Dunia benar-benar telah berubah jika mahu dibandingkan dengan 50 tahun yang lalu. Kemajuan teknologi telah memudahkan banyak urusan manusia. Rangkaian telekomunikasi yang diwujudkan telah berkembang begitu pesat sehingga kita boleh berhubung dengan seseorang yang berada ratusan ribu kilometer, seolah-olah dia berada di hadapan mata kita.
Jaringan internet juga telah mengalami pelbagai perubahan berbanding sewaktu ia mula-mula diperkenalkan. Kini sesiapa sahaja boleh mengakses internet tanpa dibatasi oleh faktor masa dan tempat. Di mana-mana saja dan pada bila-bila masa mengikut keselesaan pengguna, mereka boleh mengakses internet tanpa sebarang masalah. Alam maya adalah dunia tanpa sekatan dan tiada sempadan. Kerana itulah ia boleh membawa 1001 kebaikan sebagaimana ia juga mengundang 1001 mudharat.
Bagaimana demikian?
Umpama pisau, boleh digunakan memotong sayur dan mengupas buah, juga boleh digunakan untuk mencederakan orang lain.
Umpama mata pena, sebahagian menggunakannya untuk menulis cerpen, menulis surat dan mengarang buku akademik. Manakala wujud pula sebahagian lain yang menggunakannya untuk menfitnah orang lain, mengadu domba dan mencerca.
Umpama wang ringgit yang digunakan untuk membeli barangan keperluan harian dan untuk menjalani kehidupan. Tapi ada saja yang menggunakan wang yang sama untuk membeli arak, masuk ke pub dah mengupah pelacur.
Tergantung pengguna yang menggunakan alat tersebut...
LAMAN WEB SOSIAL
Saya mula mengenali laman web sosial ketika di matrikulasi. Ketika itu kawan-kawan sibuk membicarakan tentang Friendster. Saya yang baru bertatih menggunakan internet, tidak pernah terdetik untuk mendaftar dan membuka akaun laman web sosial seperti itu. Lantas apa-apa yang mereka bicarakan dan kongsikan tentang keseronokan ber'friendster' tidak begitu saya pedulikan.
Sampailah setelah saya grad, baru terdetik keinginan menyertai kafilah 'Friendster' kerana katanya memudahkan komunikasi dan menghubungkan kembali dengan teman-teman yang lama terpisah. Akhirnya sebuah akaun dicipta. Masih jelas terpampang di akaun saya, 'Anggota sejak Sept 2008.'
"Hahaha... ana dah lama buat Friendster. Sejak lepas SPM dulu dah ada akaun. Enta ni ketinggalan zaman."
Suara miring yang kedengaran. Walaupun bukan ditujukan kepada saya secara langsung, tapi adalah untuk golongan senasib dengan saya.
Apa peduli. Biarlah selepas SPM, Diploma atau apa. Yang pasti saya bertindak dengan objektif yang jelas. Membuka akaun hanya untuk berhubung dengan teman-teman tika di bangku sekolah.
Namun...
Saya terlambat. Ketika baru melangkah kaki menyertai kafilah ini, rupa-rupanya ramai yang telah berhijrah meninggalkan 'Friendster' untuk menyertai kafilah baru; FACEBOOK.
"Patutlah Friendster kurang meriah. Dulu katanya hebat sangat. Rupa-rupanya dah ada yang lagi mantop," itu yang terlintas di hati saya waktu itu.
Akhirnya pada penggal kedua tahun 2009, saya membuka akaun Facebook pula setelah melirik lebih ramai rakan-rakan lama yang memiliki akaun Facebook berbanding Friendster. Tapi objektifnya tetap sama; mahu menghubungkan semula ikatan persahabatan yang terputus sejak saya meninggalkan sekolah menengah, di samping kenalan-kenalan lain. Jadi ketika ingin menekan butang 'Add as friend', saya benar-benar pastikan individu itu adalah orang yang saya kenali. Selain rakan-rakan lama dan ahli keluarga, saya turut menambah (Add) beberapa orang tokoh yang saya hormati. Hanya itu. Itulah manfaat yang saya peroleh dengan menyertai laman sosial. Malah ada sahabat yang hampir sedekad berpisah, dapat saya temui kembali di sini.
