Tuesday, May 26, 2009

8 Faedah: Hatim al-Asham

Imam Hatim al-Asham adalah murid kepada Imam asy-Syaqiq al-Balkhi. Suatu hari beliau ditanya oleh gurunya, “Engkau telah belajar daripadaku selama 30 tahun, maka apakah ilmu yang telah engkau dapatkan daripadaku?”

Hatim al-Asham menjawab, “Aku dapat menghasilkan lapan faedah daripada segala apa yang aku pelajari. Pada hematku, lapan faedah tersebut sudah memadai bagiku, kerana aku dapat berharap dengannya untuk keselamatan dan kesejahteraan diriku (pada hari kiamat kelak).”

Syaqiq bertanya, “Apakah lapan faedah tersebut?”

Hatim menjelaskan, “Lapan faedah itu ialah:

Faedah pertama

Sesungguhnya aku telah melihat kepada makhluk-makhluk yang ada di dunia ini, lalu aku mendapati bagi setiap makhluk ini mesti ada sesuatu yang dikasihinya dan diasyikinya. Dan aku aku melihat pula ada sebahagian daripada sesuatu yang dikasihinya itu hanya menemani kekasihnya sehingga ke masa ia sakit sahaja, dan ada pula yang terus menemaninya sehingga kea lam kubur. Manakala yang lain akan terus balik dan tidak mahu untuk bersama-sama kekasihnya di dalam qubur. Ia akan membiarkan kekasihnya tinggal seorang diri di dalam qubur.

Lalu aku terus berfikir, dan akhirnya aku membuat kesimpulan bahawa sebaik-baik kekasih ialah kekasih yang setia mengiringi kekasihnya sehingga ke dalam qubur, dan menjadi penghibur dan teman setia, dan tidak ada kekasih yang bersedia untuk itu, selain dari amal soleh. Maka aku terus menjadikan amalan soleh itu sebagai teman dan kekasihku, supaya ia dapat menerangi quburku, dan menghibur hatiku, dan sudah pasti ia tidak akan membiarkanku duduk sendirian.

Faedah kedua

Sesungguhnya aku sentiasa melihat seluruh makhluk itu sentiasa mengikuti kehendak nafsu mereka, dan bersegera menunaikan apa jua kehendaknya. Lalu aku memikirkan firman ALLAH;

Dan adapun orang-orang yang takut akan berdiri di hadapan Tuhannya (pada hari kiamat), dan menahan nafsunya dari keinginan, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya. (surah an-Naazi’at; 79:40-41)

Daripada pemikiranku terhadap ayat ini maka timbul satu keyakinan di dalam hatiku bahawa al-Quran itu adalah benar, dan nafsu itu mesti dimusuhi.

Lalu akupun menjadikannya sebagai musuh dan berjuang untuk menentangnya, dan aku tidak memanjakannya sehingga ia tunduk kepadaku dan merasa puas hati dengan tugasnya untuk taat dan beribadah kepada ALLAH.

Faedah ketiga

Sesungguhnya aku melihat setiap orang berusaha untuk menghimpunkan harta benda dunia dengan sebaik-baiknya. Kemudian ia menahan (harta tersebut) dan tidak mahu mendermakannya. Lalu aku merenungkan akan firman ALLAH;
Apa-apa yang ada di sisimu akan lenyap, dan apa-apa yang ada di sisi ALLAH adalah kekal. (surah an-Nahl; 16:96)

Lalu aku terus suka untuk mengorbankan apa jua yang aku dapatkan dari harta benda dunia , dan aku suka membahagikannya dalam kalangan fakir miskin, supaya harta itu menjadi pahala yang tersimpan di sisi ALLAH.

Faedah keempat


Sesungguhnya aku melihat sebahagian dari makhluk ini ada yang menyangka bahawa kemuliaan dan keagungannya itu adalah terletak pada banyaknya kaum dan pengikutnya. Lalu ia tertipu dengan cara berfikir seperti itu.

