Wednesday, April 29, 2009

Etika Berdoa

Minggu ini masih minggu exam. Sebahagian ada yang telah menghabiskan ujian bagi setiap mata pelajaran, sebahagian lagi masih bertungkus lumus membuat persiapan untuk menghadapi peperangan dengan beberapa helaian kertas yang masih berbaki.

“Boleh jawab ke exam tadi?”

Kerap kali SMS seperti ini diterima. Kebiasaannya dari rakan-rakan sekelas, dan biasa juga, ia datang dari ibu bapa kita yang turut berkonsi rasa dan kegusaran jiwa anak-anak mereka.

Sebagai seorang pelajar, kita menyiapkan diri dari sudut lahiriah dengan menghadamkan nota-nota kuliah, menyiapkan pelbagai tugasan yang diberi dan menyediakan kelengkapan alat tulis secukupnya, juga dari sudut batiniah dengan kemantapan dan kesediaan minda dan emosi. Dan yang tidak kurang pentingnya adalah DOA, kerana DOA adalah senjata, DOA adalah sumber kekuatan dan ketenangan, DOA adalah tanda kebergantungan dan tawakkal kita kepada Sang Pencipta, dan memanjatkan DOA termasuk sifat orang-orang Mukmin.

ALLAH berfirman;
Dan Tuhanmu berfirman; “Berdoalah kepada-KU, nescaya AKU akan perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-KU (tidak berdoa kepada KU) akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina.” (surah al-Mukmin; 40:60)

Namun perlu untuk diambil perhatian bahawa dalam setiap amal dan pekerjaan yang kita lakukan, punya etika dan adab yang tersendiri. Ketika di tempat kerja, kita punya etika bekerja. Ketika di dalam kelas, kita ada etika yang perlu dipatuhi. Ketika mendirikan solat, ada etika yang perlu diikuti. Demikian ketika berdoa, ada beberapa perkara yang menjadi etika dan adab yang perlu dititikberatkan.

Saya senaraikan di sini beberapa etika berdoa yang dinukil dari buku Adabul Muslim fil Yaum wal Lailah (24 Jam Bersama Rasulullah – Darul Wathan, Riyadh) dan Fiqhud Du’a (Berdoalah! Anda Butuh ALLAH – Syeikh Mustafa al-‘Adawi).

ETIKA BERDOA

1. Mengikhlaskan niat;
Maka sembahlah ALLAH dengan tulus ikhlas beragama kepadanya, meskipun golongan kafir tidak menyukainya. (surah al-Mukmin; 40:14)

2. Bertahmid dan memuji ALLAH serta berselawat kepada Nabi Muhammad sebelum berdoa.

Ketika Rasulullah mendengar mendengar seseorang berdoa tanpa dimulakan dengan tahmid dan selawat, maka baginda berkata; Engkau tergesa-gesa, wahai orang yang solat. Maka duduklah dan bertahmidlah kepada ALLAH, dan berselawatlah kepadaku, kemudian berdoalah kepada NYA. (HR at-Tirmidzi)

3. Mengakui dosa sebelum memanjatkan doa.

(Musa) berkata; “Wahai Rabb! Sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri, maka ampunkanlah aku.” Maka ALLAH mengampunkannya. Sesungguhnya DIA Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (surah al-Qashash; 28:16)

Abu Bakar as-Shiddiq bertanya kepada Nabi, “Wahai Rasulullah. Ajarkanlah kepada aku sebuah doa yang dapat aku baca dalam solatku.” Nabi menjawab; Ucapkanlah;

Ya ALLAH! Sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dengan kezaliman yang banyak dan tiada yang dapat mengampunkan dosa melainkan ENGKAU. Maka ampunkanlah aku dengan ampunan dari sisi MU dan rahmatilah aku. Sesungguhnya ENGKAU Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (HR al-Bukhari dan Muslim)

4. Menyatakan rasa kekurangan diri dengan tunduk, khusyu’, penuh pengharapan dan takut kepada ALLAH;

Sungguh mereka selalu bersegera dalam (mengerjakan) kebaikan, dan mereka berdoa kepada KAMI dengan penuh harap dan cemas. Dan adalah mereka orang-orang yang khusyu’ kepada KAMI. (surah al-Anbiya`; 21:90)