Walaupun ada kebaikan yang diraih, namun Facebook tetap memiliki keburukan yang perlu ditapis. Pelbagai kuiz yang tidak bermanfaat, berlumba-lumba menaikkan level dan menyelesaikan misi yang tidak akan habis dalam game-game sampingan yang disediakan, semuanya sungguh sangat membuang masa. Malah ada yang akan memastikan setiap hari yang dilalui mesti diisi dengan menghabiskan masa di facebook.
Selain itu, kerana dunia maya yang tidak nyata, manusia berhubung tanpa bersua muka. Lelaki dan wanita bersembang seolah-olah sudah biasa, seperti tiada tatacara dan adab yang perlu dijaga. Sedangkan Islam sangat menekankan dan memelihara hubungan antara dua jantina. Berhubung dan berbincang tentu saja dibolehkan, tapi punya etika-etika tertentu.
Lebih parah lagi, Facebook dijadikan saluran untuk menghina individu-inidividu tertentu. Atau kadang-kadang ada yang menyalurkan pendapat dan komen yang tidak tepat tentang sesuatu isu. Contoh yang terbaru ialah seorang mahasiswa yang ditangkap kerana menyiarkan komen yang bersifat mengancam orang lain dalam isu gereja dibakar. Asal niatnya mungkin hanya mahu bergurau, namun gurauan yang tidak kena tempat dan cara akhirnya mengundang padah.
Dunia tanpa sempadan! Itulah slogan dunia maya, dunia yang benar-benar telah menghilangkan segala bentuk sempadan yang seharusnya ada dalam diri seorang manusia, apalagi seorang muslim, yakni sempadan berupa akhlak dalam tutur bicara, akhlak dalam berinteraksi, kematangan dalam berfikir dan menganalisa, serta sikap malu dalam diri. Sedikit demi sedikit, dalam sedar atau tidak, sempadan-sempadan ini makin terhakis.
BLOG
Wordpress dan Blogspot; dua domain paling popular untuk membuat blog peribadi. Saya mula berblog lebih awal daripada menyertai Friendster (kredit kepada akhi amir kerana mencetuskan saya untuk berblog). Asal domain yang saya gunakan ialah wordpress kerana ciri-ciri kekemasan yang ada. Namun saya beralih ke Blogspot kerana Wordpress telah mengehadkan penambahan aplikasi dalam bentuk kod HTML seperti shoutbox dan widget, tidak seperti sebelumnya.
"Ape la kawankulat. Dah takda nama lain ke?" Entah dah berapa kali ikhwah menanyakan hal ini.
Saya cuma tersenyum. Saya sendiri tidak pasti mengapa nama tersebut yang saya pilih. Saya mula berjinak-jinak dengan 'kulat' ketika menyiapkan Projek Tahun Akhir (PTA) dalam pengajian ijazah saya. Walaupun pernah terfikir untuk mengubah kepada nama yang lebih baik, namun biarkan dulu. Ia memiliki keunikan dan nostalgia tersendiri.
Beberapa waktu kemudian, saya membuka pula akaun di Multiply dan menghubungkannya dengan akaun blogspot saya. Multiply adalah sebuah lagi domain untuk berblog tapi memiliki beberapa ciri tambahan, antaranya pengguna Multiply dapat berhubung antara satu sama lain. Mungkin kurang popular di Malaysia, namun Multiply adalah domain blog paling utama bagi warga Indonesia. Sumber memberitahu, 21% pengguna Multiply dunia adalah dari Indonesia (kredit kepada akhi faza atas info ini, dan sebagai insan yang bertanggungjawab mengheret saya ke dalam Multiply. peace). Berhubung (connect) dengan bloggers Multiply yang kebanyakannya adalah ikhwah akhawat dari Indonesia bermanfaat buat saya kerana perkongsian yang mereka muatkan dalam blog dapat memberikan input berharga.
