Saban hari iklan-iklan di atas senantiasa dipaparkan di televisyen. Semenjak kecil kita semua telah terbiasa dengan iklan barangan dan iklan-iklan lain seumpamanya. Tidaklah menghairankan jika masing-masing mengakui produk keluaran mereka ialah yang terbaik dalam kelasnya kerana masing-masing tentu bersaing untuk melariskan jualan. Mereka akan memaparkan kebaikan-kebaikan dan kelebihan yang ditawarkan oleh produk mereka. Itulah persaingan yang sihat di alam perniagaan dan etika dalam aktiviti pengiklanan, dan hal tersebut adalah lumrah. Malah kepelbagaian jenama dalam barangan yang sama memberikan pilihan kepada pengguna untuk memilih sendiri jenama apa yang mahu dibeli.
Namun pernahkah anda bayangkan jika persaingan di atas tiba-tiba berubah strateginya.. Setiap syarikat bukan lagi menfokuskan kepada penonjolan kelebihan produk masing-masing, tapi lebih kepada menyingkap keburukan dan kekurangan produk saingan mereka. Dapatkah anda membayangkan iklan seumpama ini;
Bateri Energizer: Belilah produk kami. Jangan anda membeli bateri keluaran Duracell kerana harganya yang lebih mahal tapi prestasinya lebih rendah berbanding Energizer. Jauhilah bateri keluaran Sony kerana anda hanya menghabiskan duit membeli bateri tidak berkualiti.
Syampu Head n Shoulders: Produk kami adalah yang terbaik di pasaran dalam kelasnya. Elakkan membeli syampu keluaran Safi kerana memiliki kesan sampingan keguguran rambut di samping harganya yang tidak berpatutan.
Sabun Dettol: Telah terbukti sejak sekian lama, Dettol ialah satu-satunya sabun pilihan untuk kesihatan keluarga anda. Abaikan produk-produk lain yang biasa anda beli sebelum ini terutama sabun keluaran Follow Me yang boleh mengakibatkan iritasi kulit. Malah pusat kajian kami juga telah membuktikan sabun Follow Me boleh menggandakan kesan UV pada kulit.
Jika hal seperti ini berlaku, nescaya setiap syarikat yang asalnya bersaing secara sihat, pasti akan memulakan permusuhan yang tidak berkesudahan. Malah lebih teruk lagi, mereka akan menggunakan masa yang ada bukan lagi untuk kajian meningkatkan kualiti produk mereka, tapi lebih kepada memikirkan apa lagi strategi yang boleh digunakan untuk menghilangkan pengaruh saingan mereka.
Energizer akan bermusuh dengan Duracell, Sanyo dan lain-lain syarikat yang menghasilkan bateri. Dettol akan membenci pengeluar-pengeluar sabun lain seperti Fab dan Daia. Begitulah seterusnya. Persaingan yang asalnya sihat berubah 180 darjah kepada sebuah persaingan baru yang bersifat permusuhan dan berniat menjatuhkan lawan.
Virus persaingan yang sakit mula menular!
LUMRAH KHILAF MANUSIA
Perbezaan pendapat dalam kalangan kita adalah hal yang biasa. Setiap individu memiliki cara fikir dan keperibadian tersendiri. Tahap kefahaman dan kemampuan menganalisa sesuatu perkara adalah berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain. Sejak zaman Nabi dan para sahabat lagi perbezaan pendapat sentiasa berlaku. Kes yang masyhur antaranya ialah perintah solat Asar di perkampungan Bani Quraizhah. Sebahagian sahabat melaksanakan solat di pertengahan jalan apabila telah masuk waktu, dan sebahagian yang lain melaksanakannya benar-benar setelah tiba di perkampungan tersebut ketika menjelang waktu Isya.
Perbezaan pengamalan para sahabat terhadap perintah Nabi tersebut tidak diingkari oleh baginda. Hal ini menunjukkan pengakuan Nabi terhadap masalah perbezaan pandangan yang mustahil dielakkan.
Masa terus berlalu. Sepanjang sejarah Islam menyaksikan berlakunya perbezaan pandangan dan cara kerja dalam ruang lingkup yang dibenarkan syara’ sehingga melahirkan pelbagai mazhab dalam pelbagai disiplin ilmu Islam seperti hadith dan feqah. Malah disiplin ilmu morfologi dan sintaksis bahasa Arab (nahu dan sorf) juga memiliki mazhab yang pelbagai.