5. Dalam keadaan berwudhu, menghadap kiblat dan menengadahkan tangan ke langit. Abu Musa al-Asy’ari meriwayatkan; Bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam ketika pulang dari Hunain, baginda berwudhu, kemudian berdoa seraya mengangkat tangannya, dan aku dapat melihat ketiaknya yang putih. (Mutafaqqun ‘alaih)

Umar bin al-Khattab menceritakan; Sewaktu perang Badar, Rasulullah melihat pasukan Musyrik yang berjumlah 1000 orang, sedangkan para sahabat hanya berjumlah 319 orang. Baginda pun mengadap kiblat sambil mengangkat tangannya seraya berdoa; Ya ALLAH! Penuhilah apa yang telah ENGKAU janjikan kepadaku. “Ya ALLAH! Berikanlah apa-apa yang telah ENGKAU janjikan kepadaku. Ya ALLAH! Jika ENGKAU binasakan kelompok orang Islam ini maka ENGKAU tidak akan disembah lagi di bumi.” (HR Muslim)

Walaupun bukan suatu kewajipan, tapi mengadap kiblat dan mengangkat tangan saat berdoa adalah suatu anjuran, malah apabila sesuatu yang dipanjatkan itu semakin penting, maka sunnah dan anjuran ini juga lebih ditekankan.

6. Berdoa dengan serius dan bersungguh-sungguh;

Sabda Nabi; Apabila kalian berdoa kepada ALLAH, maka berdoalah dengan bersungguh-sungguh. Janganlah salah seorang dari kalian berdoa dengan mengatakan, “Jika ENGKAU kehendaki maka kabulkanlah,” kerana ALLAH tidak perlu dipaksa.

Dalam riwayat lain; Tapi berdoalah dengan bersungguh-sungguh dan penuh harap. Kerana ALLAH tidak akan keberatan dengan sesuatu yang diberikan. (Mutafaqqun ‘alaihi)

7. Tidak berdoa untuk sesuatu yang tidak baik untuk dirinya, anak-anak, pembantu dan harta kerana hal tersebut ditegah oleh baginda Nabi; Janganlah engkau berdoa sesuatu yang tidak baik atas diri kalian, janganlah atas anak-anak kalian, janganlah atas para pembantu kalian dan janganlah atas harta kalian, agar (doa kalian itu) tidak bertepatan dengan waktu pengabulan dari ALLAH, kemudian DIA mengabulkan doa kalian itu. (HR Abu Daud)

Janganlah kalian berdoa untuk diri kalian kecuali yang baik-baik. Kerana sesungguhnya malaikat mengaminkan apa-apa yang kalian ucapkan. (HR Muslim)

8. Berdoa dengan suara lirih.

Suatu ketika para sahabat mengeraskan suaru dengan bertakbir di jalanan, lalu Nabi mengingatkan; Wahai manusia, tahanlah diri kalian! Sesungguhnya kalian tidak menyeru kepada yang pekak atau yang jauh. Sesungguhnya DIA bersama-sama kalian, sesungguhnya DIA Maha Mendengar lagi sangat dekat. Maha Suci nama NYA dan Maha Tinggi kemuliaan NYA. (HR al-Bukhari)

Berdoalah kepada RABBmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya DIA tidak menyukai golongan yang melampaui batas. (surah al-A’raff; 7:55)

Di antara bentuk melampaui batas dalam berdoa ialah memohon sesuatu yang tidak layak bagi dirinya seperti memohon diberi kedudukan para Nabi, atau berdoa sesuatu yang diharamkan dan menyelisihi syariat.

