Tuesday, November 16, 2010

Salam 'Idul Adha

Hari Raya Idul Adha pada tahun ini jatuh pada 17 November. Iaitu esok (sewaktu artikel ini ditulis). Di masjid-masjid, musholla-musholla, di siaran televisyen dan di corong-corong radio sudah mula kedengaran pengkisahan pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim ‘alaihimus salam yang menjadi teras dan asal muasal ibadah haji dan ibadah korban. Mudah-mudahan ketaatan keluarga baginda kepada perintah Allah tanpa sebarang kata dua dan argumen dapat kita jadikan iktibar yang paling berharga dalam usaha kita untuk menjadi hamba Allah yang sejati. 


Coretan kali ini hanya ingin menyentuh dua perkara yang berkaitan, untuk tatapan kita semua:


Saturday, October 30, 2010

BAL HUM ADHOLL!!!


Video di atas diperoleh daripada laman YouTube. Mungkin dah ramai yang pernah tonton sebelum ini. Video diambil dari siri dokumentari National Geographic.

Wednesday, October 27, 2010

Yusuf dan Zulaikha

Ya Allah! Satukanlah hati kedua-dua mempelai ini sepertimana Engkau satukan Rasulullah dan Khadijah, Yusuf dan Zulaikha…

Suasana di majlis akad nikah dua insan yang dipertautkan dalam satu ikatan janji pernikahan yang suci. Setelah ‘diperakui sah’ oleh para saksi yang hadir, kebiasaannya imam atau kadi akan membacakan doa untuk memohon keberkatan pernikahan ini.

Rasulullah dan Khadijah… tiada masalah. Sirah telah mencatatkan perjalanan hidup baginda Nabi didokong oleh Sayyidah Khadijah pada fasa awal penyebaran dakwah baginda.

Yusuf dan Zulaikha… Timbul masalah di sini. Benarkah Nabi Yusuf ‘alaihissalam bernikah dengan Zulaikha?

Friday, October 22, 2010

Kuunu Rabbaniyyin


Tidak mungkin bagi seseorang yang telah diberi kitab oleh Allah, serta hikmah dan kenabian, kemudian dia berkata kepada manusia, “Jadilah kalian penyembah-penyembahku, bukan penyembah Allah!” Tetapi (dia berkata), “Jadilah kalian Rabbaniyyin kerana kalian mengajarkan al-Kitab dan kerana kalian tetap mempelajarinya.” (surah Ali Imran; 3:79)

Ketika berbicara tentang tarbiyah, seringkali ayat di atas dijadikan sebagai dalil. Apakah kisah di sebalik penurunan ayat tersebut?

Tuesday, October 12, 2010

Kekuatan Niat

Suatu ketika, terdapat seorang lelaki yang berkata, “Sungguh aku akan bersedekah!” Kemudian ketika dia keluar dari rumahnya untuk memberikan sedekah, sedekahnya itu jatuh ke tangan seorang pencuri! Hal itu cepat tersebar dalam kalangan penduduk sehingga menjadi buah mulut dalam kalangan mereka. Ketika perkara itu sampai ke pengetahuan lelaki yang memberikan sedekah tadi, dia berkata, “Allahumma lakal hamdu (Ya ALLAH, bagi-MU segala pujian). Sungguh aku akan bersedekah!”


Kemudian dia keluar lagi untuk menunaikan niat sucinya itu. Akan tetapi kali ini lebih teruk lagi. Sedekahnya jatuh ke tangan seorang perempuan penzina! Penduduk setempat bercakap-cakap mengenai perkara tersebut, “Sebelum ni beri sedekah kepada pencuri. Semalam bersedekah kepada seorang penzina pula!”

Tuesday, October 5, 2010

Apabila sudah benci...

Isu yang sedang diperkatakan sekarang, selain siasatan kes kematian almarhumah Datuk Sosilawati Lawiya beserta tiga yang lain (semoga Allah mengampunkan mereka dan menempatkan mereka dalam kalangan hamba-hamba NYA yang soleh) adalah tentang tindakan kumpulan pelampau Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) di Indonesia yang menyuarakan bantahan terhadap beberapa isu membabitkan pekerja Indonesia yang dianiaya di Malaysia. Malah mereka menyatakan niat mereka yang begitu keras konon akan menghalau semua warga Malaysia yang ada di Indonesia untuk pulang semula ke Malaysia. Mereka juga pernah mengepung kediaman Duta Besar Malaysia di Jakarta dan memberi kata dua supaya Duta berkenaan meninggalkan Indonesia.

