Thursday, July 30, 2009

Adab Membaca al-Quran 1

Berikut adalah adab-adab membaca al-Quran yang dinukilkan dari kitab at-Tibyan fi Adab Hamlatil Quran, karangan Imam an-Nawawi.

Kata imam an-Nawawi rahmatullah 'alaih, "Kerana orang yang membaca al-Quran sudah sepatutnya menunjukkan keikhlasan dan menjaga adab terhadap al-Quran. Maka sudah sepatutnyalah dia menghadirkan hatinya kerana dia sedang bermunajat kepada ALLAH Ta'ala dan membaca al-Quran seperti keadaan orang yang melihat ALLAH . Jika dia tidak boleh melihat-NYA, maka sesungguhnya ALLAH melihatnya."

1. Membersihkan mulut (siwak) sebelum membaca al-Quran.

2. Dalam keadaan suci dari hadath. Seseorang yang berhadath kecil diharuskan membaca al-Quran berdasarkan pendapat ijmak. Menukilkan pendapat imamul Haramain, seseorang yang membaca al-Quran dalam keadaan hadath tidaklah makruh, tetapi dia telah meninggalkan perkara yang lebih utama, yakni membacanya dalam keadaan berwudhu.

3. Disunatkan memilih tempat yang bersih dan terpilih untuk membaca al-Quran. Justeru sebahagian ulama menganjurkan membacanya di masjid kerana ia adalah tempat yang bersih dan mulia, dan menghasilkan keutamaan i'tikaf. Imam asy-Sya'bi berkata, "Makruh membaca al-Quran di tiga tempat; di tempat mandi, tempat membuang air dan tempat menggiling gandum."

4. Sunat mengadap kiblat. Yang paling sempurna keadaannya ialah dia membacanya dengan penuh khusyu dan tenang, sambil menundukkan kepala dan duduk dengan penuh adab seperti sedang berada di hadapan guru. Adapun membaca al-Quran dalam keadaan lain; berdiri, berbaring di tempat tidur dan keadaan lain maka tidak mengapa, hanya nilainya kurang dari keadaan yang pertama tadi. Hal ini berdasarkan firman ALLAH yang bermaksud;

(iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka. (surah Ali Imran; 3:191)

Dalam sebuah hadith sohih diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, dari Aisyah katanya, "Bahawa Rasulullah bersandar di pangkuanku ketika aku sedang haid dan baginda membaca al-Quran."

5. Disunatkan membaca ta'awudz (A'udzu billahi minasy syaitanir rajim) sebelum memulakan bacaan al-Quran. Sebahagian ulama berpendapat sunat membaca ta'awudz setelah selesai membaca al-Quran, namun pendapat jumhur adalah pendapat pertama. ALLAH berfirman;

Apabila kamu membaca Al Qur'an, maka hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk. (surah an-Nahl; 16:98)

6. Selalu membaca Basmalah pada setiap awal surah, kecuali surah at-Taubah.

7. Membaca dengan penuh khusyu dan sentiasa merenungkan maknanya supaya dada menjadi lapang dan hati menjadi tenang;

Ini adalah sebuah kitab yang KAMI turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (surah Shaad; 38:29)

Telah diriwayatkan banyak kisah para sahabat dan tabi'in yang sentiasa menangis, jatuh pengsan, malah mati kerana mendengar peringatan dalam al-Quran. Antaranya ialah kisah yang diriwayatkan oleh Bahzin bin Hakim bahawa seorang tabi'in, Zurarah bin Aufa mengimami solat subuh. Lalu beliau membaca al-Quran hingga sampai kepada ayat;

Apabila ditiup sangkakala, maka waktu itu adalah waktu (datangnya) hari yang sulit. (surah al-Muddathir; 74:8-9)

Tiba-tiba beliau tumbang dan mati! Banzin berkata, "Aku termasuk salah seorang yang memikul jenazahnya."

Imam Ibrahim al-Khawwas menyebutkan bahawa ubat penyembuh hati ada lima, salah satunya ialah mambaca al-Quran dan merenungi maknanya.

8. Dianjurkan mengulang-ulang bacaan sesuatu ayat untuk perenungan. Abu Dzar al-Ghifari merekodkan bahawa Nabi sallallahu 'alaihi wasallam pernah mengulang-ulangi satu ayat sehingga pagi; Jika Engkau menyiksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba MU, dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (surah an-Nisa; 4:118) (HR an-Nasa`ie dan Ibnu Majah)

Diriwayatkan juga bahawa Tamim bin Aus ad-Dariy pernah mengulang-ulang ayat ini sehingga pagi;

Apakah orang-orang yang membuat kejahatan itu menyangka bahwa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh, iaitu sama antara kehidupan dan kematian mereka? Amat buruklah apa yang mereka sangka itu. (surah al-Jathiyah; 45:21)

Seorang tabi'in Sa'id bin Jubair mengulang-ulang ayat: Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya (dirugikan). (surah al-Baqarah; 2:281)

Dan banyak lagi kisah-kisah seumpama ini yang dapat ditemukan dalam manaqib para salafus soleh.