FANATIK MAZHAB
Pada peringkat awal, kepelbagaian mazhab ini tidak membawa masalah. Masyarakat hidup dengan harmoni tanpa sebarang pertelingkahan seru. Namun suatu ketika, wujud segolongan manusia yang tergelincir dan melampaui batas sehingga memandang mazhab anutan mereka adalah yang terbaik dan mula merendah-rendahkan mazhab lain.
Sejarah mencatatkan Imam asy-Syafie rahimahullah dilahirkan pada tahun yang sama dengan kewafatan Imam Abu Hanifah. Hanya ahli sejarah berbeza pandangan adakah kelahiran imam asy-Syafie ialah pada hari yang sama dengan hari kematian imam Abu Hanifah. Kelahiran dan kematian adalah perencanaan ALLAH. Namun dek taasub dengan imam mazhab mereka, hal seperti ini pun dijadikan hujah untuk merendah-rendahkan pihak lain.
Pengikut mazhab Syafie berkata, “Imam kalian begitu penakut kerana wafat pada tahun kelahiran imam kami.”
Dibalas oleh pengikut mazhab Hanafi, “Justeru imam kalian yang pengecut kerana hanya lahir ke dunia setelah imam kami wafat!”
Lebih teruk lagi pelbagai hadith palsu turut muncul.
Antaranya rekaan pengikut mazhab Hanafi, [Akan wujud fitnah yang datang kepada manusia lebih dahsyat dari Iblis, dari seorang lelaki bernama Muhammad bin Idris (imam asy-Syafie)].
Pelbagai keburukan diungkap dan dicipta, hanya kerana sikap fanatik buta!
KHILAF AKTIVIS DAKWAH
Imam asy-Syahid Hassan al-Banna menubuhkan jemaah Ikhwanul Muslimin di Mesir pada tahun 1928. Ketika jemaah tersebut sedang melebarkan sayapnya, wujud pula pelbagai jemaah Islam lain di tempat yang sama seperti jemaah Ansharus Sunnah al-Muhammadiyah, Tariqat Sufi dan Jam’iyyah Syubbanul Muslimin. Masing-masing memiliki objektif penubuhan tersendiri. Namun Hassan al-Banna tidak pernah berencana untuk menyatukan semua jemaah tersebut dalam jemaah yang ditubuhkan beliau. Kepelbagaian jemaah ketika itu bukanlah menunjukkan perpecahan umat Islam, kerana sarana dakwah bukanlah perkara ushul yang rigid dan tidak dapat diubah, melainkan adalah masalah furu' yang terbuka kepada ijtihad. Beliau berpegang kepada prinsip yang diperkenalkan oleh Syeikh Rasyid Ridha; Bekerjasama dalam perkara yang kita sepakati, dan berlapang dada dalam perkara yang kita perselisihkan. Jadi selama mana persaingan itu berlaku secara sihat, kesatuan hati dan ukhwah islamiyah masih terjaga, hakikatnya mereka tetap bersatu.
Namun yang menjadi masalah ialah apabila perselisihan pendapat berlaku di luar ruang lingkup yang dibenarkan syara'. Misalnya kewujudan kelompok Khawarij, Syiah, Murjiah dan Baha`iyah kerana perbezaan pendapat dalam masalah aqidah. Atau perbezaan yang membawa kepada mudarat besar sehingga merugikan umat Islam, seperti permusuhan sehingga menghasilkan ratusan hadith palsu yang mencemarkan kesucian hadith Nabawi, atau yang membawa kepada perkelahian dan pembunuhan sesama sendiri, atau berbeza pandangan dalam masalah furu' sehingga melupakan prinsip ukhuwwah islamiyah yang merupakan masalah ushul.
Contohnya pada zaman Hassan al-Banna sendiri, pernah berlaku perbalahan tentang perlaksanaan solat tarawih adakah 8 atau 20 rakaat. Ketika hal itu dirujuk kepada Hassan al-Banna, beliau kembali bertanya, “Apakah hukum solat tarawih dan apakah hukum menjaga kesatuan umat Islam?”
