Tuesday, October 6, 2009

Iklan Rokok


Tentu anda pernah melihat iklan di atas. Iklan ini adalah kempen terbaru kerajaan dalam usaha untuk mengurangkan jumlah perokok tegar.

Adakah anda rasa kempen ini berjaya sehingga 50%, atau malah lebih? Kita akan sangat bergembira, berterima kasih kepada kerajaan dan bersyukur kepada ALLAH Ta'ala jika usaha ini menatijahkan hasil yang diharapkan.

Namun realitinya?

Saya begitu tertarik dengan sebuah dialog di sebuah kedai runcit, antara peniaga dengan salah seorang pelanggannya yang juga merupakan kenalannya.

Pada suatu Jumaat, saya solat di masjid Matang. Seusai solat saya dan seorang rakan pergi ke sebuah kedai runcit untuk membeli barang. Dialognya bermula apabila seorang pelanggan kedai tersebut (seorang wanita dalam lingkungan 40-an) melihat sebuah kabinet berisi barisan kotak-kotak rokok pelbagai jenama;

"Kalau melihat iklan di kotak rokok ni, tentu golongan perokok serik nak beli rokok lagi."

Apa komen pekedai runcit tersebut? (seorang nenek dalam lingkungan 60-an);

"Yalah tu. Kalau tak laku tak da lah aku perlu dapatkan bekalan setiap minggu!"

Any comments? :)

Ketika pulang untuk beraya tempoh hari, saya terpandang sebuah iklan di TV. Juga iklan yang baru dilancarkan tahun ini berkenaan kesan buruk budaya merokok. SUbhanallah, benar-benar tersentuh dengan iklan ini. Setiap adegan dilakonkan dengan penuh penghayatan dan benar-benar meruntun jiwa yang menontonnya.

Tapi itu cuma pandangan saya yang tidak merokok. Tidak tahu apa pula perasaan golongan perokok tegar jika melihat iklan yang sama, atau mereka hanya mengambil sikap tidak peduli, sama seperti reaksi terhadap iklan yang jelas terpampang di kotak rokok yang mereka beli.

Apakah masalah ini bakal berjaya dibendung? Tepuk dada tanyalah iman dalam diri masing-masing. Apakah akar permasalahan sehingga budaya merokok begitu susah dibuang dan ditinggalkan, malah lebih menyedihkan budaya ini telah menular kepada para pelajar sekolah rendah dan kaum hawa?

Teringat kata-kata Syeikh Hassan al-Hudhaibi, Mursyidul Am Ikhwan ke-2, "Tegakkan Islam dalam dirimu, nescaya Islam akan tertegak di atas bumimu."