9. Menangis, kerana tangisan ketika membaca al-Quran adalah adalah sifat golongan arifin dan hamba-hamba ALLAH yang soleh.

Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk. (surah al-Isra; 17:109)

Imam al-Ghazali menyebut, “Menangis itu disunahkan pada waktu membaca Al-Qur’an. Cara dapat menangis adalah menghadirkan kesedihan dalam hati dengan merenungkan peringatan dan ancaman keras serta janji-janji yang terdapat di dalamnya, kemudian merenungi dosa-dosa yang terlanjur diperbuat.”

Ya, mana mungkin seseorang mampu mengalirkan air mata ketika membaca al-Quran tanpa iman dan kefahaman yang mendalam terhadap apa-apa yang dibacanya. Kerana itulah imam an-Nawawi menyebut, "Jika tidak dapat menimbulkan kesedihan dan tangisan sebagaimana yang dialami oleh golongan yang terpilih, maka hendaklah dia menangis atas kegagalan itu, kerana hal tersebut termasuk musibah yang besar!"

Thursday, July 23, 2009

Rejab berlalu, Syaaban menjengah, Ramadhan kan tiba...

Setelah sebulan Rejab bertandang, kini ia telah pergi meninggalkan kita kerana sunnah perputaran masa.

Syaaban pula datang menjengah. Tandanya bulan Ramadhan yang penuh barakah sedang menggamit dan akan tiba hanya sebulan saja lagi. Namun jangan pula melepaskan peluang pada bulan Syaaban ini kerana sesungguhnya bulan Syaaban juga punya kelebihan tersendiri. Baginda Nabi juga memperbanyakkan puasa pada bulan ini;

Aisyah radhiallahu 'anha berkata; Tidak pernah baginda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam berpuasa dalam suatu bulan yang lebih banyak puasanya daripada bulan Syaaban, maka sesungguhnya baginda berpuasa sebulan penuh.

Dalam riwayat lain; Adalah baginda berpuasa Syaaban kecuali hanya sedikit (yang tidak berpuasa). (Muttafaqun 'alaihi)

Kepada ALLAH jua kita bermohon, berdoa dan mengharap semoga ALLAH sentiasa memberikan kekuatan kepada kita untuk meneruskan ibadah dalam bulan ini dan terus menggencarkan dakwah. Mudah-mudahan ALLAH memberikan umur yang panjang sehingga kita bertemu dengan bulan Ramadhan.

Ameen...

Sunday, July 19, 2009

Gambaran Seorang Mujahid


Aku dapat menggambarkan bahawa MUJAHID adalah seorang yang telah mempersiapkan bekalannya, mengambil kesiagaannya, menguasai fikiran tentang keadaan dirinya baik dari sudut fizikal dirinya mahupun dari sudut hatinya. Dia selalu berfikir dan memerhati, dan selalu dalam keadaan siap sedia.

Jika diajak, dia menyahut, jika dipanggil, dia memenuhi. Pagi dan petang harinya, perkataannya, perbicaraannya, kesungguhannya dan permainannya tidak melampaui lapangan yang dia sudah mempersiapkan diri di dalamnya. Dia tidak melakukan sesuatu tugas melainkan tugas yang menjadi tempat berhenti bagi hidup dan kehendaknya.

Engkau lihat dalam raut muka dan sorotan matanya, serta engkau dengarkan dari kekhilafan lisannya yang menunjukkan kepada hatinya yang menyala dalam kedukaan yang melekat dan kepedihan yang terpendam. Apa-apa yang mengalir dalam dirinya adalah keinginan yang jujur, harapan yang tinggi dan tujuan yang jauh.

Begitulah kondisi MUJAHID dalam setiap individu dan bangsa. Engkau akan melihat semua itu dengan jelas dalam umat yang telah mempersiapkan dirinya untuk berjihad.

Adapun MUJAHID yang tidur sepenuh kedua-dua kelopak matanya, makan sepenuh kunyahan di mulutnya, tertawa selebar mulutnya, menghabiskan waktunya untuk hiburan dan mainan, sia-sia dan tanpa malu, maka alangkah jauhnya untuk menjadi orang-orang yang beruntung atau ditulis dalam lembaran para MUJAHID.

(Asy-Syahid Hassan al-Banna)