Wednesday, June 24, 2009

Rejab Yang Bertandang...

"Salam. Busy? Cuma nak ucapkan selamat menyambut 1 Rejab 1430H. Tinggal 2 bulan lagi Ramadhan akan tiba. Doakan agar kita beroleh manfaat sepanjang 3 bulan barakah ini."
Itulah mesej yang saya terima malam semalam dari seorang ikhwah.

Cepat sungguh masa berlalu. Bahang Ramadhan 1429H masih terasa bersama-sama pelbagai peristiwa yang dilalui. Belumpun kenangan itu luput, kini Ramadhan ingin menjengah lagi setelah hampir setahun roda masa itu berputar.

Banyak peristiwa yang berlaku dalam setahun ini. Kini kita sedang dihangatkan dengan isu kerajaan perpaduan yang disuarakan oleh Ustaz Abdul Hadi Awang. Kenyataan terbaru ialah Pakatan Rakyat telah sepakat untuk tidak mengadakan perbincangan dengan kerajaan BN berhubung isu ini. Isu lain ialah penularan virus H1N1. Asalnya dinamakan virus selesema babi, tapi kerana kepentingan sesetengah pihak, nama virus itu ditukar dengan alasan penamaan sebagai selesema babi adalah kurang tepat. Beberapa buah sekolah telah ditutup dan entah berapa ramai yang sedang dikuarantin di rumah masing-masing. Walau apapun, adalah amat penting bagi kita sebagai seorang Muslim untuk melihat setiap perkara dengan sudut pandang agama. Kadang-kadang ALLAH mendatangkan penyakit seumpama itu sebagai peringatan berguna buat manusia yang terlalu sering lalai.

Kendati demikian, dalam kekecohan pelbagai perkara yang telah dan sedang berlaku kini, masih terdapat segelintir yang hanya mementingkan isi perut sendiri dan tidak mempedulikan keadaan sekeliling. Daripada mengambil tahu isu semasa di peringkat nasional mahupun antarabangsa, mereka lebih suka menyibukkan diri dengan rancangan realiti tv kegemaran mereka seperti AF, Mentor, dan entah apa-apa lagi. Biarlah kiamat dunia sekalipun, asalkan kami tahu adakah artis pujaan kami memenangi pertandingan tersebut. Sungguh, itu adalah salah satu kejayaan perang pemikiran dari Barat!

Berbalik kepada isi mesej yang saya terima tadi. Dalam sebuah riwayat yang dinilai dha'if (lemah), daripada Ziyad an-Numairi daripada Anas bin Malik katanya, "Adalah Rasulullah apabila masuk bulan Rejab, baginda akan mengucapkan Allahumma baarik lana fi Rajab wa Syaaban, wa ballighna Ramadhan (Ya ALLAH! Berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan)." Hal tersebut menunjukkan kecintaan baginda Nabi kepada bulan Ramadhan.

Tiada ibadah yang dikhususkan dalam bulan Rejab. Cuma disunatkan berpuasa padanya kerana ia adalah salah satu dari bulan haram; Puasalah pada bulan haram dan tinggalkanlah, puasalah pada bulan haram dan tinggalkanlah, puasalah pada bulan haram dan tinggalkanlah. (HR Abu Daud, dari Mujibah al-Bahili dari ayahnya atau bapa saudaranya). Ertinya bagi siapa yang mahu berpuasa maka silakanlah, dan bagi siapa yang tidak mahu, maka tidak mengapa. Bulan haram ialah bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.

Jadi, jika ada yang ingin berpuasa, mudah-mudahan itu adalah sebagai ibadah sunat tambahan yang ALLAH ganjari dengan pahala setimpal dari sisi-NYA.

Abu Said al-Khudri merekodkan bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda; Tiadalah seorang hamba yang berpuasa sehari pada jalan ALLAH (ikhlas kerana ALLAH), melainkan ALLAH akan menjauhkan wajahnya dengan puasa pada hari itu daripada api neraka sejauh 70 tahun. (Muttafaqun 'alaihi)

"Jazakallah kerana tolong mengingatkan. Tak teringat pula esok dah Rejab. Cepat sungguh masa berlalu. Ya ALLAH! Berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan, ameen."

Demikian mesej balasan saya.

Monday, June 15, 2009

Belasungkawa 2: Ust Fathi Yakan

Al-Fadhil Ustaz Fathi Yakan dilaporkan telah kembali ke rahmatullah pada semalam, 13 Jun 2009 setelah bergelut dengan penyakit parah yang beliau alami. Beliau wafat pada usia 76 tahun.

Sungguh, berita ini benar-benar meruntunkan hati nurani kita. Pemergian beliau adalah suatu kehilangan besar buat dunia Islam. Buah-buah tangan beliau merupakan suatu lontaran idea dan pandangan yang sangat tajam dan kritis. Betapa ramai dari kalangan kaum Muslimin yang mendapat manfaat yang tidak ternilai harganya dari kesemua hasil tulisan beliau.