Ketika melayari internet dan bertandang ke blog-blog peribadi orang lain, kita akan menemui pelbagai jenis blog yang diisi dengan pelbagai bentuk artikel yang memuatkan pandangan peribadi tuan punya blog. Ada yang bermanfaat seperti blog keislaman, kesihatan, isu semasa, kemahiran perkomputeran dan analisa politik. Ada juga yang merosakkan seperti blog syiah, blog lucah dan blog yang menghina Islam. Atau ada blog yang diwujudkan untuk merakamkan pengalaman hidup dan ada yang sekadar untuk suka-suka.
Dunia tanpa sempadan! Sekali lagi slogan itu dilaungkan. Akhirnya keluarlah pelbagai kenyataan yang malah melanggar norma-norma kemasyarakatan. Kebebasan bersuara tanpa tapisan iman benar-benar merosakkan nilai manusiawi individu.
Saya terdetik untuk menulis tajuk ini setelah melayari blog saudara Khairul Nizam a.k.a AdukaTaruna yang ditangkap baru-baru ini kerana kenyataannya yang bersifat menghina almarhum Sultan Mahmud. Namun lebih mengejutkan saya bukan saja kenyataan beliau tersebut, tapi bahasa yang beliau gunakan ketika membicarakan isu para sahabat Nabi!
Terdapat dua artikel yang sempat saya baca berkenaan isu ini. Namun apabila ingin melayari semula, pemilik blog telah memadamkan entri berkenaan, mungkin atas saranan orang ramai. Namun isu ini sempat dibincangkan oleh Dr Asri dan ada screenshot artikel AdukaTaruna yang saya maksudkan dalam web beliau. Rujuk Minda Tajdid.
Hanya istighfar yang bermain di bibir ketika membaca artikel berkenaan. Tak perlu untuk dijawab di sini, kerana jalur cerita yang beliau nyatakan dalam artikel beliau sebenarnya langsung bertentangan dengan fakta sejarah sebenar. Isunya adalah kelancangan berblog sehingga para sahabat Nabi yang mulia dan sanggup berkorban demi agama dijadikan isu dan subjek untuk diBODOHkan dan diBANGANGkan. Jika difikirkan, sikap sanggup menghina Sayyidah 'Aisyah dan Sayyidina Mu'awiyah hanyalah sikap puak syiah dan pelampau agama seperti Khawarij sahaja. Wal 'iyadzu billah.
Sekali lagi, dunia tanpa sempadan bahkan telah menghakis iman dan nilai diri seorang muslim. Kewujudan dunia maya yang dilayari tanpa keikutsertaan iman dan kefahaman agama hanya mengundang kepada kerosakan individu, dan lebih teruk lagi boleh mengakibatkan kerosakan dan hilangnya norma dalam sebuah masyarakat.
Sebagaimana pisau perlukan sarung agar tidak mencederakan orang lain, demikian dunia tanpa sempadan ini perlukan sarung iman sebagai sempadan. Layarilah alam maya, tapi biarlah hanya kebaikan yang diperoleh, dan ingatlah malaikat yang tidak pernah terlupa mencatat segala amal kita dan ALLAH yang senantiasa memerhatikan gelagat hamba-hamba NYA.
ﺇﺫﺍ ﻟﻢ ﺗﺴﺘﺤﻰ ﻓﺎﺻﻨﻊ ﻣﺎ ﺷﺌﺖ
Apabila kamu tidak malu, maka lakukanlah sekehendak kamu. (HR al-Bukhari, dari Abi Mas'ud 'Uqbah bin 'Amru al-Anshari al-badri)




1 komen:
kepada pembaca, artikel AdukaTaruna berkaitan Sayyidah Aisyah dan Muawiyah tu rupanya pernah dibahaskan oleh Dr Asri dalam web beliau.
sila lihat link berikut: http://drmaza.com/home/?p=994
Post a Comment