9. Berdoa dengan sepenuh hati;

Berdoalah kepada ALLAH dan (dalam keadaan) kalian yakin akan pengabulan (doa tersebut). Ketahuilah bahawa ALLAH tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai. (HR at-Tirmidzi)

10. Tidak mempersulit diri dengan kata-kata bersajak yang dibuat-buat dalam berdoa.

Ibnu Abbas pernah berkata kepada Ikrimah; Perhatikanlah kalimah sajak dalam doa dan jauhilah hal tersebut. Sesungguhnya aku hidup pada zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat baginda, dan mereka tidak melakukan hal tersebut. (HR al-Bukhari)

Hal ini dimakruhkan kerana akan membuatkan orang yang mendengarnya hanya memerhatikan intonasi dan setiap untaian kata yang disusun tersebut sehingga kekhusyukan dalam berdoa akan hilang. Tetapi dibolehkan jika kalimah sajak itu tidak dibuat-buat.

Sebagai peringatan terakhir, perhatikanlah ayat ini;

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (wahai Nabi) tentang AKU, maka (jawablah), sesungguhnya AKU adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-KU. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-KU) dan hendaklah mereka beriman kepada-KU, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (surah al-Baqarah; 2:186)

ALLAH menjanjikan pengabulan doa, tapi tentu dengan syarat kita beriman dan sedaya upaya memenuhi setiap perintah dan meninggalkan segala larangan ALLAH. Kerana itu ketika Ibrahim bin Adham ditanya tentang sebab-sebab doa tidak dikabulkan, beliau menjawab bahawa salah satunya ialah; Kalian mengenal ALLAH tetapi kalian tidak menunaikan hak-hak NYA. Dan hak-hak ALLAH itu adalah bahawa kita melaksanakan perintah-NYA dan meninggalkan segala larangan-NYA.

Wednesday, April 22, 2009

Anda Tidak Perlu Mati di sini!!!

“Anda tidak perlu mati di sini. Tapi bawalah gambar-gambar ini ke negara asal anda dan tunjukkanlah kebenaran kepada mereka. Biarlah penduduk dunia tahu perjuangan kami di sini, kerana media dunia telah menutup berita ini daripada sampai kepada mereka!”

Saya mendengar radio IKIM.fm pagi ini. Topik yang dibincangkan ialah keberanian dunia dalam menyuarakan kejahatan israel; reaksi kepada kenyataan kecaman dari Ahmadinejad kepada Israel. Seorang pendengar yang saya kenali, Dr Jamnul Azhar bin Hj Mulkan menelefon DJ bertugas dan menyuarakan pandangannya. Beliau menceritakan pengalaman pasukan Mercy yang disertainya ketika mereka ke Palestin.

Di sana, mereka sempat bertemu sendiri dengan Perdana Menteri Palestin yang sangat kita kasihi sebagai saudara seaqidah kita, Ismail Haniyyah, dan dialog di atas tadi adalah pesanan beliau kepada mereka (tidak begitu tepat, tapi isinya lebih kurang begitu).

Subhanallah...

Mereka di sana berjuang dengan darah dan air mata. Adakah kita masih mahu hidup riang gembira tanpa sedikitpun memiliki rasa sensitiviti dan kepeduliaan terhadap mereka?

Angkatlah tangan kita, dan panjatkanlah doa untuk perjuangan mereka, kerana perjuangan mereka juga adalah perjuangan kita, dan itu adalah suatu tanggungjawab untuk kita laksanakan.

“Alhamdulillah, ALLAH memilih kami yang berada di Palestin supaya berjihad. Kami dipilih bagi menjadi barisan hadapan bagi umat Islam. Kami dipilih oleh ALLAH bagi mengorbankan jiwa, nyawa harta dan anak-anak kami supaya menentang musuh-musuh ALLAH dan mempertahankan Masjidil Aqsa. Kami juga dipilih ALLAH bagi mewakili umat Islam di seluruh dunia supaya menjadi benteng pertahanan kepada al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam dan juga masjid suci ketiga. Kami juga dipilih oleh ALLAH supaya menjadikan mati syahid sebagai impian utama kehidupan berbanding kehidupan dunia...