Golongan yang berbalah tadi menjawab bahawa hukum solat tarawih adalah sunat, manakala menjaga kesatuan umat Islam adalah wajib. Lantas Hassan al-Banna berkata, “Apakah kalian sanggup mengorbankan soal kesatuan yang wajib hanya kerana masalah solat tarawih yang sunat?”
Itulah perbezaan pandangan, atau lebih tepat lagi persengketaan yang merugikan umat Islam. Lebih menyedihkan apabila melibatkan golongan ilmuwan Islam, para sarjana yang memiliki ijazah dalam disiplin ilmu agama, hatta merebak kepada aktivis dakwah dan petugas amar ma'ruf nahi mungkar.
KEPELBAGAIAN WADAH DAKWAH DI MALAYSIA
Senario di Malaysia menyaksikan pertumbuhan pelbagai jemaah Islam yang ingin menyebarkan dakwah dan melaksanakan usaha tarbiah. Objektifnya sama namun masing-masing punya sarana dan pendekatan tersendiri. PAS, JIM, ABIM, ISMA, Salafi, Tabligh, Hizbut Tahrir dan pelbagai lagi jemaah Islam yang dijaharkan dalam pelbagai pertubuhan yang berdaftar. Usaha dakwah telah menyasarkan target seawal usia sekolah menengah, para pelajar IPT sehingga kepada golongan pekerja. Hal ini dilihat dari sudut yang positif dapat membantu usaha dakwah antara satu sama lain. Misalnya capaian dakwah yang berada di luar jangkauan sebuah jemaah dakwah, dapat ditampung oleh jemaah dakwah yang lain. Kepelbagaian ini juga mendorong setiap jemaah untuk berlumba-lumba mempelbagaikan sarana dakwah sebagai tambahan kepada sarana sedia ada dan sarana konservatif supaya dakwah dapat diterima oleh pelbagai golongan dan tidak menjadi eksklusif kepada gologan tertentu sahaja.
Jika ada yang mengatakan kepelbagaian ini merugikan dan membuang masa kerana mewujudkan perpecahan, saya ulangi kenyataan yang telah disebutkan di atas, bahawa sarana dakwah adalah perkara furu' yang masih terbuka kepada khilaf dan ijtihad. Masalah jemaah dakwah adalah masalah baru yang dibahaskan setelah kejatuhan khilafah. Ketika zaman khilafah Islamiyah memerintah, pecahan-pecahan jemaah tidak wujud kerana semua umat Islam memberikan wala' kesetiaan kepada satu Khalifah. Adapun pada zaman kini, para ulama tidak mewajibkan semua jemaah yang ada berada di bawah satu pemerintahan kerana khilafah tidak wujud, sedangkan istilah 'Al-Jamaah' yang disebutkan dalam sekian hadith Nabi semuanya menunjukkan kepada Khilafah Islamiyah. Jika setiap jemaah bersikap lapang dada, terbuka dan bersedia berkongsi idea, bergembleng tenaga dan bekerjasama dalam hal-hal yang boleh diwujudkan usaha sama, masakan akan wujud perpecahan dan perseteruan.
Namun realiti yang berlaku tidaklah seideal yang diharapkan. Kerjasama dan jabat tangan yang harmoni yang diharapkan antara jemaah-jemaah dakwah ini jarang berlaku. Malah kadang-kadang usaha tarbiah anggota jemaah juga turut menyelitkan sentimen negatif terhadap jemaah-jemaah lain. Kelemahan disingkap, diceritakan dan dijaja. Sehingga akhirnya yang wujud hanyalah pandangan serong terhadap jemaah terbabit.
Pernah suatu ketika seorang ikhwah membaca sepotong artikel yang ditampal di papan kenyataan masjid. Ketika melihat logo sebuah jemaah di akhir artikel, tidak semena-mena ikhwah tersebut ketawa. Saya yang terlihat situasi itu hairan dengan ketawa yang jelas bertujuan merendah-rendahkan.
