Friday, August 28, 2009

Agar Ramadhan Lebih Dihayati

Membicarakan tentang tujuan Ramadhan, eloklah kita kembali kepada ayat al-Quran yang menyebutkan tentangnya;

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (surah al-Baqarah; 2:183)

Walaupun dalam kesibukan kita membicarakan tentang kelebihan puasa dari sudut sains dan kesihatan, serta pelbagai hikmah lainnya, janganlah sampai melupakan tujuan yang paling utama dan matlamat yang ALLAH telah tetapkan; yakni menggapai taqwa. Adapun manfaat-manfaat lain adalah sebagai hikmah sampingan yang boleh menjadi pemangkin tambahan untuk kita melaksanakan ibadah puasa tersebut.

Dalam menghayati ayat di atas, ALLAH meletakkan target TAQWA dari perlaksanaan ibadah puasa. Adakah itu bermaksud dengan hanya puasa semata-mata taqwa itu mampu diraih?

Berhenti sejenak!

Marilah merenung sebuah hadith Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang mengingatkan kita semua dengan suatu fenomena yang sangat bahaya;

Berapa ramai orang yang berpuasa, tidaklah dirinya mendapat apa-apa dari puasanya itu melainkan lapar dan dahaga. (HR an-Nasa`ie dan Ibnu Majah, dari Abu Hurairah)

Mengapa boleh jadi demikian? Tidakkah sepatutnya puasa mendidik jiwa dan membentuk diri menjadi insan berTAQWA seperti tersebut dalam ayat di atas? Jadi mengapa masih terdapat individu yang berpuasa, tapi sungguh malang kerana puasanya tidak menghasilkan natijah seperti yang diharapkan?

Hal ini kerana puasa yang dilakukannya tidak menepati standard yang ALLAH dan Rasul-NYA telah tetapkan.

Analoginya mudah.

Dalam menjalani kehidupan di dunia, dan ketika melaksanakan sesuatu pekerjaan yang manusia amanahkan kepada kita, ada KPI (key performance index) tertentu yang perlu dipenuhi. Seandainya sesuatu pekerjaan tersebut berjaya kita laksanakan namun KPI-nya tidak terpenuhi, maka hasil kerja dan penat lelah kita akan direject!

Seorang guru yang mengajar di dalam kelas hanya meletakkan matlamat untuk menghabiskan silibus yang dibekalkan, tanpa berusaha memastikan setiap bab yang diajarnya itu difahami dengan baik oleh para pelajarnya. Maka walaupun guru tersebut berjaya menghabiskan silibus, namun ada KPI yang terlepas pandang.

Hasil penat lelahnya juga sia-sia.

Itu adalah amalan seharian di dunia.

Apalagi ibadah dalam Islam. Tentu ada perkara tertentu yang sangat perlu dititikberatkan.

Melihat kepada realiti kehidupan di universiti, saya hanya menyebutkan beberapa contoh untuk tatapan dan renungan kita bersama.

Sepasang couple yang sedang bercinta dan berkasih-kasihan, berhubungan tanpa batas dan melanggar ketentuan syara, kedua-duanya beriringan berjalan menuju ke bazar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka. Lalu ketika azan Maghrib berkumandang, si lelaki membaca doa buka puasa yang diajarkan oleh baginda Nabi, lalu kedua-duanya pun menikmati hidangan yang dibeli sebentar tadi.

...Tamat scene 1....

Dua orang sekawan yang tinggal sebilik menghabiskan masa untuk menonton video movie sepanjang hari. Mereka hanya berhenti rehat sementara untuk menunaikan solat di bilik tatkala masuk waktu, lalu setelahnya kembali menyambung tontotan video tadi. Ketika masuk waktu berbuka, kedua-duanya hanya berbuka di bilik, kemudian solat maghrib di bilik. Setelah itu mereka mempersiapkan diri, mandi, berkemas, mengenakan pakaian yang bersih dan berkain pelikat untuk menunaikan solat tarawih. Tatkala azan Isya berkumandang, mereka menunaikan solat Isya di bilik. Setelah itu mereka bergegas ke surau untuk solat tarawih secara berjemaah.