Isunya berkisar tentang sikap majikan di Malaysia yang memperlakukan amah warga Indonesia dengan teruk sehingga ada yang dirogol, dipukul, diseterika dan pelbagai lagi perlakuan haiwani yang tidak mencerminkan sifat manusiawi. Masalahnya sikap yang melibatkan individu tersebut habis dikaitkan dengan kerajaan Malaysia dan semua warga Malaysia. Semua main pukul rata. Tidakkah hal ini begitu janggal? Adakah perbuatan individu dalam sesebuah organisasi apalagi sebuah negara mencerminkan sifat kesemua warga organisasi atau negara tersebut? Apabila berlaku kes bunuh, rompak dan ragut dalam sesebuah komuniti, adakah hal tersebut bermaksud semua unit dalam komuniti tersebut memiliki perangai yang sama? Apabila terpampang di dada akhbar berita seorang warga Indonesia ditangkap kerana mengedar dadah, adakah itu bermaksud semua warga Indonesia ialah pengedar dadah?! TENTU TIDAK! Lalu kenapa hal ini dibangkitkan dengan penuh emosional sehingga meninggalkan rasional di belakang?

Apabila sudah benci…

Friday, September 24, 2010

Pernah ikuti slot muhasabah...?

Pernahkah anda mengikuti slot muhasabah dalam program-program Islamik yang pernah anda sertai? Bagaimana bentuk perlaksanaannya?


Saya masih ingat sewaktu di bangku sekolah menengah rendah, setiap kali saya terlibat sebagai peserta dalam kem ibadah yang dianjurkan pihak sekolah, biasanya akan ada slot muhasabah. Program-program tersebut dikendalikan oleh abang-abang senior, demikian juga slot muhasabah yang diadakan pada malam terakhir program. Slot muhasabah ini dimulakan dengan mengumpulkan para peserta dalam satu bilik besar dengan cahaya malap-malap. Kami akan ‘dipimpin’ oleh satu team abang senior untuk ‘melakukan kesalahan’, seperti disuruh membuat bising. Kemudian apabila keadaan menjadi ‘tidak terkawal’, satu team yang lain akan masuk untuk memulakan ‘muhasabah’. Bahagian pertama, kami akan dimarah habis-habisan; “Awat hangpa ikut ja cakap abang tu! Dia suruh buat bising, hangpa pun buat bising!”

Teruk benar kami dimarahi seolah-olah perbuatan tadi benar-benar satu dosa yang tak terampunkan!

Monday, September 20, 2010

Nota Tarbiyah

Apa itu tarbiyah?

Saban hari membicarakan tentang tarbiyah dan kepentingannya, tapi apabila disoal tentang maksud tarbiyah, apa jawapan yang boleh diberi?

Menurut Dr Ali Abdul Halim Mahmud dalam buku beliau dengan judul terjemahan 'Perangkat-Perangkat Tarbiyah Ikhwanul Muslimin', mendefinisikan tarbiyah sebagai suatu cara ideal berinteraksi dengan manusia untuk mengubah mereka dari suatu keadaan kepada keadaan yang lebih baik.

Thursday, July 22, 2010

Ceramah Hj Ayub

Nama beliau sudah lama saya dengar. Rakaman ceramah-ceramah beliau pun pernah saya lihat di laman YouTube. Namun sayangnya saya tidak pernah bertemu dengan beliau secara langsung. Kerana itulah saya begitu bersyukur apabila beliau dijemput menyampaikan ceramah di masjid berdekatan dengan rumah saya tempoh hari. Alhamdulillah…

Pada Sabtu, 17 Julai yang lalu, Masjid Desa Ilmu mengadakan ceramah sempena peringatan peristiwa Israk dan Mi’raj dan menjemput Tn. Hj. Ayyub bin Abdul Rahman. Itulah pertama kali saya bertemu dan mendengar ceramah beliau secara ‘live.’

Friday, July 16, 2010

Sembang-sembang 2: Kesan Teknologi...?

Dulu...

Kalau lapar ---> makan.
Kalau dahaga ---> minum
Kalau mengantuk ---> tidur
Kalau ada assignment ---> siapkan
Kalau ada kerja ---> mesti la buat
Kalau letih ---> rehat
Kalau ... ---> ... (isikan tempat kosong dengan jawapan anda)

Wednesday, July 14, 2010

Prasangka buruk...?

