Friday, September 4, 2009

Ibadah Puasa Diabaikan

Beberapa minggu yang lalu, akhbar tempatan menyiarkan berita pengakuan Shah Rukh Khan...

Maaf...

Datuk Shah Rukh Khan yang tidak berpuasa kerana TERLALU SIBUK dengan kariernya. Namun beliau tetap berusaha untuk berpuasa dan biasanya setiap tahun beliau mampu menunaikan ibadah puasa sebanyak 2, 3 hari sahaja dalam sebulan Ramadhan.

Saya cuba mencari semula artikel tersebut namun tidak ketemu.

Sungguh amat sibuk bintang yang menjadi pujaan ramai anak-anak muda (malah orang tua) di negara kita ini.

Apakah karier beliau yang begitu SIBUK sehingga terhalang untuk berpuasa?

Adakah beliau berada di medan peperangan? Sebagaimana para sahabat yang berbuka sebelum menempuh medan perang Badar al-Kubra?

Ataupun beliau melakukan kerja buruh binaan bangunan yang sangat berat dan meletihkan sehingga Islam juga mengharuskan berbuka untuk golongan ini?

Atau mungkin beliau mengalami sakit setiap kali menjelang Ramadhan, sehingga tergolong dalam kalangan uzur yang akan memudaratkan diri andai terus berpuasa?
Tidak!

Karier beliau (sebagaimana yang diketahui umum) tak lebih dari sekadar BERLAKON! Lalu apakah aktiviti menghafal skrip, berulang-alik ke tempat lakonan, melakukan latihan tarian untuk beberapa scene muzikal dan segala yang bersangkutan dikategorikan sebagai SIBUK yang melampau sehingga mengharuskan beliau untuk berbuka?!

Namun amat dikesalkan, 'bintang' seperti ini masih terus disanjung dan dipuja. Biarlah dia tidak mengamalkan agama dengan sempurna... biarlah dia dengan dunia lakonannya... biarlah dia dengan segala aksinya yang menghiburkan... biarlah dia dengan segala bentuk maksiatnya... biarlah dia dengan seruannya kepada para penonton untuk terus memberi sokongan kepada Bollywood... biarkanlah!!! Dia tetap akan terus menjadi idola kami.

Sesungguhnya puasa adalah termasuk rukun Islam yang lima. Meninggalkannya tanpa sebarang uzur dan alasan yang syar'i telah disepakati ulama akan keharamannya. Malah imam adz-Dzahabi menyebut, sebagaimana dinukilkan oleh Syeikh Syed Sabiq dalam Fiqh Sunnah:

Bagi kaum mukminin telah menjadi ketetapan bahawa meninggalkan puasa Ramadhan tanpa sebarang sakit adalah lebih buruk dari penzina dan penagih arak, bahkan mereka meragukan keislamannya dan mencurigainya sebagai zindiq dan tertanggal agamanya.

Untuk lebih lanjut, silakan baca di sini.

Bandingkan pula dengan berita ini; petikan dari Berita Harian, Rabu 2 Sept 09:

Mourinho silap salahkan puasa

MILAN: Pemain tengah Ghana, Sulley Muntari, membuktikan kepada pengurus Inter Milan, Jose Mourinho yang mendakwa puasa menjejaskan prestasinya apabila memberi persembahan cemerlang ketika kelabnya membelasah jiran terdekat, AC Milan, 4-0 dalam perlawanan Sabtu lalu.

Media di Ghana memuji pemain itu kerana terus berpuasa.

Mourinho membayangkan Muntari mungkin dikecualikan daripada senarai pemain selepas menggantikannya dalam perlawanan menentang Bari selepas hanya 30 minit, minggu lalu.

Dalam perlawanan menentang AC Milan, Muntari diletakkan di kerusi pemain simpanan dengan pemain Holland, Wesley Sneider, dipilih oleh Mourinho dalam kesebelasan utama.

Tetapi, apabila dia menggantikan Thiago Motta selepas 60 minit perlawanan berlangsung dan Inter Milan mendahului 3-0, Muntari menunjukkan puasa tidak menjejasnya. - Agensi

Sulley Muntari

Jose Mourinho

Bermain bola yang memerlukan kepada tenaga fizikal tentunya lebih meletihkan daripada gerakan gelek tarian.