Dan ada pula sebahagian mereka yang menyangka bahawa kemuliaan dan keagungan tersebut terletak pada banyaknya harta benda dan anak buah, lalu ia merasa sombong kerana yang demikian itu. Bahkan ada pula yang menyangka bahawa kemuliaan dan keagungan itu berpunca dari kemampuan merampas hak orang lain, menzalimi mereka dan menumpahkan darah mereka. Dan ada juga yang menyangka kemuliaan dan keagungan itu berpunca daripada banyaknya membuang-buang harta dan melakukan pembaziran, dan keterlaluan dalam berbelanja.

Lalu aku memikirkan firman ALLAH;
Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi ALLAH ialah yang paling bertaqwa. (surah al-Hujurat; 49:13)

Maka akupun memilih jalan taqwa untuk mendapat kemuliaan, dan aku yakin dengan sepenuh hati bahawa apa-apa yang disebutkan dalam al-Quran itulah yang benar, dan sangkaan-sangkaan mereka yang aku sebutkan tadi, semuanya adalah batil dan palsu belaka.

Faedah kelima

Sesungguhnya aku melihat ramai orang yang maki memaki dan umpat-mengumpat. Dan aku dapati hal ini berpunca dari sifat hasad dalam memiliki harta, kedudukan atau ilmu. Lalu aku memikirkan firman ALLAH;

KAMIlah yang menentukan penghidupan mereka dalam kehidupan dunia. (surah az-Zukhruf; 43:32)

Dan akupun memahami bahawa pembahagian segala nikmat itu adalah daripada ALLAH sejak dari alam azali lagi. Kerana itu aku tidak pernah hasad kepada sesiapa, dan aku merasa puas hati dengan pembahagian yang telah dilaksanakan oleh ALLAH.

Faedah keenam


Sesungguhnya aku melihat manusia itu satu sama lain saling bermusuhan kerana sesuatu tujuan atau sebab. Lalu aku memikirkan akan firman ALLAH;
Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kalian, maka jadikanlah dia sebagai musuh. (surah Fathir; 35:6)

Maka aku membuat kesimpulan bahawa tidak perlu kita bermusuhan dengan sesiapa kecuali dengan syaitan.

Faedah ketujuh

Sesungguhnya aku melihat setiap orang bersungguh-sungguh dan berusaha dengan sepenuh tenaga untuk mencari makan dan sumber kehidupan, dan terkadang ia terpaksa mengambil yang syubhat dan yang haram. Ia terpaksa menjual harga dirinya dan air mukanya. Lalu aku memikirkan tentang firman ALLAH;

Dan tidak ada sesuatupun yang melata di atas muka bumi, kecuali semuanya dijamin ALLAH rezeki mereka. (surah Hud; 11:6)

Maka akupun mengetahui bahawa rezekiku di tangan ALLAH dan telah dijamin olehNYA. Lalu aku hanya sibuk mengerjakan ibadah kepadaNYA, dan aku putuskan segala harapanku dengan selain dariNYA.

Faedah kelapan


Sesungguhnya aku melihat setiap orang ada memiliki sesuatu yang menjadi pegangannya. Sebahagian mereka menjadikan dinar dan dirham sebagai pegangan, dan yang lain menjadikan harta dan kerajaan sebagai pegangan. Dan ada pula yang menjadikan kemahiran atau pekerjaan sebagai pegangan, bahkan ada yang menjadikan hamba ALLAH yang lain sebagai pegangan. Lalu aku memikirkan firman ALLAH;

Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada ALLAH, maka DIA akan mencukupkannya. Sesungguhnya ALLAH telah mempersampaikan segala urusannya. Dan sesungguhnya ALLAH telah menjadikan bagi setiap sesuatu itu kadar yang telah ditentukan. (surah at-Tolaq; 65:3)

Maka aku pun terus bertawakkal kepada ALLAH, maka ALLAH mencukupkanku dan ALLAH itu adalah sebaik-baik tempat berserah diri.”