1. Sebuah cerita pengajaran indah dari buku At-Thoriq ilal Qulub (Bagaimana Menyentuh Hati) nukilan syeikh dakwah Abbas as-Sisi:

Dia adalah sebaik-baik teman, paling aktif ke masjid dan sangat menyintai teman-temannya. Tiba-tiba, lama sekali tidak Nampak batang hidungnya di tengah-tengah mereka. Ketika kemudian dia dapat berkumpul kembali, tiba-tiba seorang teman datang memaki-makinya. Dengan nada sedih dia katakan kepada temannya, “Kenapa baru sekarang kamu mahu menengokku? Ke mana saja kamu dan teman-teman selama ini? Mengapa tidak berusaha mencariku selama beberapa bulan terakhir ini. Sebenarnya aku sangat memerlukan kehadiran kalian di sampingku pada saat isteriku meninggal dunia, dan meninggalkan anak-anak yang masih kecil. Aku memerlukan orang-orang yang akrab denganku pada saat kritikal seperti itu!” 

Friday, July 9, 2010

Selesai Urusan

Alhamdulillah, semalam Khamis 8 Julai 2010 telah selesai satu urusan besar. Biarlah setiap ikhwah akhawat yang hadir menjadi saksi mata terhadap urusan besar tersebut. Mudah-mudahan menjadi pemacu dalam langkah yang bakal kita orak pada masa akan datang.

Biarlah juga langit malam dengan hiasan bulan dan bintang itu turut menjadi saksi amal kita. Mudah-mudahan FAHAM dan IKHLAS yang melandasi semua itu, dan bakal melahirkan AMAL dengan semangat baru. Semuanya hanya demi redha ALLAH semata.

Ikhwah dan akhawat ku sekalian,

Urusan dakwah ini telah menjadi amanah di atas pundak kita sejak pertama kali kita menjejakkan kaki ke dalamnya. Cuma kali ini amanah itu makin bertambah.

Urusan ini adalah urusan besar, kerana amanahnya adalah UMMAH. Janganlah kalian memandang ia sebagai urusan kecil yang tiada apa-apa. Kerana mereka yang memperkecilkan urusan ini sama ada jiwanya juga adalah jiwa yang kecil, ataupun dia tidak memikirkan urusan umat Islam global, khususnya di Malaysia tercinta.

Marilah mula mengorak langkah baru, dengan nama ALLAH...

Dengan lafaz bismillah...

Tuesday, July 6, 2010

Jaminan Syurga

1. Terdapat sebuah hadith yang menarik untuk dikongsikan kali ini. Sebuah hadith yang saya dapatkan dari kitab emas Riyadhus Shalihin himpunan al-Imam an-Nawawi rahimahullah, yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dalam Sunannya, dari sahabat Abu Umamah al-Bahili dan berstatus sohih.

2. Hadith tersebut ialah:

أنَا زَعِيمٌ بِبَيْتٍ فى رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإنْ كان مُحِقًّا وَبِبَيْتٍ فى وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإنْ كان مَازِحًا وَبِبَيْتٍ فى أعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ

Aku menjamin sebuah rumah di bawah syurga bagi sesiapa yang dapat meninggalkan perdebatan sekalipun dia benar, dan sebuah rumah di tengah syurga bagi sesiapa yang dapat meninggalkan kata-kata dusta sekalipun gurauan, dan sebuah rumah di bahagian atas syurga bagi sesiapa yang baik akhlaknya.


Thursday, May 27, 2010

JUDI! Dah ada lesen, halal la ek?

1. Judi dihalalkan oleh kerajaan? Dengan alasan yang direka-reka; nak mengelakkan rakyat daripada terlibat dengan aktiviti perjudian haram yang lebih mudarat.


Tuesday, May 4, 2010

Mukmin Cermin 1

المؤمن مرءاة المؤمن
Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin yang lain.

Sebuah hadith yang ringkas tapi amat signifikan, diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dalam kitab Sunan dan dihukum hasan oleh para muhaddithin.

Mengapa Rasulullah menganalogikan seorang mukmin itu umpama cermin?


Thursday, April 29, 2010

Sembang-Sembang: Belangkas dan Merpati

Kehidupan di universiti, ada satu benda mesti boleh lihat di mana-mana. Kafe, perpustakaan, dewan kuliah, bilik study, taman bunga, jambatan, tempat lepak, kawasan pejalan kaki, tempat parking kereta, bawah pokok. Sebutlah mana-mana tempat yang diklasifikasikan sebagai kawasan awam mesti ada, kecuali jamban awam. Kalau di jamban awam pun benda ini boleh ditemui dengan mudah, alamatnya memang tanda kiamat besar memang telah jelas kelihatan.

