BAHASA JIWA BANGSA.
Pernahkah anda mendengar ungkapan ini? Ungkapan orang lama yang punya nilai tersirat yang tinggi. Pada pemahaman saya, kaedah berbahasa seseorang justeru boleh melambangkan peribadi orang tersebut.
Ada yang memandang aspek bahasa tidak penting. Lalu seenaknya saja dia berbicara. Pelbagai perkataan kotor dilontarkan dalam setiap butir bicaranya.
Suatu ketika, saya pernah pergi ke sebuah cyber cafe. Setelah beberapa minit berlalu, datang pula sekumpulan anak-anak kecil dalam lingkungan umur 8-10 tahun. Sebahagiannya mengambil tempat di sisi saya dan sebahagian yang lain menggunakan komputer di hadapan saya. Mereka datang beramai-ramai bukan mahu mencari maklumat berguna di internet, tapi hanya mahu bermain Warcraft secara berkumpulan. Wah! Sewaktu sebaya mereka, saya langsung tidak mengenali apa itu komputer pun! Kanak-kanak zaman kini benar-benar advance.
Namun apa yang sangat saya kesalkan adalah dialog yang sentiasa bermain di bibir mereka sepanjang bermain. Tanpa mempedulikan pengunjung lain yang jauh lebih dewasa yang ada di situ, hanya kata-kata kesat menjadi mainan pertuturan.
"Woi B***A. Hang kena defence aku. Awat yang hang pi kat situ."
"B***H hang. Sabaq la.
"Woi B***A. Mai la kat sini."
"Woi B***H hang. Tengok, aku dah mati."
Ini bukan pertandingan mengisi tempat kosong tapi tak sanggup rasanya nak menulis penuh perkataan tersebut.
Dari mana mereka pelajari semua ini? Didikan mana yang mereka peroleh sehingga begitu lancang mulut menuturkan kata-kata yang mengundang dosa? Malah lebih dikesalkan setiap kalimah itu dihamburkan tanpa rasa segan silu di tempat awam.
Wallahu a'lam. Tidak perlu menuding jari kepada sesiapa. Tapi pastikan anak-anak di sekeliling kita tidak terbiasa dengan unsur jahiliyyah seperti itu. Wallahul musta'an.
Sekurang-kurangnya dari cara percakapan sedemikian, kita dapat mengagak bagaimana akhlak mereka pada waktu yang lain. Saban hari hanya diisi dengan kata-kata makian sehingga menjadi suatu kebiasan. Sewaktu berinteraksi dengan rakan-rakan, sewaktu bermain bola sepak pada waktu petang, malah jangan terkejut jika sewaktu berinteraksi dengan orang yang lebih tua juga perkataan seperti itu tidak mampu dibuang. Jika tidak diubah dari sekarang, sewaktu jiwa dan hati masih selembut rebung, khuatir ketika telah meningkat dewasa dan sekeras buluh, sikap yang sama yang akan menghiasi peribadi. Wal 'iyadzu billah.
BAHASA DI ALAM MAYA
Di alam maya pula turut punya cerita tersendiri.
Nukilan-nukilan peribadi di blog-blog yang ditulis dengan bahasa baku lebih enak dibaca, lebih mudah dihadam dan difahami, segar sepanjang waktu. Walaupun mungkin sesuatu entri telah berusia bertahun-tahun namun terasa bagai baru semalam ditulis. Minimum kita pasti membayangkan pemilik blog tersebut adalah seorang yang punya adab, enak tutur bicaranya dan baik perilakunya.
Berbanding dengan blog-blog yang menggunakan bahasa pasar, atau bahasa yang tidak diterima pakai dalam Kamus Dewan. Membacanya saja benar-benar menyakitkan jiwa, merunsingkan fikiran dan membelitkan lidah untuk menyebut. Apalagi jika menggunakan perkataan yang disingkatkan sehingga mengundang interpretasi yang pelbagai. Malah kadang-kadang kerana terlalu asyik dengan bahasa pasar, beberapa patah perkataan menjadi bertambah bilangan hurufnya.
"Gua dh ckp sma lu, tada guna bincang benda-benda tu summa. Derang bkn nak dengar ckp lu. Buang masa lu ja."
"Pernah 1 ari, dye dtg kat sye and bg tawu yg dye suke sangat dgn sye. Sronot btul sye waktu tu."