Lalu Syaqiq al-Balkhi berkata, “Semoga ALLAH sentiasa memberi taufiq kepadamu. Sesungguhnya aku telah membaca Taurat, Injil, Zabur dan al-Quran. Maka aku mendapati isi keempat-empat kitab ini adalah berkisar pada membahas lapan masalah yang engkau sebutkan tadi. Dan sesiapa yang beramal dengannya, maka sebenarnya ia telah beramal dengan keempat-empat kitab yang aku sebutkan tadi.”

Dipetik dari: Ayyuhal Walad: Wahai Anakku; Imam al-Ghazali

Friday, May 15, 2009

IBU...

Ketika saya terdetik untuk menulis artikel ini, rasanya sudah agak terlambat kerana sambutan hari ibu yang rasmi telahpun berlalu (malah dah sambut hari guru pula), iaitu pada 10 Mei yang lalu. Namun ada desakan yang kuat untuk meneruskan juga niat di hati, memandangkan IBU adalah insan paling bermakna dalam hidup saya dan insan yang tiada tara nilai harganya buat semua manusia yang maujud di atas muka bumi ALLAH ini. Ketaatan kepada IBU adalah tuntutan agama yang sangat agung sehingga disejajarkan dengan perintah untuk menyembah ALLAH dan larangan mensyirikkan-NYA. ALLAH berfirman dalam al-Quran pada beberapa tempat untuk menjelaskan hal tersebut, antaranya;

Dan (ingatlah) ketika KAMI mengambil janji dari Bani Israel; "Janganlah kalian menyembah selain ALLAH dan berbuat baiklah kepada kedua-dua orang tua, kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin. Dan bertutur katalah yang baik kepada manusia, dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. (surah al-Baqarah; 2:83)

Dan sembahlah ALLAH, dan janganlah kalian mempersekutukan-NYA dengan suatu apapun, dan berbuat baiklah kepada kedua-dua orang tua, karib kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga dekat, tetangga jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sungguh, ALLAH tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri. (surah an-Nisa; 4:36)

Dan TUHANmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain DIA, dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. (surah al-Isra; 17:23)

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya; "Wahai anakku! Janganlah kamu mempersekutukan ALLAH. Sesungguhnya syirik itu adalah benar-benar kezaliman yang besar." Dan KAMI perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua-dua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-KU dan kepada kedua-dua orang tuamu. Hanya kepada-KU kamu kembali. (surah Luqman; 31:13-14)

Dalam sebuah hadith yang telah masyhur dalam kalangan masyarakat kita, malah kandungan hadith ini telah dilagukan oleh Rasyid Bikha dengan judul Your Mother; Abu Hurairah menceritakan bahawa telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam lalu bertanya; "Wahai Rasulullah. Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan baik?" Baginda menjawab, "Ibumu."

Dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?" Baginda menjawab, "Ibumu." Dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?" Baginda menjawab, "Ibumu." Dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?" Baginda menjawab, "Kemudian ayahmu." (HR al-Bukhari dan Muslim)

Sempena sambutan hari Ibu yang telah berlalu (semoga diri ini mengingatimu saban hari, wahai ibu...), saya dedikasikan dua buah lagu berikut untuk insan yang telah membesarkan saya dengan susah payah dan penuh kasih sayang. Sejak dari dalam kandungan, ketika dilahirkan, ketika dalam tempoh penyusuan, ketika tempoh membesar, ketika menjejakkan kaki ke taska, sekolah rendah, sekolah menengah, matrikulasi, dan kini di menara gading, engkau tak pernah letih berkorban untuk anakmu. Maafkan diri ini yang selalu gagal memahami dirimu, yang amat jarang dapat memuaskan hatimu dan sangat jarang memenuhi kehendakmu.

Maafkan diriku ibu...

Kepada mereka yang telah menjadi ibu, mungkin kini kita dapat lebih menyelami hati seorang ibu, dan memahami dengan lebih mendalam isi hati ibu kita dahulu. Ketika di dunia kampus, gusarnya hati ibu sewaktu minggu peperiksaan melebihi si anak yang bakal menempuh peperiksaan tersebut. Ketika si anak sakit atau demam, hati si ibu lebih panas daripada suhu badan si anak. Lantas, ketika si ibu diderhakai, dimaki hamun dan disakiti, dapatkah kita bayangkan betapa remuknya hati yang lembut itu?