Apa bendanya?

Apa lagi kalau bukan pasangan belukar...

Eh! Bukan! Beluncas...

Eh! Bukan jugak! Belangkas. Atau bahasa romantik golongan monyet ni, merpati dua sejoli.  Kenapa istilahkan monyet pula? Ini yang merah telinga membaca ni!!! Sebab simpulan bahasa melayu sebut cinta monyet. Hebat jugak orang-orang melayu dahulu kala menguntai kata menyusun simpulan dan peribahasa.

Thursday, April 1, 2010

Penggetar Iman di Medan Jihad

"Persiapkanlah jiwa-jiwa kalian untuk melakukan kerja yang mulia dan besar, berusahalah untuk mati secara mulia sehingga Allah akan memberikan kehidupan kepada kalian, dan ketahuilah bahwa kematian itu pasti akan datang, dan hal itu terjadi hanya satu kali; jika kalian menjadikannya mati di jalan Allah maka itulah sebuah keberuntungan di dunia dan ganjaran yang besar di akhirat!"

Hasan al-Banna (ketika mengajak seluruh umat Islam untuk berjihad di Palestina pada tahun 1948)

"Jika ajalku telah tiba, maka tak ada seorang pun yang mampu mencegah kematianku, namun jika kematian belum saatnya maka apa pun usaha mereka tak mungkin akan berhasil juga!"

Abu A'la al-Maududi (setelah mendengar vonis hukuman mati pengadilan karena menentang Ahmadiyah)

"Ketahuilah, kami mati dan mengorbankan diri demi membela dan meninggikan kalimat Laa ilaha illa Allah, sementara engkau mencari makan dengan Laa ilaha illa Allah."

Sayyid Quthb (ketika menanggapi seorang syeikh suruhan pemerintah Gamal Abdul Nasser yang meminta Quthb mengingat Allah tatkala bersiap-siap dieksekusi hukuman gantung)

Sumber: UIA.multiply

Wednesday, March 17, 2010

Apa Ada Pada Facebook?

Sekadar coretan ringkas. Berikut antara manfaat yang saya peroleh dari Facebook:

1. Menghubungkan tali persahabatan dengan rakan-rakan sekolah dan matrik yang telah lama terpisah.
2. Mengeratkan silaturrahim dengan ikhwah di seantero bumi Malaysia dengan gurauan senda dan aktiviti sakat menyakat. 
3. Mengetahui perkembangan lama dan baru rakan-rakan dan ikhwah di manapun mereka berada.
4. Memudahkan perhubungan, kerana walaupun saya tiada menyimpan alamat email kesemua rakan-rakan saya, namun ada akaun Facebook mereka. 
5. Dapat menyampaikan maklumat dengan cepat kerana rata-rata Facebook dilayari hampir setiap hari. Malah sistem Facebook juga menghubungkan akaun dengan email masing-masing.  
6. Dapat berkongsi gambar dengan lebih cepat.  
7. Menjadi medan maya menyimpan gambar atau video. Jadi andai laptop atau desktop rosak atau hilang, gambar-gambar dan video yang menyimpan kenangan penting itu tidak turut luput. 
8. Dapat bertukar-tukar pandangan dalam sesuatu isu yang diketengahkan. 
9. Sebahagian tokoh/aktivis masyarakat lebih mudah dihubungi melalui Facebook. 
10. Yang ke-10, mungkin anda dapat tolong tambahkan. 

     Namun, ada juga yang...

    1. Lewat solat kerana melayan Facebook. 
    2. Lewat tidur dan bersengkang mata semata-mata Facebook. 
    3. Makin kurang membaca al-Quran kerana sibuk dengan Facebook. 
    4. Sanggup mengabaikan seruan azan untuk layan Facebook dulu.  
    5. Menghabiskan masa yang amat berharga dengan aktiviti komen-mengomen yang sia-sia dan games yang takkan habis. 
    6. Makin kurang studi dan membaca buku-buku agama dan bahan bacaan ilmiah lainnya kerana banyak masa di Facebook. 
    7. Kerana teruja dengan aktiviti komen-mengomen, batas pergaulan antara lelaki dan wanita makin kurang terpelihara. 
    8. Yang ke-8, mungkin anda boleh tolong tambahkan.

