Thursday, November 26, 2009

Satu Cinta - StarFive



Ku memohon dalam sujudku pada-MU
Ampunkanlah s'gala dosa dalam diri
Ku percaya ENGKAU bisa meneguhkan
Pendirianku... Keimananku...

Ku memohon dalam sujudku pada-MU
Ampunkanlah s'gala dosa dalam diri
Ku percaya ENGKAU bisa meneguhkan
Pendirianku... Keimananku...

ENGKAU satu cinta
Yang s'lamanya aku cari
Tiada waktu ku tinggalkan
Demi cintaku kepada-MU
Walau seribu rintangan
Kan menghadang salam diri
Ku teguhkan hati ini
Hanya pada-MU
Ku pasrahkan...

Oh TUHAN... s'lamatkanlah hamba ini
Dari segala fatamorgana dunia
Oh TUHAN... jauhkanlah hamba ini
Dari hidup yang sia-sia



Tuesday, November 24, 2009

Monolog - Maksiat dan Taubat

"Kenapa masih terus lakukan maksiat, perkara-perkara lagho yang tak datangkan manfaat, malah buang masa? Tak tahu kah benda tu boleh mendatangkan dosa?!"

"Takkan tak tahu. Mestilah tahu. Tapi... susah nak tinggal."

"Kalau dah tahu dosa, sepatutnya mestilah takut dengan murka ALLAH."

"Mustahil la kalau kata tak takut. Tapi entah mengapa, masih terus juga terdetik nak buat."

"Kerana dah terbiasa. Nafsu tu mesti dikawal, bukan dilayan dan dimanja. Nafsu tu macam badan fizikal kita juga, perlukan makanan. Kalau baik makanan yang diberi, baiklah nafsu tu. Tapi kalau maksiat ja yang selalu disuap, buruklah jadinya. Kan ALLAH berfirman;

dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya. (surah asy-Syams; 91:7-10)

Bukankah anta juga selalu mengulang-ulang ayat ini?"

"Ya, memang betul. Bukan sekadar mengulang baca, malah ana juga selalu memberi tazkirah berdasarkan ayat ni."

"Habis! Mengapa diri sendiri tidak termotivasi? Bagaimana mungkin ingin menyentuh hati mad'u andai kita sendiri tidak tersentuh dengan ayat berkenaan?! Cukuplah. Janganlah membiarkan diri merana dengan perbuatan-perbuatan tu semua. Janganlah diturutkan lagi langkah syaitan tu. Kan tipudaya syaitan tu lemah."

"Ya, ana tahu. Dalam al-Quran pun ALLAH dah ingatkan perkara tersebut." (1)

"Hmmm.... (sigh). Kalau tentang dalil, rasanya banyak yang anta pun dah tahu, dan banyak yang dah kita sama-sama bahaskan dalam daurah, rehlah, mabit. Jadi kalau nak bentangkan pun, cuma mengulang perkara yang biasa bagi anta."

"Tipudaya syaitan tu lemah. Tapi kenapa banyak yang tergelincir? Malah dalam kalangan mereka yang mengaku da'ie pun tak terlepas."

"Sebab jiwa manusia lebih lemah. Walaupun tipudaya syaitan tu tak kuat, tapi jiwa manusia yang sangat nipis imannya masih juga terperangkap. Ubatnya hanya dengan menguatkan jiwa, biar jauh lebih kuat dari apa saja tipudaya."

"Bagaimana tu akh. Ana kadang berperang dengan diri. Nak tinggalkan tapi nafsu tetap terus membujuk. Lemahkah ana kerana selalu kecundang?!"

"Ya akhi, kerana itu kuatkanlah jiwa dengan iman kepada-NYA. Itulah mujahadah. Awalnya memang perit. Nak tinggalkan benda-benda yang dah terbiasa kita buat, dan nafsu dah seronok dengannya. Jika terlalu mudah, tak lah dinamakan mujahadah. Tapi nak dapatkan barang semahal iman dan taqwa, tentulah ada harganya."

"Bukankah ALLAH itu Maha Pengampun? Dalam sekian ayat al-Quran dan hadith Nabawi disebutkan bahawa ALLAH akan mengampunkan dosa seorang hamba walaupun dia selalu mengulang-ulang dosa itu. jadi kan ana hanya perlu bertaubat setiap kali melakukan dosa?"

"Akhi, ana tahu anta merujuk ayat dan hadith yang mana. Antaranya ialah hadith terakhir dalam Matan Arba'in an-Nawawi kan? (2)

Tapi akh, tahukah anta apakah taubat yang sebenar? Bukankah taubat itu memiliki tiga syarat? Perlu berhenti dari melakukan maksiat, perlu menyesal dengan perbuatan yang dilakukan dan perlu bersungguh-sungguh berusaha untuk tidak sama sekali melakukan maksiat yang sama. Tapi ketika kita sendiri yang mencari-cari peluang dan ruang masa untuk menjerumuskan diri sendiri dalam kegelapan maksiat itu, adakah itu dinamakan taubat? Adakah itu dinamakan menyesal? Tidakkah anta pernah mendengar hadith Nabi yang bermaksud;

Penyesalan adalah taubat. (HR al-Hakim dan Ibn Majah, sohih)

Intipati utama taubat ialah menyesal. Kerana penyesalan yang sebenar tentu dapat menghindarkan orang yang bertaubat dari mengulang-ulang maksiat. Kerana itulah taubat tersebut diterima. Tapi jika anta kata bertaubat, tapi selang beberapa ketika masih mengulang hal yang sama dengan rasa rela, itu bukan ciri-ciri orang yang menyesal. Itu hanya orang yang turutkan hawa nafsu dan kurang mujahadah."