Maafkan diriku ibu...

Sungguh mulia insan yang bernama ibu. Hidupnya dimuliakan ALLAH, namanya disebut-sebut dalam al-Quran, pahala yang ia peroleh tidak akan pernah putus, selama si anak melakukan amal kebajikan dan mendoakannya setelah kematian...

Wahai TUHANku! Sayangilah kedua-duanya sebagaimana mereka telah mendidikku pada waktu kecil. (surah al-Isra; 17:24)

Wahai TUHANku! Berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmat-MU yang telah ENGKAU limpahkan kepadaku dan kepada kedua-dua orang tuaku, dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang ENGKAU redhai. Dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-MU dan sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan orang-orang Muslim. (surah al-Ahqaf; 46:15)

1. BONDA - M. Nasir

Mengapa kanta ini masih berkaca
Sedang ku telah pun terima di dalam redha
Segala kepahitan
Pengalaman menjadi penawar
Mengejar impi ke pintu syurga

Duhai bonda
Bilakah akan ku kecapi kasturi
Penebus maruah
Dan semangat lama

Mengapa sinar neon dan gedung indah
Kotaraya yang menjanjikan sejuta rasa
Sejuta haruman
Kini menjadi penjara jiwa
Ku yang merindukan ketenangan

Duhai bonda
Hari-hariku kini berlalu
Bagaikan bahtera
Tanpa layar dan kemudi

Bonda
Akhirnya terbongkar jua rahsia
Tangisan dan gurindam
Keramat kasih sayangmu

Bonda
Saat dan pertemuan semula
Kita kali ini
Akan ku abadikan
Keramat kasih sayangmu

Oh bonda... bonda...


2. LAGU UNTUK IBU - Brothers

Seorang wanita bermahkota ibu
Menggenggam jari-jari kecil
Ikatan ini tidak kan terurai
Kerna tautan ini
Tautan darah dan akidah
Dan rahmat dari Allah

Kini ibu peganglah tanganku ini
Biar ku bawa ibu menjelajah
Hasil titik peluhmu
Biar ku bawa ke alamku
Hasil ukiranmu selama ini

Dodoianmu ibu
Membina benteng pemisah
Antara yang hak dan yang batil
Membakar semangat perjuangan
Mengait kasih pada Junjungan tercinta
Tersujud lemah mengabdi diri
Kepada yang Esa

Jika belum pernah
Kau dengar ucapan terima kasihku
Ketahuilah doaku ini
Moga Tuhan menyayangimu
Seperti mana kau mengasihiku
Dari dulu hingga kini
Untuk selama-lamanya

Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, baginda bersabda; Sungguh kecewa dan hina, sungguh kecewa dan hina, sungguh kecewa dan hina sesiapa yang mendapatkan kedua-dua atau salah satu dari ibu ayahnya ketika mereka telah tua, tetapi dia tidak dapat memasuki syurga. (HR Muslim)

Imam an-Nawawi mengomentar: Hadis ini seolah-olah menggambarkan bagaimana mudahnya seseorang untuk masuk ke syurga asalkan dia masih berbakti kepada kedua-duanya, dan mendapat doa dan keredhaan orang tuanya yang merasa puas kepadanya.

Tuesday, May 12, 2009

10 Wasiat


1. Dirikanlah solat ketika mendengar azan, walau bagaimana sekalipun keadaanmu.

2. Bacalah al-Quran, pelajari, dengarkan atau ingatilah ALLAH. Jangan mensia-siakan walau sedikit pun dari waktumu tanpa sebarang faedah.

3. Berusahalah untuk berbicara dalam bahasa Arab yang fasih kerana hal itu adalah sebahagian daripada syi’ar Islam.

4. Janganlah memperbanyakkan perdebatan walau dalam urusan apa pun kerana perdebatan itu tidak membawa kepada sebarang kebaikan.