Saya mula mengenali nama beliau ketika di bangku sekolah menengah. Tak lain tak bukan melalui karya beliau, Madza ya’ni Intima` lil Islam, atau diterjemahkan oleh Pustaka Fajar Bakti dengan tajuk Apa Ertinya Saya Menganut Islam. Buku tersebut dijadikan silibus usrah pelajar tingkatan satu di sekolah saya. Namun ketika itu diri ini masih bertatih dalam mengenali para tokoh pejuang Islam. Hanya mengenali namanya sahaja, tak pernah terdetik untuk menelusuri lebih jauh tentang siapa beliau yang sebenar. Malah perbahasan dalam buku tersebut juga tidak begitu saya ambil berat ketika itu, sedangkan isinya amat tinggi nilainya; membicarakan mengenai tujuan kita beragama dan bagaimana seharusnya kita menerapkan Islam dalam setiap aspek kehidupan. Boleh dikatakan buku tersebut secara tidak langsung membicarakan punca penyakit majoriti umat ketika ini dan langkah penyelesaiannya – kembali kepada KEHIDUPAN BERAGAMA.


Ketika di tingkatan dua, satu lagi buku beliau dibahaskan dalam usrah, iaitu Bahtera Penyelamat dalam Kehidupan Pendakwah. Secara ringkas beliau membahaskan tentang tribulasi yang ‘wajib’ dihadapi oleh setiap insan Da’ie sebagaimana disebut dalam sebuah hadith, dan juga bekalan-bekalan yang diperlukan oleh mereka. Tetapi sekali lagi malang buat diri saya, saya masih gagal menghadamkan tulisan beliau dengan baik.

Beberapa tahun berlalu dan saya melangkah masuk ke alam universiti. Pelbagai pengalaman ditimba melalui aktiviti dan gerak kerja dakwah yang dijalankan bersama-sama ikhwah-ikhwah yang lain. Pelbagai pahit manis dan halangan yang ditempuh benar-benar melatih kita untuk mematangkan pemikiran dan tindakan. Mudah-mudahan usaha yang sekelumit ini termasuk dalam kesinambungan mata rantai perjuangan dakwah baginda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, ameen.

Ketika inilah saya kembali menyelongkar rak-rak buku, dan kembali membelek-belek beberapa buah buku yang dikarang oleh tokoh-tokoh gerakan Islam. Antaranya tentulah buku Dr Fathi Yakan. Beberapa pesanan dan idea yang beliau tumpahkan dalam hasil tulisan beliau tersebut, saya ulang baca untuk memetik mutiara yang amat tinggi nilainya itu. Alhamdulillah, dengan kurniaan ALLAH jua beberapa buah buku beliau yang tidak saya fahami sebelum ini, saya cuba hadamkan semula. Antaranya termasuklah buku ‘Bahtera Penyelamat’ dan Ihdzarul Aids al-Haraki (Aids dalam Gerakan Dakwah). Baru saya sedar mutiara apa sebenarnya yang tersimpan dalam setiap hasil tangan beliau yang ditulis berdasarkan pengalamannya selama beberapa dekad dalam gerakan dakwah di Lubnan terutamanya.

Jabir berkata, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda; Tiap hamba akan dibangkitkan dari kuburnya menurut keadaannya kematiannya. (HR Muslim). Ertinya menurut imam an-Nawawi, apa-apa yang biasa dilakukan oleh manusia pada masa hidupnya sehingga dia mati atas amal perbuatan dan kelakuan itu, nescaya dia akan dibangkitkan dari kubur seolah-olah dia masih terus akan melakukan kebiasaannya itu.

Syeikh Dr Fathi Yakan mati setelah bertahun-tahun beliau berkecimpung dalam amal dakwah yang mulia. Bayangkanlah bagaimana keadaan beliau ketika ALLAH membangkitkannya kelak.

Walaupun tidak pernah bersua muka, kendati beliau pernah hadir ke Malaysia beberapa kali, namun mudah-mudahan ALLAH akan mengumpulkan kita bersama-sama atas dasar kecintaan. Abdullah bin Mas’ud pernah merekodkan bahawa seorang lelaki pernah datang bertanya kepada baginda Nabi, “Ya Rasulullah. Bagaimana pendapatmu tentang seorang lelaki yang menyintai suatu kaum tetapi dia tidak dapat berkumpul dengan mereka?” Jawab Nabi, “Seseorang akan bersama-sama dengan orang yang dicintainya (walaupun kelak di akhirat).” (Muttafaqun ‘alaih)

Ramai blogger yang membuat catatan yang serupa seperti ini; 'kenangan peribadi' mereka bersama Ust Fathi Yakan. Walaupun kebanyakan mereka juga tidak pernah bertemu dengan beliau, namun rasa cinta itulah yang mempertautkan di antara hati-hati ini. Sungguh, itu membuktikan ramai dari kalangan kaum Mukminin di serata pelosok dunia yang sangat merasa terhutang budi dengan beliau. Apalagi bagi mereka yang pernah mendapat sentuhan tarbiyah langsung dari beliau.

Inna lillahi wa inna ilaihi roji’un. Ucapan salam atas pemergianmu wahai Syeikh menemui RABB semesta alam. Pemergianmu ditangisi, jasamu dikenang dan karyamu yang terus dibaca moga menjadi amal jariah buatmu di alam sana. Semoga bakal lahir lebih ramai insan Da’ie sepertimu yang rela menginfaqkan seluruh hidupnya pada jalan ALLAH. Kembalilah ke sisi-NYA dengan penuh ketenangan. Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas rohmu, ameen. Hanya doa dan air mata yang mengiringi berita kewafatanmu.

Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada TUHANmu dengan hati yang redha dan diredhai-NYA. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba KU, dan masuklah ke dalam syurga-KU. (surah al-Fajr; 89:27-30)