“Kami mengharapkan saudara sekalian tidak melupakan kami dalam doa-doa saudara. Berdoalah supaya kami tetap dalam perjuangan kami dan dikurniakan mati syahid. Berdoalah juga supaya kita dapat sama-sama solat di dalam Masjidil Aqsa suatu hari nanti. Pada masa itu bendera Islam akan berkkibar dan syariat ALLAH akan berdaulat sekali lagi di atas muka bumi ini.” (petikan ceramah Khalil Ismail al-Hayya ketika beliau datang ke Malaysia pada tahun 2006)

Monday, April 20, 2009

Final Exam is Around The Corner!!!

“Ya ALLAH! Esok nak exam! Aku belum habis study lagi. Macam mana nak buat ni?”

Keluhan yang biasa kedengaran dalam kalangan para pelajar, sama ada di peringkat sekolah menengah mahupun yang telah menjejakkan kaki ke menara gading.

Keluhan yang biasa keluar ketika hari peperiksaan akhir semester berada di ambang pintu...

“Kau jawab ja Mat. Goreng ja. Janji jangan tinggalkan ruangan jawapan tu kosong tak bertulis. Paling kurang pun dapat jugak 1 markah.”

Pesan seorang teman ketika memberikan tips menjawab soalan peperiksaan.

“Dah memang standard kita macam ni. Study last minit. Nak buat macam mana. Bukan senang nak ubah.”

Alangkah mudahnya meletakkan piawaian untuk diri sendiri. Malangnya, piawaian itu bukanlah piawaian yang tinggi.

Apakah benar berubah itu susah?

Ya, memang benar. Dalam banyak keadaan, nak mengubah diri menjadi lebih baik adalah suatu perkara yang memerlukan usaha dan perhatian yang lebih. Kerana tidak sedikit perkara yang perlu dikorbankan dan tidak sedikit perkara negatif yang menjadi telah lama menjadi kebiasaan perlu dibuang dan diubah.

Namun Islam mengajarkan umatnya untuk sentiasa bermujahadah, bersungguh-sungguh meletakkan usaha untuk mengubah diri menjadi lebih baik, bersungguh-sungguh menerapkan nilai Islam dalam kehidupan seharian dan bersungguh-sungguh membiasakan diri dengan akhlak mahmudah yang telah dcontohkan oleh baginda Nabi.

Jadi, orang yang tidak mahu berubah, atau takut untuk berubah, perlu belajar tentang mujahadah. Dan bergembiralah! Kerana ALLAH telah memberikan janji kepada mereka yang benar-benar mahu bermujahadah pada jalan NYA, bahawa DIA akan memudahkan dan membuka jalan-jalan dan peluang-peluang untuk mereka;

Dan orang-orang yang berjihad (bersungguh-sungguh mencari keredhaan) KAMI, KAMI akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan KAMI. Dan sungguh, ALLAH berserta orang-orang yang berbuat baik. (surah al-‘Ankabut; 29:69)

Maka, saudara-saudaraku sekalian, mahasiswa Muslim yang beriman. Ayuh! Kita sahut seruan untuk bermujahadah. Kita gandakan usaha menelaah pelajaran, demi ALLAH, bagi memperoleh keputusan yang setimpal dengan usaha yang telah kita laburkan. Kerana... ALLAH menyuruhmu study.

STUDY

Study!!! Study!!! Study!!!

Jeritan untuk menenangkan perasaan.

Ketika ini kelihatan para pelajar bertungkus-lumus menghadamkan nota kuliah yang diperoleh dari pensyarah. Tak kurang juga yang sedang bertungkus-lumus menyiapkan projek tahun akhir (PTA) atau Final Year Project (FYP). Suatu usaha dan perhatian yang luar biasa dan jarang kelihatan pada waktu-waktu lain. Namun di samping usaha yang berterusan, jangan lupa untuk meletakkan pergantungan dan sepenuh pengharapan kepada ALLAH jua. Demikianlah tawakkal orang beriman. Mudah-mudahan kita sentiasa tenang dan tidak mudah berputus asa dengan ujian yang menimpa.

Selamat menempuh minggu peperiksaan. Semoga kita meletakkan target menjadi mahasiswa mahasiswi Mukmin yang cemerlang dalam pelajaran. Ingatlah ALLAH, dan ALLAH sentiasa bersama-sama kita.