Mengimbau kenangan sejarah Islam yang tercatat dengan tinta emas, tidak sedikit peperangan yang berlaku dalam bulan Ramadhan. malah hampir setiap peperangan menyaksikan jumlah tentera Islam jauh lebih sedikit berbanding tentera kuffar, dan Islam tetap mencapai kemenangan.

Antaranya ialah:

Perang Badar al-Kubra. 17 Ramadhan 2H. Umat Islam seramai kira-kira 300 orang menentang puak kafir Quraisy seramai 1000 orang.

Fathu Makkah, yakni pembukaan Kota Mekkah. 10 Ramadhan 6H.

Perang al-Qadisiyyah. 9 Ramadhan 16H. Berlaku ketika zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab. Menyaksikan pertembungan antara tentera Islam seramai 10,000 pimpinan panglima Saad bin Abi Waqqash dengan tentera Parsi berjumlah 120,000. Umat Islam mencapai kemenangan dan panglima Parsi, Rustum berjaya dibunuh.

Pembukaan Andalusia. 9 Ramadhan 92H. 12,000 tentera Islam di bawah pimpinan Panglima Tariq bin Ziyad berjaya mengalahkan 90,000 (ada mengatakan 100,000) tentera Gothik pimpinan Raja Roderick.
Gibraltar, atau Jabal Tariq. Dinamakan sempena Tariq bin Ziyad. Kredit gambar

Perang Ain Jalut. Jumaat, 25 Ramadhan 658H. Tentera Islam yang dipimpin oleh Saifuddin Qutuz mengalahkan tentera Mongol yang terkenal dengan kehebatannya. Ain Jalut ialah nama medan pertempuran yang terletak di Palestin dan tidak jauh dari bandar al-Quds. Peperangan ini ialah sebagai serangan balas kepada tentera Tatar yang telah merampas beberapa kota Islam dan merobek kemuliaan umatnya. Info lanjut tentang peperangan ini boleh didapati di sini.
Peta peperangan Ain Jalut. Kredit gambar.

Banyak lagi peperangan lain yang berlaku, malah ada diantaranya yang menyaksikan kekalahan di pihak tentera Islam. Secara ringkasnya anda boleh dapati di sini.

Sesungguhnya umat Islam yang komitmen dengan keislamannya tidak pernah meninggalkan kewajipan yang telah ALLAH tentukan ke atas mereka. Namun dek rapuhnya iman dan penghayatan Islam masa kini, pelbagai alasan bodoh diberi hanya untuk meninggalkan ibadah puasa. Beberapa laporan boleh kita baca di dada-dada akhbar, bagaimana ada yang ditangkap kerana makan dan minum pada pagi Ramadhan. Apabila ditanya mengapa tidak berpuasa, mereka hanya menjawab, "Lupa niat," atau "Malas!"

Astaghfirullah... apakah bencana yang sedang menimpa masyarakat?!

Abu Umamah al-Bahili meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Pasti akan terungkai ikatan Islam, ikatan demi ikatan. Ketika terungkai satu ikatan, nescaya akan terungkai juga lanjutannya. perkara utama yang terungkai adalah pemerintahan dan akhirnya adalah solat. (HR al-Hakim, al-Mustadrak)

Apakah ikatan puasa makin terungkai? Ketika ALLAH menfardhukan puasa supaya masyarakat berusaha menggapai taqwa, masih ada segelintir yang melepaskan kewajipan tersebut dan mengabaikannya. Segala tawaran yang disebutkan dalam hadith-hadith Nabi langsung tidak menarik minatnya. Atau adakah kerana nafsu yang menguasai diri maka perintah ALLAH dibelakangkan? Dalam kes Shah Rukh Khan di atas, adakah 'kewajipan' berlakon demi mencari nafkah hidup (jika memang itu tujuannya) adalah lebih prioriti dari kewajipan puasa? Adakah skrip-skrip lakonan lebih besar dan lebih berharga sehingga ALLAH, TUHAN semesta alam dipandang sebelah mata?!!!

Wal 'iyadzu billah.

Ternyata Islam masih jauh dari penghayatan sebenar. Lalu menjadi kewajipan kepada mereka yang sedar untuk menggerakkan kalangan yang masih lena dibuai keasyikan duniawi yang penuh tipudaya. Semoga kita semakin memahami peranan dan tanggungjawab kita terhadap Islam dan masyarakatnya. Sungguh, ia bukan tugas yang mudah tapi apakah kita rela membiarkan saja semua itu berlaku dan kita turut hanyut bersama?

Insya ALLAH, tentu tidak!