“Fadha`il al-A'mal tu banyak hadith dhaif,” kenyataan bersifat tuduhan yang paling kerap kedengaran. Malangnya yang mengulang-ulang kenyataan ini adalah dari kalangan mereka yang selalu menghadirkan diri ke masjid dan surau. Natijahnya, apabila jemaah tabligh mula membacakan kitab fadha`il tersebut usai solat jemaah, mereka akan berundur ke belakang untuk bersembang kosong atau sibuk melayan telefon bimbit. Yang terbersit dalam benak, “Apalah gunanya mendengar penyampaian hadith dhaif,” lagaknya seperti telah banyak hadith yang dipelajari dan dihafal.
PUNCA PERPECAHAN?
Mengapa masalah seperti ini boleh berlaku? Malah terjadi dalam kalangan mereka yang menggelarkan diri aktivis dakwah yang menyebarkan Islam dalam masyarakat.
Mungkin bukanlah menjadi asbab paling utama, namun antara puncanya kerana maklumat yang diperoleh diserap dan diyakini sepenuhnya, tanpa berusaha untuk memastikan kebenarannya. Malahan dalam pertemuan antara ahli-ahli sebuah jemaah, yang turut dibincangkan adalah keburukan jemaah-jemaah lain sehingga menimbulkan pandangan negatif terhadap jemaah tersebut. Lalu persepsi negatif yang telah diwujudkan itulah yang mengakibatkan setiap maklumat yang diterima walaupun hanya dari satu pihak, samada baik atau buruk ditelan tanpa sebarang keraguan. Sedangkan syariat Islam yang kita anuti menetapkan sebarang info dan tuduhan WAJIB disertakan bukti dan saksi.
Lebih membimbangkan lagi, kerana naqib atau murabbinya telah bersikap demikian, sikap dan kepercayaan yang sama turut diterapkan dalam jiwa anak halaqahnya yang lain. Justeru yang diwariskan oleh sang murabbi bukan hanya aspek positif seperti kesungguhan berdakwah dan gerak kerja yang tersusun, malah aspek negatif juga turut menghiasi peribadi si mad’u. Sikap merendah-rendahkan kelompok lain, mewar-warkan kelemahan dan kekurangan mereka akan menjadi warisan dari generasi ke generasi.
Lalu di mana akhlak mahmudah yang menjadi matlamat pengutusan Rasul (1)? Di mana sifat berlapang dada? Di mana sifat memuliakan sesama muslim? Di mana kasih sayang yang menjadi teras ukhuwwah antara orang beriman (2)? Di mana sikap toleransi dan saling bantu membantu dalam perkara kebajikan dan ketaqwaan yang ditekankan dalam al-Quran (3)?
Amat dikesalkan apabila sifat-sifat ini tidak dapat diwujudkan sepenuhnya merentasi setiap jemaah dakwah. Perkara yang kecil menjadi besar apabila disebarkan dari mulut ke mulut. Apabila kerjasama tidak dapat dijalinkan, maka natijahnya ialah antonim kepada kesatuan, yakni PERPECAHAN. Tapi malangnya yang ditunjuk mengakibatkan perpecahan ini bukanlah masalah sikap tadi, tapi kewujudan pelbagai wadah dakwah yang dituding menjadi punca.
Masalah tidak akan selesai dan akan terus berlarutan andai SIKAP para aktivis dakwah ini tidak diubah. Justeru wahai para da’ie, lakukanlah anjakan paradigma. Berlapang dadalah dengan perbezaan yang ada selama boleh ditoleransi. Janganlah merendah-rendahkan kelompok dakwah yang lain andai tujuannya hanyalah untuk memburuk-burukkan dan bukan untuk memperbaiki.
Apa pula kaitan perbahasan ini dengan mukaddimah iklan di awal tadi? Cubalah kita banding bezakan antara etika pengiklanan dengan sarana yang kita gunakan untuk berdakwah. Apakah yang kita lakukan untuk menarik minat mad’u kepada jemaah kita? Adakah dengan menonjolkan kelebihan yang kita ada, atau hanya sekadar menceritakan kelemahan jemaah lain supaya mereka menjauh daripadanya? Jangan sampai syarikat perniagaan lebih beretika daripada kita aktivis dakwah. Seterusnya seruan terakhir mungkin kedengaran agak pelik, namun CONTOHILAH ETIKA PENGIKLANAN BARANG DAGANGAN!