Sebahagian mereka beralasan, "dah terbiasa la bahasa-bahasa macam tu."
"Saya kalau bahasa baku lagi la tak pandai nak tulis."
"Tak biasa la dengan bahasa baku ni."
Pelik bin ajaib. Adakah mereka dibesarkan di luar negara kemudian baru datang ke Malaysia untuk mengikuti pengajian di universiti semata-mata? Tidakkah mereka mengambil subjek Bahasa Melayu sewaktu PMR dan SPM dahulu? Sedangkan setahu saya subjek tersebut adalah wajib diambil untuk meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya.
Saya bukanlah pakar bahasa. Tatabahasa saya juga masih perlu diperbaiki. Namun saya telah dididik dengan bersungguh-sungguh oleh para guru bahasa sejak saya di bangku sekolah rendah lagi. Malah sekumpulan pakar bahasa sentiasa berkumpul dan berbincang untuk memperbaiki kaedah bahasa Melayu sejak sekian lama. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga bertungkus-lumus mengeluarkan Kamus Dewan sebagai rujukan utama bahasa Melayu. Dengan segala kesungguhan yang mereka kerahkan dan segala waktu dan tenaga yang mereka curahkan untuk mendidik saya tentang kaedah bahasa, apakah dengan begitu mudah saya melupakannya dan mengabaikannya hanya kerana telah melepasi zaman persekolahan?
Insya ALLAH, mudah-mudahan tidak. Demikianlah cara saya membalas jasa mereka. Malah mudah-mudahan dengan ilmu yang telah mereka curahkan akan menjadi amal jariah buat mereka selagi saya menggunakannya dalam menyebarkan kebaikan. Ameen. Kerana itu seboleh-bolehnya saya akan memerhatikan aspek morfologi dan sintaksis dalam penulisan sekadar yang saya mampu. Contohnya penggunaan 'dalam' dan 'di dalam', 'ke', 'pada' dan 'kepada', 'dari' dan 'daripada', hukum DM (diterangkan, menerangkan), dan lain-lain.
BAHASA DAN DA'IE
Adakah bahasa penting bagi seorang da'ie? Tentu saja. Dapatkah dibayangkan seorang yang mahu berdakwah tapi dengan kata-kata cacian yang sentiasa keluar dari mulutnya?
"Masyarakat ni bodoh betul. Orang dah habaq banyak kali ni couple ni haram. Tak faham-faham jugak. Bangang!"
"Ana dah letih nak ajak dia pegi halaqah. Alasan nak study. Tapi bukan bijak mana pun. Bangang macam tu jugak."
"Lantak dia la. Kalau dah bodoh tu memang bodoh jugak. Ana dah lepas tanggungjawab untuk tegur kesalahan dia."
"Masyarakat ni teruk, bodoh. Dah rosak. Dah kena ghazwul fikr. Dah terikut-ikut dengan hegemoni Barat dan hedonisme! Bodoh betul!"
Dari tutur bicara saja boleh melambangkan bagaimana lembutnya hati dan perasaan seseorang.