      Jadi amat penting meletakkan objektif dalam menyertai laman sosial di internet. Khuatir lebih banyak mudarat yang diperoleh ketimbang manfaat yang diraih. Mudah-mudahan ALLAH membantu kita, wallahul musta'an.




      Sungguh beruntung orang-orang yang beriman. (iaitu) mereka yang khusyu dalam solat mereka, dan yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna. (surah al-Mukminun; 23:1-3)

      Friday, March 12, 2010

      Bahasa dan Da'ie

      BAHASA JIWA BANGSA.

      Pernahkah anda mendengar ungkapan ini? Ungkapan orang lama yang punya nilai tersirat yang tinggi. Pada pemahaman saya, kaedah berbahasa seseorang justeru boleh melambangkan peribadi orang tersebut.

      Ada yang memandang aspek bahasa tidak penting. Lalu seenaknya saja dia berbicara. Pelbagai perkataan kotor dilontarkan dalam setiap butir bicaranya.

      Monday, March 1, 2010

      Iklan dan Aktivis Dakwah



      Saban hari iklan-iklan di atas senantiasa dipaparkan di televisyen. Semenjak kecil kita semua telah terbiasa dengan iklan barangan dan iklan-iklan lain seumpamanya. Tidaklah menghairankan jika masing-masing mengakui produk keluaran mereka ialah yang terbaik dalam kelasnya kerana masing-masing tentu bersaing untuk melariskan jualan. Mereka akan memaparkan kebaikan-kebaikan dan kelebihan yang ditawarkan oleh produk mereka. Itulah persaingan yang sihat di alam perniagaan dan etika dalam aktiviti pengiklanan, dan hal tersebut adalah lumrah. Malah kepelbagaian jenama dalam barangan yang sama memberikan pilihan kepada pengguna untuk memilih sendiri jenama apa yang mahu dibeli.

      Tuesday, February 23, 2010

      Pasca Eksiden - Pelajaran Syukur

      ALLAH...ALLAH...ALLAH...!!!

      Hanya itu kalimah yang mampu dilafazkan sebaik sahaja kereta kancil yang kami naiki terlibat dalam kemalangan yang tidak diduga. Dalam kesakitan seluruh badan yang tak mampu digambarkan, diri ini pasrah kepada TUHAN. Ya ALLAH... apa yang telah berlaku ni?!

      Monday, February 15, 2010

      2012...

      2012!!!

      Suatu ketika kita pernah dihebohkan dengan isu kiamat yang dijangka berlaku pada tahun 2012. Pelbagai propaganda digembar-gemburkan seolah-olah ramalan tersebut adalah kebenaran yang wajib dianut.

      Monday, February 8, 2010

      Bahan Bacaan

      Setiap tahun dilaporkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengalami kerugian kerana buku-buku terbitan DBP kurang mendapat sambutan. Apa nak dihairankan, kebanyakan kita lebih suka dengan majalah-majalah tidak bermanfaat yang dipenuhi dengan gosip-gosip artis dan komik-komik, berbanding buku-buku terbitan DBP yang bersifat akademik. Sudahlah kemahiran berbahasa makin dirosakkan, malah perilaku dan akhlak peribadi juga tidak terbina. Bacaan-bacaan yang kita dapatkan secara tidak langsung menyumbang kepada pembentukan peribadi seseorang. Jika perkara baik yang dibaca, maka baiklah perkembangannya, demikian sebaliknya. Lambakan majalah-majalah seumpama URTV, Mangga dan yang sewaktu dengannya benar-benar merunsingkan.

      Monday, February 1, 2010

      Alam Maya - Dunia Tanpa Sempadan...iman

      Dunia benar-benar telah berubah jika mahu dibandingkan dengan 50 tahun yang lalu. Kemajuan teknologi telah memudahkan banyak urusan manusia. Rangkaian telekomunikasi yang diwujudkan telah berkembang begitu pesat sehingga kita boleh berhubung dengan seseorang yang berada ratusan ribu kilometer, seolah-olah dia berada di hadapan mata kita.

      Jaringan internet juga telah mengalami pelbagai perubahan berbanding sewaktu ia mula-mula diperkenalkan. Kini sesiapa sahaja boleh mengakses internet tanpa dibatasi oleh faktor masa dan tempat. Di mana-mana saja dan pada bila-bila masa mengikut keselesaan pengguna, mereka boleh mengakses internet tanpa sebarang masalah. Alam maya adalah dunia tanpa sekatan dan tiada sempadan. Kerana itulah ia boleh membawa 1001 kebaikan sebagaimana ia juga mengundang 1001 mudharat.

      Bagaimana demikian?

      Saturday, January 30, 2010

      'Bahana' KCB...?

      Enta dah tengok KCB (Ketika Cinta Bertasbih)?”

      “Huh! Dah lama ana tengok. Sejak hari pertama diupload dalam internet ana dah download.”

      Dialog berkisar pada sebuah filem yang mulanya ditayangkan di Indonesia, kemudian menjalar hingga ke beberapa buah negara. Filem yang diinspirasikan dari sebuah novel dua siri yang berjaya menarik perhatian ramai kalangan, dari kelompok penggiat seni, penulis novel, pembaca, penggemar filem, hinggalah kepada aktivis dakwah kampus.
      “Banyak nilai enta boleh dapat dari novel tu. Ada nilai tarbiyah dan kehidupan yang boleh diambil. Susah senang Khairul Azzam menempuh kehidupan di Mesir, mengusahakan tempe untuk membiayai sendiri kehidupan dan pelajarannya, banyak yang boleh diteladani.”

      Saya tak mempermasalahkan novel tersebut. Cuma sesuai tajuk di atas, ingin membicarakan sedikit tentang 'bahana' filem tersebut.

      Enta tak tengok KCB lagi?! Ish... rugi, rugi. Best tau cerita dia.”

      Hebatnya penangan KCB sehingga mereka yang belum pernah menonton filem tersebut bakal tergolong dalam kalangan al-khasirun; golongan yang rugi.

      Lalu ramailah yang membayangkan diri untuk menjadi Khairul Azzam dan Anna Althafunnisa.

      Untung jika yang menonton benar-benar menghayati mesej yang disampaikan dan cuba meneladani nilai-nilai tarbawi yang ditonjolkan. Tapi jika yang menonton hanya sekadar menonton sebuah filem, persis seperti menonton filem-filem yang lain, apakah nilai-nilai yang wujud dalam filem tersebut dapat diterapkan?
      Skeptikal?

      Mungkin saya skeptikal. Tapi pandangan ini bukan kenyataan rambang tanpa asas. Saya akui banyak nilai kehidupan yang ada. Namun setakat yang saya perhatikan justeru yang dikenang-dikenang dan kerap kali diulang hanyalah lagu tema KCB. Entah apa yang terbayang dalam kotak pemikiran sewaktu peminat KCB menyanyikan lagu tersebut mengiringi nyanyian Melly Goslow;

      Ketika Cinta bertasbih Nadiku berdenyut merdu
      Kembang kempis dadaku merangkai butir cinta
      Garis tangan tergambar tak bisa aku menentang
      Sujud sukur padamu atas segala cinta

      Dalam sedar atau tidak, 'nasyid' tema yang menjadi siulan itu adalah nyanyian seorang wanita. Ulama tidak berkompromi dalam masalah lelaki yang mendengarkan wanita mendayu-dayukan suaranya untuk mendendangkan sebuah lagu. Hukumnya jelas haram berdasarkan ayat al-quran;


      Maka janganlah kamu wahai wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik (kandungan dan tatacaranya) (surah Al-Ahzab; 33:32)

      Untuk lebih jelas dalil dan hujah para ulama silakan membaca artikel UZAR

      Lebih parah lagi apabila dimasukkan ke dalam telefon bimbit dan dibunyikan saban waktu. Terkadang, kerana sesuatu isu dipandang ringan, ia menjadi biasa hatta dalam kalangan aktivis dakwah sekalipun. Lagu dimainkan, rentak dan lirik dihayati, entah bayangan apa yang muncul dalam fikiran, lantas diri terasa berada diawang-awangan.

      Dah! Tak perlu ulas panjang. Mudah-mudahan mesej dalam artikel ini dapat disampaikan dengan baik. Silakan saja jika ada yang tidak bersetuju. Mudah-mudahan dapat dibuka kepada perbincangan. 

      p/s: ada pula segolongan lain yang berbangga kerana belum menonton KCB; "Ana KCB 1 pun belum tengok. Inikan KCB 2."
      Pelbagai ragam manusia, punya keegoan dalam bentuk yang berbeza.

      Wallahu a'lam bis shawab.