Tuesday, February 23, 2010

Pasca Eksiden - Pelajaran Syukur

ALLAH...ALLAH...ALLAH...!!!

Hanya itu kalimah yang mampu dilafazkan sebaik sahaja kereta kancil yang kami naiki terlibat dalam kemalangan yang tidak diduga. Dalam kesakitan seluruh badan yang tak mampu digambarkan, diri ini pasrah kepada TUHAN. Ya ALLAH... apa yang telah berlaku ni?!


Lebih menakutkan saya ketika itu tatkala melihat dua orang ikhwah di tempat duduk hadapan (saya duduk di belakang), akhi Aizam dan akhi Hafidz, langsung tidak bersuara dan langsung tidak bergerak! Dalam suasana genting seperti itu, gambaran-gambaran menakutkan mula menerjah kotak pemikiran.
Namun, semuanya selamat. Pengalaman yang pertama seumpama itu sukar dilupakan. Alhamdulillah, tiada apa-apa yang buruk berlaku. Saya hanya mengalami kecederaan ringan dan lebam-lebam. Akhi Hafidz retak tulang tangan kanan dan disimen, manakala kaki kanan beliau mengalami kecederaan otot mengakibatkan susah untuk berjalan dan mengambil masa untuk sembuh. Akhi Aizam paling teruk apabila tulang femur kaki kanan beliau patah kerana kemungkinan besar kereta kami dilanggar di sebelah kanan. Beliau selamat dibedah pada hari Sabtu lepas, dan ketika artikel ini ditulis, beliau telah dibenarkan untuk keluar meninggalkan wad hospital Kuching yang menjadi rumah tumpangan beliau sejak hari Khamis lepas.

Alhamdulillah... segala kata pujian dipanjatkan kepada RABBUL JALIL yang memudahkan segala urusan.

Kami juga sangat berterima kasih kepada Koperal Hashim dari IPD Lundu yang kebetulan (baca: perancangan ALLAH) sedang memandu di belakang kereta kami bersama-sama dua orang ahli keluarga beliau. Jazakumullahu khairan atas bantuan yang dihulurkan. Ketika kejadian, dua buah kereta lagi yang dinaiki ikhwah masih belum tiba. Beliaulah yang bertungkus lumus menelefon ambulan, menghubungi rakan beliau di ibu pejabat polis memaklumkan kejadian yang berlaku dan mengawal lalu lintas. Beliau jugalah bersama-sama ahli keluarga yang lain bersusah payah mengeluarkan akhi Hafidz dari dalam kereta yang ketika itu masih mengalami gejala misoriented. Segala budi dan penat lelah beliau akan kami kenang selamanya, insya ALLAH. Hanya ALLAH yang mampu membalas dengan ganjaran yang lebih baik.

Tidak dilupakan juga kepada ikhwah sekalian yang turut memerah keringat melakukan yang terbaik untuk membantu kami. Jasa antum mengeluarkan akhi Aizam yang tersepit, mengutip barang-barang yang tercampak dari kereta, membawa kami ke Hospital Bau dan pelbagai usaha lain yang tidak terungkap di sini, juga hanya ALLAH yang mampu membalasnya. Jazakumullah khairan jaza' kepada kalian.

Juga kepada ikhwah wa akhawat di seantero bumi Malaysia yang menghubungi kami, yang turut berkongsi rasa resah dan tidak henti-henti mendoakan kami. Ukhuwwah itu terasa indah, tinggal berjauhan, tidak pernah bertatap mata, namun sentiasa terasa dekat di hati. Dicubit paha kanan, paha kiri turut berkongsi rasa sakit. Jazakumullah khairan jaza` juga buat kalian. Hanya itu doa yang mampu kami panjatkan sebagai tanda terima kasih yang tidak terhingga atas perhatian dan simpati yang diberi.