5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubungan dengan ALLAH sentiasa tenang dan berwibawa.

6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang berjihad tidak mengenal kecuali kesungguhan.

7. Janganlah meninggikan suara melebihi keperluan pendengar kerana hal tersebut bodoh dan menyakitkan.

8. Jauhilah dari membicarakan hal orang lain (ghibah), atau mencela persatuan-persatuan. Janganlah engkau berbicara melainkan hal kebaikan.

9. Perkenalkanlah dirimu kepada saudara-saudaramu yang engkau temui sekalipun tidak diminta, kerana asas dakwah kita ialah kasih sayang dan berkenalan.

10. Kewajipan lebih banyak dari waktu, maka bantulah saudaramu memanfaatkan waktunya. Jika engkau memiliki suatu tugas, selesaikanlah dalam waktunya (jangan bertangguh).

Tuesday, May 5, 2009

Muhammad Anas Nukman

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, baginda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda; Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.

Telah menjadi suatu sunnah dan anjuran baginda Nabi untuk memberikan nama yang memiliki maksud yang baik kepada anak-anak yang telah lahir. Malah ALLAH juga menyukai nama-nama yang menunjukkan kehambaan kita kepada-NYA, yakni perkataan ‘Abdun’ yang beerti ‘hamba’ yang digabungkan dengan nama-nama NYA yang mulia (al-Asma` al-Husna);

Nama yang paling ALLAH sukai ialah Abdullah dan Abdur Rahman. (HR Muslim)

Demikianlah Islam memerhatikan setiap aspek kehidupan manusia sehingga hal yang dipandang kecil oleh segelintir masyarakat, seperti menamakan anak juga dipandang tinggi dan besar dalam Islam. Malah pada zaman Rasulullah, baginda menukarkan nama beberapa orang sahabat dan sahabiah yang asalnya memiliki makna yang buruk.

Namun kini, seolah-olah telah menjadi suatu trend baru dalam masyarakat. Anak-anak dinamakan dengan nama-nama yang entah apa maksudnya. Bukanlah bermaksud anak-anak hanya boleh dinamakan dengan nama yang berbunyi kearaban. Biarlah berbunyi kemelayuan sekalipun, namun harus dipastikan nama tersebut memiliki makna yang baik, kerana kelak di akhirat, dengan nama itulah ALLAH akan menyeru setiap individu yang berkumpul di padang mahsyar.

Nama-nama seperti ‘Hitler’, ‘Jay’, dan yang seumpamanya ada yang menjadi pilihan ketika menamakan zuriat yang ALLAH kurniakan. Kreativiti? Adakah ini dinamakan kreativiti? Kreativiti bukanlah pada menamakan anak sehingga mengenepikan maksud yang dikandung pada nama tersebut. Menggabungkan beberapa patah perkataan hanya kerana sedap didengar namun tidak memiliki maksud yang baik, malah ada yang memiliki maksud yang buruk, adalah suatu kezaliman ibu bapa terhadap anak-anak. Mereka memiliki hak untuk mendapat nama yang baik, kerana nama adalah doa. Setiap orang akan memanggil kita dengan nama yang telah diberikan oleh ibu ayah kita.

Muhammad Anas Nukman

Barakallahu lakum diucapkan kepada ikhwah yang ku kasihi, akh Abu Najih dan zaujahnya ukht Ummu Najihah atas zuriat yang telah ALLAH kurniakan pada 29 April yang lepas. Semoga kehadiran ahli baru dalam keluarga menambahkan lagi seri dan barakah rumah tangga, dan kelak bakal membantu urusan agama ibu ayahnya.

Muhammad Anas Nukman, demikian nama yang diberi. Semoga keperibadianmu dan ketokohanmu seperti Anas bin Malik, dan keperwiraanmu mengambil teladan Anas bin Nadhr. Semoga hidupmu dalam kemuliaan, dan matimu dalam kesyahidan. Ameen.