH. Kamu menghalalkan kemaluan mereka menggunakan kalimah ALLAH. Hak kamu yang mesti mereka tunaikan ialah tidak membenarkan tempat tidur kamu dipijak oleh orang yang tidak kamu sukai. Sekiranya mereka melakukannya, maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukakan. Hak mereka yang mesti kamu tunaikan ialah memberi rezeki dan pakaian dengan baik. Sesungguhnya aku telah tinggalkan untuk kalian sesuatu yang kalian tidak akan sesat selepasku jika kalian berpegang dengannya iaitu kitab ALLAH. Kalian akan ditanya tentang aku, apakah jawapan kalian? Mereka (para sahabat) menjawab, “Kami menyaksikan bahawa sesungguhnya kamu telah menyampaikan, melaksanakan dan menasihatkan.” Sabda baginda sambil mengangkat jari telunjuknya kepada manusia, dan menggerak-gerakkannya,
“Ya ALLAH! Saksikanlah, ya ALLAH! Saksikanlah. (diulang 3 kali)
.” Kemudian diazankan, diiqamahkan dan ditunaikan solat Zuhur. Selepas itu diiqamahkan dan ditunaikan solat Asar, dan tidak dilakukan sebarang solatpun di antara kedua-duanya. Kemudian Rasulullah menunggang sehingga sampai ke tempat wuquf dan meletakkan perut untanya al-Qaswa (mendudukkannya) di batu-batu kecil, dan meletakkan simpulan tali di hadapannya. Baginda menghadap kiblat. Baginda terus wuquf sehingga matahari tenggelam, dan bulatan warna kekuningan di ufuk menghilangkan diri.
Rasulullah menunggangkan Usamah (bin Zaid bin Harithah) di belakang. Baginda menolak tunggangannya (menyuruh bangun), sedangkan al-Qaswa berasa sempit haluannya sehingga kepalanya menyentuh tempat meletakkan kaki penunggang (dekat leher unta). Baginda berkata sambil mengisyaratkan dengan tangan kanannya, “
Wahai manusia! Bertenanglah, bertenanglah.” Setiap kali ada tunggangan yang ingin bangun, diberikan sedikit laluan agar ia dapat bangun.
Baginda mula bergerak sehingga sampai ke Muzdalifah. Di sana, baginda solat Maghrib dan Isyak dengan satu azan dia iqamah (Jama’ ta`khir), tiada tasbih di antara kedua-duanya. Kemudian Rasulullah berbaring sehingga terbit fajar. Baginda solat Subuh apabila masuk waktu Subuh dengan satu azan dan iqamah. Kemudian baginda menunggang al-Qaswa sehingga sampai di al-Masy’aril Haram. Baginda menghadap kiblat sambil berdoa, bertakbir, bertahlil dan mentauhidkan ALLAH. Baginda terus berada di situ sehingga hari betul-betul terang (tetapi sebelum terbit matahari).
Kemudian baginda bertolak sebelum matahari terbit. Al-Fadhlu bin Abbas menunggang bersama-sama baginda. Beliau adalah lelaki yang cantik rambutnya, berkulit putih dan segak. Ketika baginda bertolak, lalu di hadapannya unta yang ditunggangi oleh wanita, lalu al-Fadhlu melihat kepada mereka. Lantas Rasulullah meletakkan tangan baginda pada muka al-Fadhlu untuk menutup pandangannya daripada wanita tersebut. Mereka meneruskan perjalanan sehingga sampai ke lembah Muhassir. Kemudian baginda bergerak sedikit, lalu melalui jalan tengah dan keluar di Jamratul Kubra (Aqabah). Sehingga apabila sampai di Jamrah yang terletak berdekatan dengan pokok, baginda melontar 7 biji batu. Baginda bertakbir setiap kali melakukan lontaran. Batu itu sebesar batu kecil dan dilontarkan dari tengah wadi (lembah). Kemudian baginda pergi ke tempat sembelihan dan menyembelih sendiri 63 ekor sembelihan. Kemudian baginda menyerahkan kepada Ali untuk menyembelih bakinya, dan berkongsi dengannya dalam sembelihan itu. Kemudianbaginda mengambil beberapa ketul daging daripada setiap unta itu, lalu dimasak. Baginda memakan dagingnya dan menghirup kuahnya. Kemudian baginda melakukan tawaf ifadhah (tawaf rukun) di Baitullah, dan solat Zuhur di Mekah.
Baginda menemui Bani Abdul Muthalib yang sedang memberi minum air zamzam kepada orang ramai, lalu berkata, “
Ceduklah, wahai bani Abdul Muthalib! Kalaulah bukan disebabkan bimbang kalian dikalahkan oleh ramai manusia (iaitu, bimbang manusia akan menganggap menceduk itu termasuk amalan haji, lalu berebut menceduknya sendiri dan menyebabkan terabai khidmat bani Abdul Muthalib tersebut),
nescaya aku akan menceduknya sendiri (kerana besarnya fadhilat menceduk).” Lalu mereka menceduknya untuk Rasulullah dan baginda meminumnya.

Demikian hadis Jabir. Begitu banyak manfaat yang boleh kita peroleh sama ada berkaitan haji ataupun hukum-hakam lain. Antara yang sangat penting untuk kita perhatikan dan contohi, ialah semangat para sahabat dalam melakukan ibadah, juga semangat mereka dalam memelihara asholah ibadah dengan benar-benar memerhatikan bagaimana praktikal baginda Nabi melakukannya. Kerana mereka tahu, tiada cara ibadah terbaik melainkan yang menyamai perbuatan baginda. Lalu bagaimana kita? Penuhilah jiwa kita dengan cinta kepada baginda dengan mengikuti sunnah dan contoh kehidupan baginda
dalam setiap segi kehidupan kita, kerana ia adalah salah satu syarat mendapat cinta ALLAH. Katakanlah (wahai Nabi), “Jika kalian mencintai ALLAH, maka ikutilah aku, nescaya ALLAH akan mencintai kalian, dan mengampunkan dosa-dosa kalian.” ALLAH Maha Pengampun, Maha Penyayang. (surah Ali Imran; 3:31)