Kesakitan yang dialami menyebabkan kami terpaksa mengambil cuti untuk merehatkan badan. Berdasarkan tahap kecederaan, cuti saya rasanya tidak sampai seminggu. Keadaanpun dah makin baik. Untuk akhi Aizam dan akhi Hafidz, mungkin memerlukan masa rehat yang lebih lama. Ketika inilah baru terasa betapa nikmatnya kesihatan yang telah lama ALLAH kurniakan sebelum ini namun tidak kita perhatikan. Jadi tempoh masa sakit ini adalah masa terbaik untuk memuhasabahkan diri atas kesalahan-kesalahan dan kelalaian yang dilakukan ketika sihat dahulu. Mudah-mudahan rasa sakit ini juga adalah sebagai kaffarah dari dosa-dosa yang dilakukan. Allahumma ameen...

Lebih penting lagi, rasa sakit ini mendidik kita menjadi hamba yang lebih memahami erti syukur. Semoga rasa syukur itu tidak hanya diselami sewaktu sakit sahaja, namun akan terus dihayati dalam apa jua keadaan. Sihat, sakit, senang, susah, lapang, sempit... Mudah-mudahan ALLAH menjauhkan kita semua dari tergolong dalam golongan yang digambarkan dalam al-Quran;

فَإذا مَسَّ الإنْسَانَ ضُرٌّ دَعَانَا ثُمَّ إذا خَوَّلْنَاهُ نِعْمَةً مِنَّا قال إنَّمَا أُوتِيتُهُ, على عِلْمٍ بَلْ هِى فِتْنَةٌ ولَكِنَّ أكْثَرَهُم لا يَعْلَمُون
Maka apabila manusia ditimpa bencana, dia menyeru KAMI. Kemudian apabila KAMI berikan nikmat KAMI kepadanya, dia berkata, "Sesungguhnya aku diberi nikmat ini hanyalah kerana kepintaranku." Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui. (surah az-Zumar; 39:49)

Demikianlah sifat majoriti manusia yang ALLAH gambarkan. Sedang, golongan yang bersyukur hanyalah sebilangan kecil dari mereka. Ya ALLAH, golongkanlah kami dalam golongan yang ENGKAU redhai ini...

وقليلٌ من عِبادى الشَّكُور
Dan sedikit sekali dari hamba-hamba KU yang bersyukur. (surah Saba`; 34:13)

5 komen:

mohdnor said...

masayaAllah,
ya akhi,
moga cepat sembuh dan didoakan agar ikhwah2 sana sabar menghadapi ujian ini..

ana sudah call aizam dan bercakap dengannya, suaranya membuatkan ana terkenang saat dakwah di matrik dulu.

hisyam_mujahid said...

ameen. jazakallah khairan akhi atas doanya.

terbaru akh aizam dah keluar hospital. jangkaan doktor amek masa 3 bulan utk sembuh sepenuhnya dan boleh berjalan semula.

doakan beliau dan keluarga beliau tabah.

Fakru Razi said...

salam...ya Allah, ana terkejut giler bila farisd msj bagitau atum accident...lpas kol farisd, ana try kol nta, tp nta off hp..sbb farisd kata nta je yg ok..syafakallah..bergenang air mata masa baca kat blog mun'aim...teruk giler kete..ape la nasib shbt2 ana..semoga antum cpt sembuh...rasa nak je terbang ke kuching...

hisyam_mujahid said...

insya ALLAH akhi fakru. ana dah makin ok. cuba la kontek aizam. hp dia dah boleh dihubungi. dia yang paling teruk.

SufiSuci said...

Salam

akhi yang ana rindui, betapa terkejutnya ana setelah mendengar perkhabaran ini. Apatah lagi selepas menatap gambar yang dikongsikan ketika kemalangan ini terjadi.

Moga kalian terus tabah, diberi keampunan, rahmat dan diangkat derjat kemuliaan disisiNya.

Betapa sayunya hati kerna hanya mampu melihat dan tak mampu berbuat apa-apa kala ini.

Hanya doa yang terdaya ku kirim tanda rabitah hati. Air mata sudah kering tak mampu lagi menitis.

Allah sahaja yang Maha Mengetahui akan segala hikmah ini..