...Tamat scene 2....

Seorang muslim yang sedang berpuasa, bangun sahur, solat Subuh berjemaah di surau dan tidak ketinggalan menunaikan solat Tarawih bersama rakan-rakannya yang lain. Namun sepanjang harinya hanya dipenuhi dengan perbuatan menyakiti hati rakan-rakannya yang lain. Setiap kali bergaduh, hanya kata-kata kesat, makian dan sumpah seranah yang berhambur keluar dari mulutnya. Andai semua sumpah itu dapat ditukar kepada bentuk pepejal, nescaya akan memenuhi beberapa karung guni dan bakul. Tugas hariannya tak lebih dari mencari kesalahan orang lain untuk dicemuh. Pantang ada cacat cela yang terlihat oleh matanya, teruk orang tersebut diperlekehkan dan diperli. Demikianlah 'akhlak islami' yang ditonjolkan.

...Tamat scene 3. ...

Bagaimana pandangan anda? Scene-scene ini bukan rekaan semata-mata, tapi adalah realiti kehidupan yang sentiasa berlaku di sekeliling saya, malah mungkin di sekitar anda juga. jadi setelah merenungkan dan berfikir, agaknya adakah ibadah puasa yang dilakukan cukup untuk menggapai TAQWA yang diinginkan?

Sekarang, kembali kepada surah al-Baqarah ayat 183 tadi. Perhatikanlah! Seruannya ditujukan kepada orang beriman, dan sebagaimana yang kita ketahui, iman memiliki beberapa indikasi yang bakal menatijahkan amal dan membentuk peribadi seseorang. Banyak ayat al-Quran dan hadith nabawi yang menerangkan perkara tersebut. Maka puasa berfungsi untuk menambahkan kualiti iman tersebut, dengan menundukkan hawa nafsu dan menambah kuat keinginan untuk mujahadah.

Beberapa hadith berikut mudah-mudahan menjadi peringatan yang amat baik untuk kita;
Jika salah seorang dari kalian berpuasa, maka janganlah dia berkata keji dan janganlah marah. Maka jika ada seseorang yang memakinya atau mengajaknya berkelahi, maka katakanlah, "Sesungguhnya aku berpuasa." (Muttafaqun 'alaihi, dari Abu Hurairah)

Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan dusta, maka ALLAH tidak berhajat untuk dia meninggalkan makan dan minumnya (yakni ALLAH tidak berhajat kepada puasanya). (HR al-Bukhari, dari Abu Hurairah)

Jadi apakah standard puasa yang dikehendaki bagi mencapai TAQWA? Selain ibadah puasa yang menjadi kewajipan, tambahkanlah dengan ibadah lain yang turut menjadi tuntutan seperti qiamullail, membaca al-Quran, bersedekah, menjamu makan orang yang memerlukan, etc.

Ertinya puasa bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, malah lebih daripada itu. Puasa yang dilaksanakan dengan tidak mengabaikan kesemua aspek yang ditunjukkan oleh wahyu dan sabdaan Nabi itu berupaya membentuk peribadi dan akhlak Muslim yang dikehendaki.

Hadith berikut adalah sebagai kesimpulan;

Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan pahala dari ALLAH, diampunkan baginya apa-apa yang telah lalu dari dosa-dosanya. (Muttafaqun 'alaihi, dari Abu Hurairah)

Oleh itu, rebutlah peluang untuk hari yang masih berbaki. Semoga ALLAH membimbing kita dengan memberikan hidayah-NYA dan menerima amal ibadah kita sepanjang bulan Ramadhan ini.

Ameen.

2 komen:

imammuda said...

mantap tu mujahid.

analogi dan scene yang anta gunakan memang berlaku di tempat ana juga.

artikel yang penuh realiti lagi sensasi.
elok diedarkan kpd ikhwah akhawat utk bacaan.

hisyam_mujahid said...

memang scene yang sangat amat biasa kita dapat tengok, sebab dah jadi 'budaya' dalam kalangan student.