"Tapi...tapi akh..."

"Akhi, janganlah kita jadi orang yang tertipu. Terpedaya dengan jerat syaitan kerana bersandar kepada nash-nash tadi."

"Tertipu?! Bagaimana boleh tertipu jika bersandar kepada nash?"

"Ramai orang yang menggunakan hadith-hadith yang anta maksudkan, bahawa ALLAH itu Maha Pengampun, Maha Penerima taubat, dan sebagainya, lantas menyebabkan mereka begitu mudah melakukan dosa. Sehingga keadaan tersebut menyebabkan hilang rasa bersalah dalam diri. Lalu bagaimana rasa menyesal mahu timbul jika keadaan seperti ini berterusan? Hal inilah yang disebut oleh para ulama sebagai tertipu."

"Mengapa pula demikian? Bukankah seorang hamba memang harus memiliki pengharapan yang tinggi kepada ALLAH?"

"Benar, memang tak dinafikan. Namun rasa harap yang tinggi atau ar-raja` perlu digandingkan bersama-sama rasa al-khauf, takut akan azab dan murka ALLAH. Jika hanya mengharap tapi tidak takut, jadilah seperti golongan tadi. Demikian juga, jika hanya takut tapi tidak punya harapan, mereka akan mudah berputus asa dari rahmat ALLAH. Kedua-dua golongan inilah yang tertipu. Ini juga adalah salah satu dari tipudaya syaitan!"

"Ya ALLAH, mudahnya diri ini terpedaya..."

"Kerana kita sendiri yang membiasakannya. Ia telah jadi tabiat. Jadi langkah pertama adalah dengan bertaubat, istighfar dan panjatkan doa. Antara doa yang baginda ajarkan ialah;

Allahumma inni as`alukal huda wat tuqa wal 'afaf wal ghina. (Ya ALLAH, aku mohon kepada-MU hidayah, taqwa, iffah (menjaga kemuliaan diri) dan kekayaan diri). (HR Muslim dari Ibnu Mas'ud)

Rabbana zolamna anfusana wa in lam taghfirlana wa tarhamna lanakunanna minal khosirin. (Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.) (surah al-A'raf; 7:23)

Dan masih banyak doa lain. Cuma perlu yakin dan bersungguh-sungguh berdoa. Bukan hanya menadah tangan, lalu lidah petah berdoa tapi akal dan hati menerawang memikirkan benda lain. Ingatlah sesungguhnya ALLAH tidak menerima doa dari hamba yang lalai ketika berdoa." (3)

"Entah mengapa. Dah berkali-kali ana diingatkan dengan perkara sebegini, tapi..."

"Hari yang lepas jadikan pengajaran. Rutinkan taubat setiap waktu. Akh, mujahadahlah. Bukan anta seorang punya masalah seperti ini, malah ratusan, ribuan lagi para Mukmin yang punya masalah yang sama. Mujahadah tu perit nak dilaksanakan, tapi ingat dan yakinlah akhi, dalam peritnya mujahadah, di situlah letaknya kemanisan beribadah. ALLAH menarik rasa manis beriman dan berukhwah kerana maksiat yang sering kita lakukan. Lalu korbankanlah rasa manis dunia yang sementara, tinggalkanlah dosa untuk dapatkan lazatnya berIslam dan manisnya akhirat. Kalau anta rasa tak sanggup nak tinggalkan, atau tak mampu nak tinggalkan, semua perasaan itu hanya kerana kurangnya mujahadah atau sekali lagi, kerana telah terpedaya dengan tipudaya syaitan."
---------------------------------------------------------------------
Ya ALLAH Ya Tuhanku, bukan aku tidak tahu, bukan aku tidak sedar. Tetapi kerana lemahnya mujahadah dan kemahuan, makin terhakisnya iman kerana maksiat yang aku lakukan. Ya ALLAH Ya Tuhanku, hanya kepada-MU tempat ku merintih dan mengadu, kuatkanlah jiwaku, bersihkanlah ia dari kekotoran dosa, janganlah dijauhkan hidayah-MU daripadaku, ampunkanlah aku, bantulah aku. Betapa banyak nikmat dan kasih-sayang MU yang telah ENGKAU kurniakan, namun terlalu sedikit yang aku syukuri.Ya ALLAH Ya Tuhanku, telah sekian lama aku menzalimi diriku sendiri, namun tidak putus-putus aku memohon ampunan kepada-MU. Ampunkanlah daku, dan janganlah golongkan daku dalam kalangan mereka yang rugi, di dunia dan di akhirat. Ameen Ya Rabbal 'Alamin.



---------------------------------------------------------------------
Nota kaki: 


(1) Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah. (surah an-Nisa`; 4:76)"

(2)  Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda; ALLAH berfirman, “Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepada-Ku dan berharap kepada-Ku akan Aku ampuni apa-apa yang telah kau lakukan. Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta ampunan kepada-Ku akan Aku ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang membawa kesalahan sebesar dunia, kemudian engkau datang kepada-Ku tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatu apapun, pasti Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.” (HR at-Tirmidzi dari Anas bin Malik. At-Tirmidzi berkata: Hadith ini hasan sohih.)

(3) Berdoalah kepada ALLAH dan (dalam keadaan) kalian yakin akan pengabulan (doa tersebut). Ketahuilah bahawa ALLAH tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai. (HR at-Tirmidzi)