Friday, May 15, 2009

IBU...

Ketika saya terdetik untuk menulis artikel ini, rasanya sudah agak terlambat kerana sambutan hari ibu yang rasmi telahpun berlalu (malah dah sambut hari guru pula), iaitu pada 10 Mei yang lalu. Namun ada desakan yang kuat untuk meneruskan juga niat di hati, memandangkan IBU adalah insan paling bermakna dalam hidup saya dan insan yang tiada tara nilai harganya buat semua manusia yang maujud di atas muka bumi ALLAH ini. Ketaatan kepada IBU adalah tuntutan agama yang sangat agung sehingga disejajarkan dengan perintah untuk menyembah ALLAH dan larangan mensyirikkan-NYA. ALLAH berfirman dalam al-Quran pada beberapa tempat untuk menjelaskan hal tersebut, antaranya;

Dan (ingatlah) ketika KAMI mengambil janji dari Bani Israel; "Janganlah kalian menyembah selain ALLAH dan berbuat baiklah kepada kedua-dua orang tua, kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin. Dan bertutur katalah yang baik kepada manusia, dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. (surah al-Baqarah; 2:83)

Dan sembahlah ALLAH, dan janganlah kalian mempersekutukan-NYA dengan suatu apapun, dan berbuat baiklah kepada kedua-dua orang tua, karib kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga dekat, tetangga jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sungguh, ALLAH tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri. (surah an-Nisa; 4:36)

Dan TUHANmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain DIA, dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. (surah al-Isra; 17:23)

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya; "Wahai anakku! Janganlah kamu mempersekutukan ALLAH. Sesungguhnya syirik itu adalah benar-benar kezaliman yang besar." Dan KAMI perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua-dua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-KU dan kepada kedua-dua orang tuamu. Hanya kepada-KU kamu kembali. (surah Luqman; 31:13-14)

Dalam sebuah hadith yang telah masyhur dalam kalangan masyarakat kita, malah kandungan hadith ini telah dilagukan oleh Rasyid Bikha dengan judul Your Mother; Abu Hurairah menceritakan bahawa telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam lalu bertanya; "Wahai Rasulullah. Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan baik?" Baginda menjawab, "Ibumu."

Dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?" Baginda menjawab, "Ibumu." Dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?" Baginda menjawab, "Ibumu." Dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?" Baginda menjawab, "Kemudian ayahmu." (HR al-Bukhari dan Muslim)

Sempena sambutan hari Ibu yang telah berlalu (semoga diri ini mengingatimu saban hari, wahai ibu...), saya dedikasikan dua buah lagu berikut untuk insan yang telah membesarkan saya dengan susah payah dan penuh kasih sayang. Sejak dari dalam kandungan, ketika dilahirkan, ketika dalam tempoh penyusuan, ketika tempoh membesar, ketika menjejakkan kaki ke taska, sekolah rendah, sekolah menengah, matrikulasi, dan kini di menara gading, engkau tak pernah letih berkorban untuk anakmu. Maafkan diri ini yang selalu gagal memahami dirimu, yang amat jarang dapat memuaskan hatimu dan sangat jarang memenuhi kehendakmu.

Maafkan diriku ibu...

Kepada mereka yang telah menjadi ibu, mungkin kini kita dapat lebih menyelami hati seorang ibu, dan memahami dengan lebih mendalam isi hati ibu kita dahulu. Ketika di dunia kampus, gusarnya hati ibu sewaktu minggu peperiksaan melebihi si anak yang bakal menempuh peperiksaan tersebut. Ketika si anak sakit atau demam, hati si ibu lebih panas daripada suhu badan si anak. Lantas, ketika si ibu diderhakai, dimaki hamun dan disakiti, dapatkah kita bayangkan betapa remuknya hati yang lembut itu?

Maafkan diriku ibu...

Sungguh mulia insan yang bernama ibu. Hidupnya dimuliakan ALLAH, namanya disebut-sebut dalam al-Quran, pahala yang ia peroleh tidak akan pernah putus, selama si anak melakukan amal kebajikan dan mendoakannya setelah kematian...

Wahai TUHANku! Sayangilah kedua-duanya sebagaimana mereka telah mendidikku pada waktu kecil. (surah al-Isra; 17:24)

Wahai TUHANku! Berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmat-MU yang telah ENGKAU limpahkan kepadaku dan kepada kedua-dua orang tuaku, dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang ENGKAU redhai. Dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-MU dan sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan orang-orang Muslim. (surah al-Ahqaf; 46:15)

1. BONDA - M. Nasir

Mengapa kanta ini masih berkaca
Sedang ku telah pun terima di dalam redha
Segala kepahitan
Pengalaman menjadi penawar
Mengejar impi ke pintu syurga

Duhai bonda
Bilakah akan ku kecapi kasturi
Penebus maruah
Dan semangat lama

Mengapa sinar neon dan gedung indah
Kotaraya yang menjanjikan sejuta rasa
Sejuta haruman
Kini menjadi penjara jiwa
Ku yang merindukan ketenangan

Duhai bonda
Hari-hariku kini berlalu
Bagaikan bahtera
Tanpa layar dan kemudi

Bonda
Akhirnya terbongkar jua rahsia
Tangisan dan gurindam
Keramat kasih sayangmu

Bonda
Saat dan pertemuan semula
Kita kali ini
Akan ku abadikan
Keramat kasih sayangmu

Oh bonda... bonda...


2. LAGU UNTUK IBU - Brothers

Seorang wanita bermahkota ibu
Menggenggam jari-jari kecil
Ikatan ini tidak kan terurai
Kerna tautan ini
Tautan darah dan akidah
Dan rahmat dari Allah

Kini ibu peganglah tanganku ini
Biar ku bawa ibu menjelajah
Hasil titik peluhmu
Biar ku bawa ke alamku
Hasil ukiranmu selama ini

Dodoianmu ibu
Membina benteng pemisah
Antara yang hak dan yang batil
Membakar semangat perjuangan
Mengait kasih pada Junjungan tercinta
Tersujud lemah mengabdi diri
Kepada yang Esa

Jika belum pernah
Kau dengar ucapan terima kasihku
Ketahuilah doaku ini
Moga Tuhan menyayangimu
Seperti mana kau mengasihiku
Dari dulu hingga kini
Untuk selama-lamanya

Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, baginda bersabda; Sungguh kecewa dan hina, sungguh kecewa dan hina, sungguh kecewa dan hina sesiapa yang mendapatkan kedua-dua atau salah satu dari ibu ayahnya ketika mereka telah tua, tetapi dia tidak dapat memasuki syurga. (HR Muslim)

Imam an-Nawawi mengomentar: Hadis ini seolah-olah menggambarkan bagaimana mudahnya seseorang untuk masuk ke syurga asalkan dia masih berbakti kepada kedua-duanya, dan mendapat doa dan keredhaan orang tuanya yang merasa puas kepadanya.

0 komen: