Saturday, January 30, 2010

'Bahana' KCB...?

Enta dah tengok KCB (Ketika Cinta Bertasbih)?”

“Huh! Dah lama ana tengok. Sejak hari pertama diupload dalam internet ana dah download.”

Dialog berkisar pada sebuah filem yang mulanya ditayangkan di Indonesia, kemudian menjalar hingga ke beberapa buah negara. Filem yang diinspirasikan dari sebuah novel dua siri yang berjaya menarik perhatian ramai kalangan, dari kelompok penggiat seni, penulis novel, pembaca, penggemar filem, hinggalah kepada aktivis dakwah kampus.
“Banyak nilai enta boleh dapat dari novel tu. Ada nilai tarbiyah dan kehidupan yang boleh diambil. Susah senang Khairul Azzam menempuh kehidupan di Mesir, mengusahakan tempe untuk membiayai sendiri kehidupan dan pelajarannya, banyak yang boleh diteladani.”

Saya tak mempermasalahkan novel tersebut. Cuma sesuai tajuk di atas, ingin membicarakan sedikit tentang 'bahana' filem tersebut.

Enta tak tengok KCB lagi?! Ish... rugi, rugi. Best tau cerita dia.”

Hebatnya penangan KCB sehingga mereka yang belum pernah menonton filem tersebut bakal tergolong dalam kalangan al-khasirun; golongan yang rugi.

Lalu ramailah yang membayangkan diri untuk menjadi Khairul Azzam dan Anna Althafunnisa.

Untung jika yang menonton benar-benar menghayati mesej yang disampaikan dan cuba meneladani nilai-nilai tarbawi yang ditonjolkan. Tapi jika yang menonton hanya sekadar menonton sebuah filem, persis seperti menonton filem-filem yang lain, apakah nilai-nilai yang wujud dalam filem tersebut dapat diterapkan?
Skeptikal?

Mungkin saya skeptikal. Tapi pandangan ini bukan kenyataan rambang tanpa asas. Saya akui banyak nilai kehidupan yang ada. Namun setakat yang saya perhatikan justeru yang dikenang-dikenang dan kerap kali diulang hanyalah lagu tema KCB. Entah apa yang terbayang dalam kotak pemikiran sewaktu peminat KCB menyanyikan lagu tersebut mengiringi nyanyian Melly Goslow;

Ketika Cinta bertasbih Nadiku berdenyut merdu
Kembang kempis dadaku merangkai butir cinta
Garis tangan tergambar tak bisa aku menentang
Sujud sukur padamu atas segala cinta

Dalam sedar atau tidak, 'nasyid' tema yang menjadi siulan itu adalah nyanyian seorang wanita. Ulama tidak berkompromi dalam masalah lelaki yang mendengarkan wanita mendayu-dayukan suaranya untuk mendendangkan sebuah lagu. Hukumnya jelas haram berdasarkan ayat al-quran;


Maka janganlah kamu wahai wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik (kandungan dan tatacaranya) (surah Al-Ahzab; 33:32)

Untuk lebih jelas dalil dan hujah para ulama silakan membaca artikel UZAR

Lebih parah lagi apabila dimasukkan ke dalam telefon bimbit dan dibunyikan saban waktu. Terkadang, kerana sesuatu isu dipandang ringan, ia menjadi biasa hatta dalam kalangan aktivis dakwah sekalipun. Lagu dimainkan, rentak dan lirik dihayati, entah bayangan apa yang muncul dalam fikiran, lantas diri terasa berada diawang-awangan.

Dah! Tak perlu ulas panjang. Mudah-mudahan mesej dalam artikel ini dapat disampaikan dengan baik. Silakan saja jika ada yang tidak bersetuju. Mudah-mudahan dapat dibuka kepada perbincangan. 

p/s: ada pula segolongan lain yang berbangga kerana belum menonton KCB; "Ana KCB 1 pun belum tengok. Inikan KCB 2."
Pelbagai ragam manusia, punya keegoan dalam bentuk yang berbeza.

Wallahu a'lam bis shawab.