______________________________________________Nota kaki:
1. إنما بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ صالحَ الأخلاق
Hanyasanya aku diutuskan adalah untuk mnyempurnakan kebaikan akhlak. (HR al-Baihaqi, dari Abu Hurairah. Disahihkan oleh imam as-Suyuthi dan al-Albani)
2. Muhammad adalah utusan ALLAH. Dan orang-orang yang bersama-sama dengannya bersikap keras terhadap golongan kafir, dan berkasih sayang sesama mereka. (surah al-Fath; 48:29)
3. Dan tolong-menolonglah kalian dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah kalian tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. (surah al-Ma`idah; 5:2)



6 komen:
Alhamdulillah ana sangat setuju dengan artikel ni.. Jiwa seorang yang bersih, menulis juga dengan hati yang bersih.. Moga ada pencerahan dalam Dakwah di Malaysia.. kerana Alhamdulillah pencerahan itu semakin menghampiri.. Berlapang dada dan beukhuwhwah adalah pekara yang sangat mulia yang diajar Rasulullah...Moga kita sama-sama berdakwah kerana Allah.. Mengajak orang kepada Islam bukan kepada Jemaah...
Syukran Akhi.. antum thaib..
ya, cuma perlu difahami, wadah adalah pembantu kepada dakwah, sebahagian aktivis dakwah terlalu jumud dan tidak memandang ke hadapan
mereka beranggapan dengan menonjolkan wadah bererti mengajak kepada jemaah, sedangkan tidak seperti demikian
Kalau wadah merupakan salah satu dari faktor kekuatan, maka tiada salahnya kita mempersiapkannya..8:60
Mustapha Masyhur pernah berkata "yang kita inginkan dari masyarakat muslim bukannya semua anggota masyarakat 'ikhwan dan akhawat', tetapi cukuplah mereka yang sebilangan kecil ini mampu mewarnai masyarakat"
Seandainya dengan wadah mampu mewarnai masyarakat dan mengenalkan fikrah kita kepada masyarakat, maka ia tidak menjadi kesalahan..
Di indonesia, masyarakat kenal PKS sebagai wadah yang prihatin terhadap rakyat,
Di Mesir, masyarakat kenal IM, di Palestin dengn HAMAS.
Namun, tidak dinafikan berdakwah tanpa platform juga punya kelebihannyaa bahkan di satu satu sisi, lebih baik sebenarnya, cuma janganlah memandang enteng kepada dakwah yang berplatform dengan kemudiannya memburuk burukkanya..
Wallahua'lam
Alhamdulillah.. Memang betul.. artikel ni perlu difahami... Wadah hanyalah alat utk mengajak orang kepada Islam dan menyampaikan fikrah dan kebenaran...
Insya Allah, telah pun ada wadah yang Rasmi di Malaysia bernama (-----)... Mudahan ia akan dikenali di Malaysia Sepertinya di Indonesia dgn PKS dan di Mesir dgn IM. dan HAMAS di Palestina...hehehe..
Wadah ini menyatukan semua wadah yang sefikrahnye.. ehehehe... Moga kita beramal kerana Allah dan hanya untuk Allah...
Jazakallah kawan kulat.. ana uhibbuka ya akhi..
Best best artikel...smoga dapat mencerahkan pemahaman ikhwah lain..
jazakumullah khairan ikhwati yang sudi memberikan pandangan. bab wadah/jemaah insya ALLAH kita ulas dalam kesempatan lain. banyak ja wadah yang rasmi dan berdaftar kat malaysia ni.
jemaah pun takrifannya ialah perkumpulan manusia. jadi mana2 perkumpulan samada NGO, parti politik, masuk dalam pengertian jamaah secara bahasa. kalau badan2 di peringkat sekolah/IPT e.g. badan dakwah, disebut jam'iyah, ertinya jemaah kecil.
fokus artikel ni lebih kepada masalah sikap yang wujud dalam sebilangan ahli sesebuah jemaah dakwah yang boleh memberi impak kepada hubungan ukhuwwah merentasi anggota jemaah. lalu banyak perkara yang berlaku ditanggapi secara negatif, dan banyak info yang diperoleh diintepretasikan secara negatif dan lari dari maksud asal sumber info.
ana uhibbukum fillah jami'an. wallahu a'lam.
Mantap akh!
http://ibnuishak88.blogspot.com/
Post a Comment