2012!!!
Suatu ketika kita pernah dihebohkan dengan isu kiamat yang dijangka berlaku pada tahun 2012. Pelbagai propaganda digembar-gemburkan seolah-olah ramalan tersebut adalah kebenaran yang wajib dianut.
Ia bermula dari sebuah kajian terhadap catatan kaum Mayan yang meramal bahawa bumi akan mengalami bencana alam maha dahsyat sebagai suatu bentuk pembersihan. Kemusnahan maha besar akan berlaku dan tamadun manusia akan memulakan lembaran baru. Dan lebih menakjubkan lagi ramalan kaum purbakala tersebut menetapkan bencana tersebut bakal berlaku pada tarikh spesifik 21 Disember 2012!
Adakah ramalan tersebut perlu diterima tanpa kesangsian?
Antara rajah kalendar kaum Mayan
Sebagai seorang muslim, kita perlulah memiliki pegangan yang jelas dalam masalah berkaitan aqidah. Hal yang ghaib hanyalah pada pengetahuan ALLAH semata dan kita tidak mengimaninya melainkan melalui apa-apa yang ALLAH nyatakan dalam al-Quran dan apa-apa yang disampaikan oleh baginda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam melalui hadith-hadith. Walaupun mungkin ribuan malah jutaan saintis telah melakukan kajian dan meramalkan kemungkinan berlakunya bencana alam besar pada tarikh tersebut, ia bukanlah menjadi asbab mutlak untuk kita beriktikad bahawa kiamat secara PASTI akan berlaku pada 2012.
Sesungguhnya hanya pada sisi ALLAH-lah pengetahun tentang hari kiamat. (surah Luqman; 31:34)
(Jibril berkata); "Maka khabarkanlah pula kepadaku tentang hari kiamat." Nabi menjawab, "Tiadalah orang yang ditanya lebih mengetahui daripada orang yang bertanya." (HR Muslim; petikan dari Hadith Jibril yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab)
Selain itu Islam yang datang menghapuskan segala kepercayaan karut kepada ramalan bomoh dan keyakinan kepada perkara-perkara khurafat yang tiada asas.
"Tapi kajian yang dilakukan pada masa kini menggunakan peralatan teknologi yang canggih. Walaupun perkara yang diramal masih jauh di depan, namun kadar salahnya adalah rendah," begitu yang biasa kedengaran.
Benar. Teknologi pada masa kini benar-benar telah berkembang maju dan kajian demi kajian yang dilakukan memiliki kadar ketepatan yang amat tinggi. Jarang sekali berlaku kesalahan dalam ramalan seumpama ramalan kaji cuaca, perhitungan bila berlaku gerhana, dan sebagainya. Namun kita tetap tidak boleh beriktikad bahawa seandainya bencana memang bakal berlaku pada tarikh tersebut, ia adalah kiamat! Cukuplah menerimanya hanya sekadar sebuah bencana alam yang luar biasa, bukan kejadian kiamat seperti yang ALLAH sebutkan.
Filem 2012
Sewaktu kita dikecohkan dengan ramalan kaum Mayan tentang kiamat, segelintir manusia tidak melepaskan peluang mengaut keuntungan. Setelah yakin propaganda yang telah disebarkan sebelumnya pasti dapat menarik ramai golongan manusia untuk menonton filem mereka, akhirnya terhasillah filem 2012 yang cuba menggambarkan kononnya bagaimana suasana suatu hari yang dinamakan KIAMAT! Saya belum pernah menonton filem ini walaupun telah lama diterbitkan, hanya sempat membaca ulasan di internet dari mereka yang pernah menontonnya.
Tsunami dengan ombak yang menjulang super tinggi, gempa bumi sehingga merekahkan jalan-jalan raya dan meruntuhkan bangunan-bangunan, letusan gunung berapi Yellowstone, keruntuhan mercu-mercu tanda di seluruh dunia, dan pelbagai kejadian lagi digarap dengan efek spesial yang mantap.
Penghujung cerita, segolongan manusia BERJAYA diselamatkan dengan menaiki sebuah kapal besar yang telah disiapkan sebelumnya. Persis seperti kisah Nabi Nuh 'alaihis salam dengan bahtera baginda. Namun sangat ironi apabila yang terselamat hanyalah golongan berada yang kaya raya, manakala golongan miskin dan papa kedana hanya dibiarkan tenggelam lemas dan hancur dalam bencana alam tersebut, seolah-olah ada mesej terselindung (subliminal message) yang ingin diterapkan.
Itulah 'kiamat' versi hollywood.
Adakah gambaran itu menepati gambaran kiamat seperti yang ALLAH ungkapkan dalam al-Quran? Adakah tayangan filem itu berjaya menimbulkan keinsafan dalam hati manusia yang menontonnya sehingga mereka pulang ke rumah dan berazam untuk menambahkan amal? Adakah filem tersebut berjaya mengingatkan manusia kepada hari kehancuran dunia a.k.a kiamat?
Jawapan saya sudah tentu tidak. Mungkin hanya sedikit gambaran yang dapat diberikan sehingga kita mampu membayangkan sekelumit cuma kesan dari bencana yang bakal berlaku. Namun untuk gambaran kiamat, tidak sama sekali. Bahkan gambaran yang ALLAH telah nyatakan sejak lebih 1400 tahun yang lalu adalah jauh lebih dahsyat dari apa-apa yang mampu difilemkan, atau yang terlintas dalam benak fikiran kita. Kebanyakan gambaran ini boleh didapati dalam surah-surah dari juz 'amma. Di sini saya hanya ingin kongsikan salah satu dari sekian gambaran yang ALLAH ceritakan tentang suasana pada hari kiamat. Dek dahsyatnya bencana dan musibah yang berlaku sehingga;
Maka apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua), pada hari itu manusia lari dari saudaranya, dan dari ibu dan bapanya, dan dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang menyibukkannya. (surah 'Abasa; 80:33-37)
Bayangkanlah betapa dahsyatnya ketika sangkakala yang kedua ditiup oleh malaikat Israfil, kita tidak lagi mempedulikan sesiapapun, hatta insan yang paling hampir dengan kita sewaktu hidup di dunia! Ketika itu kita hanya sibuk memikirkan urusan diri sendiri!
Demikianlah kiamat versi al-Quran.
Menelusuri ayat-ayat berkaitan kiamat, syurga dan neraka seperti ini sepatutnya tidak menambahkan dalam diri kita melainkan keimanan dan bekal amal yang perlu kita persiapkan. Mudah-mudahan ALLAH membantu hamba-hamba NYA yang bersungguh-sungguh mempersiapkan diri bagi menghadapi hari tersebut.


0 komen:
Post a Comment