Saya sentiasa menyarankan ikhwah akhawat untuk membaca buku karangan Syeikh Abdul Hamid al-Bilali yang diterjemahkan dengan tajuk 'Profil Murabbi Ideal.' Sekalipun buku tersebut kecil, tapi perbahasan dalamnya sangat signifikan. Lihatlah dalam bab yang kedua, ketika penulis membicarakan tentang sifat ar-rifq (lembut). Menurut penulis yang menukilkan pendapat Imam Ibnu Taimiyah, ar-rifq adalah sifat ketiga terpenting bagi seorang petugas amar ma'ruf nahi mungkar selepas al-ikhlas dan al-qudwah (keteladanan). Saya menyimpulkan antara pendapat penulis, seorang da'ie dengan hati yang lembut akan sentiasa berhati-hati dengan kata-katanya. Hanya kebaikan yang keluar dari mulutnya. Jauh sekali sumpah seranah dan ungkapan-ungkapan tidak senonoh.Dalam buku Tsaqafatud Da'iyah karangan Dr Yusuf al-Qardhawi, (terbitan yang saya baca diterjemahkan kepada 'Kritik dan Saran Buat Para Da'ie), beliau memasukkan ilmu bahasa sebagai salah satu ilmu yang perlu dikuasai oleh para da'ie kerana ilmu bahasa dapat memberi kesan kepada jiwa seseorang. Malah ia adalah sebagai pelengkap yang dapat membantu para Da’ie menyampaikan maksudnya dalam bahasa yang tersusun indah dan lebih memberi kesan, ditambah dengan untaian kata-kata hikmah yang mampu menggugah hati dan tamsilan-tamsilan yang memudahkan pemahaman. Di sini saya nukilkan sebuah kisah menarik yang dimuatkan dalam buku tersebut;
Seorang Gabenur pada zaman pemerintahan Mu’awiyah bin Abi Sufyan, Ziyad pernah menyuruh puteranya untuk berkunjung kepada Khalifah. Dalam kunjungan tersebut, putera Ziyad bertukar-tukar fikiran dengan Khalifah sehingga menampakkan beliau ialah seorang pemuda yang memiliki ilmu pengetahuan yang luas dalam pelbagai bidang. Kemudian Mu’awiyah mengajak putera Ziyad berbicara tentang kesusasteraan lantas membacakan beberapa bait syair. Namun putera Ziyad mengatakan bahawa dirinya tidak arif soal sastera dan syair-syair yang dibacakan Sang Khalifah baru pertama kali didengarnya. Beberapa hari kemudian, Mu’awiyah mengutus surat kepada Ziyad dan mempersoalkan mengapa puteranya buta dalam bidang sastera dan syair. Antara isi surat tersebut:
“Wallahi, sekalipun dia ialah seorang yang tidak baik, jika diajari syair mudah-mudahan akan menjadi baik. Seandainya dia seorang yang kedekut, jika diajari syair tentu akan jadi pemurah. Dan andai dia seorang pengecut, jika diajari syair tentu akan menjadi berani.”
Kerana itu, menurut Dr Yusuf Qardhawi, tidaklah menghairankan jika ALLAH menurunkan dan menjadikan al-Quran sebagai mukjizat yang bersifat seni sastera.
----------------------------------------------
Masih segar di ingatan kita tentang isu PPSMI (Pengajaran dan pendidikan sains dan matematik dalam bahasa inggeris) yang kuat ditentang oleh pejuang-pejuang bahasa. Namun sia-sialah usaha mereka memartabatkan bahasa kebangsaan jika orang melayu sendiri tidak menghargai bahasa ibunda mereka.
Oleh itu, perbaikilah bahasa anda.
Pergilah kalian berdua kepada Firaun kerana dia benar-benar telah melampaui batas. Maka berbicaralah kalian berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, mudah-mudahan dia sedar atau takut. (surah Taha; 20:43-44)
Kesedaran terhadap kesalahan dan kefahaman terhadap Islam yang dibawa oleh para Da’ie ilallah dapat disampaikan ke hati masyarakat yang menjadi objek dakwah hanya dengan kata-kata yang lembut.
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang cantik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

2 komen:
Assalamualaikum, hehe ana macam terasa la pulak...huhu...tah le dah ditarbiyah gini so perlukan teguran dan bimbingan untuk mengubah kembali.
berkaitan Bahasa MALAYSIA, cikgu bahasa ana kata kumpulan penulis KL telah mengeluarkan resolusi bahawa penggunaan bahasa Malaysia adalah salah...sepatutnya bahasa melayu.
akhi ibnu sarha: ana taip artikel ni atas bas nak ke sibu beberapa minggu lalu. waktu tu banyak sangat baca forum2 kat internet sebab tu terdetik nak tulis pasal ni.
bahasa pasar pun ok sebenarnya, selagi bukan bahasa rojak atau bahasa pasar yang terlampau pasar. kalau bahasa yang dah biasa orang guna, kadang kalau guna dalam blog, pembaca lebih feeling jugak nak baca.
pasal BAHASA MELAYU tu, sebelum ni memang guna bahasa MELAYU sebab asalnya adalah bahasa kaum melayu di tanah melayu. pastu pada zaman Tun Mahathir jadi PM (kalau tak salah ana), diperkenalkan istilah BAHASA MALAYSIA sebab lebih integrasi kaum dan jadi bahasa rasmi negara malaysia yang digunakan oleh bukan bangsa melayu sahaja.
ooo... rupanya camtu. resolusi BAHASA MELAYU ni ana baru tau. jazakallah khair.
Post a Comment