Kehidupan di universiti, ada satu benda mesti boleh lihat di mana-mana. Kafe, perpustakaan, dewan kuliah, bilik study, taman bunga, jambatan, tempat lepak, kawasan pejalan kaki, tempat parking kereta, bawah pokok. Sebutlah mana-mana tempat yang diklasifikasikan sebagai kawasan awam mesti ada, kecuali jamban awam. Kalau di jamban awam pun benda ini boleh ditemui dengan mudah, alamatnya memang tanda kiamat besar memang telah jelas kelihatan.
Apa bendanya?
Apa lagi kalau bukan pasangan belukar...
Eh! Bukan! Beluncas...
Eh! Bukan jugak! Belangkas. Atau bahasa romantik golongan monyet ni, merpati dua sejoli. Kenapa istilahkan monyet pula? Ini yang merah telinga membaca ni!!! Sebab simpulan bahasa melayu sebut cinta monyet. Hebat jugak orang-orang melayu dahulu kala menguntai kata menyusun simpulan dan peribahasa.
Erm... faham ke tak ni? Golongan apa yang cuba dimaksudkan dalam ngomelan ni? Golongan 'couple' lah.
Hmm... Ooo... Jadi apa masalahnya kalau pasangan-pasangan ni selalu kelihatan pun? Mencacatkan pemandangankah?
Huish... bukan setakat mencacatkan pemandangan, malah mencemarkan alam sekitar.
Aik?! Mencemarkan alam sekitar? Mereka ada buat pencemarankah?
Ya. Secara tidak langsung mereka menyebabkan alam sekitar rasa tercemar dengan aktiviti maksiat mereka. Apakah mereka fikir berdua-duaan di bawah pokok, keluar berkelah di sungai dan pantai bersama-sama sambil menghayati keindahan alam tu, alam rasa dihargai? Justeru sesak dada alam tu nak bernafas.
Kenapa pulak macam tu? Cuba jelaskan sikit.
Sebabnya, tidakkah alam tu setiap detik berzikir kepada ALLAH. Dalam al-Quran ALLAH ada menyebut bahawa:
Apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi bertasbih kepada ALLAH. Dan DIAlah yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana. (surah al-hasyr; 59:1)
Dan banyak lagi ayat-ayat lain yang senada. Bayangkan sewaktu pokok-pokok dan unggas-unggas di hutan sibuk berzikir tu, dengan penuh selamba ada sorang mamat dengan sorang minah ni datang bertenggek bermadu kasih. Ibaratnya orang sedang liqa tadarus al-Quran dalam masjid, tiba-tiba masuk dua merpati yang tiada ikatan yang sah, jalan-jalan berpegangan tangan, pusing-pusing mengelilingi halaqah tadarus tadi. Tak ke panas orang-orang dalam masjid tu. Nak saja rasanya direjam kedua-duanya dalam kolah masjid.
Melihat kelibat golongan mahasiswa mahasiswi yang bakal menggantikan kepimpinan negara suatu hari nanti masih bersikap kebudak-budakan seperti ini, adakah negara punya harapan tinggi untuk bangun menjulang nama di persada antarabangsa?
Mereka adalah golongan intelek. Menerima pendidikan formal dari para pensyarah. Buku-buku rujukan yang ditelaah untuk menghadapi peperiksaan dan menyiapkan tugasan juga adalah buku rujukan bertaraf tinggi yang tidak dapat difahami oleh semua orang melainkan mereka yang mendalami bidang tersebut sahaja.
Namun amat disayangkan apabila gejala pacaran ini jelas menjadikan mereka lebih jahil daripada golongan tidak berpelajaran.
Jahil kerana malas belajar? Bukan...
Jahil kerana tidak membaca? Bukan...
Jahil kerana IQ yang rendah? Bukan...
Tapi jahil kerana menurutkan hawa nafsu. Bisikan syaitan dituruti, kehendak nafsu dipatuhi. Lantas menjadikan golongan terpelajar juga tertipu. Kerana kebijakan akal diletakkan di belakang hawa nafsu sehingga syariat diketepikan. Lalu tiada apa lagi yang tinggal melainkan kebodohan dalam bertindak. Apa saja tindakan sanggup dilakukan demi kepuasan diri sendiri dan 'kebahagiaan' pasangan masing-masing.
Tak percaya?
Muhasabah ke dalam diri, dan telitilah kehidupan manusia di sekeliling kita.
Ada yang sanggup menghabiskan wang ringgit semata-mata untuk membuat panggilan kepada si buah hati tanpa sebarang asbab yang syar'ie. Sanggup berbelanja di tempat-tempat mahal, membeli belah dan makan-makan demi memuaskan hati pasangannya. Lagaknya seperti orang kaya, namun hakikatnya ada yang sampai sanggup berhutang asalkan 'hatinya menjadi milikku'.
Tidakkah rasional akal telah terkebelakangkan dek menurut titah perintah nafsu syahwat? Tindakan tanpa rasional akal fikiran hanyalah tindakan kurang matang. Apalagi setiap amal perbuatan tersebut hanya menimbunkan dosa sedia ada. Wal 'iyadzu billah.
Ceritanya tidak berhenti setakat ini sahaja. Ada pula yang baru mengikat tali pertunangan namun lagaknya melebihi pasangan suami isteri yang sah! Panggilan 'sayang', 'hubby', 'abang' dan entah pelbagai istilah lagi digunakan tanpa segan silu. Apakah Islam menghalalkan pasangan yang baru bertunang untuk sebebasnya berhubungan sedemikian?
Tentu tidak! Selama ikatan pernikahan belum dimeterai, perhubungan lelaki dan perempuan tetap ada batas yang perlu dipelihara. Jangan sampai syaitan menyelit dan merosakkan ikatan janji menuju gerbang pernikahan tersebut. Ikatan yang asalnya suci dinodai dengan rona dosa. Malah pada zaman teknologi seperti ini, masalah seperti ini jelas dapat dilihat di alam siber. Si lelaki menyapa tunangnya di laman sosial Friendster dan Facebook dengan panggilan 'sayang', si wanita juga menyahut dengan panggilan 'sayang.' Syaitan yang melihat pula ketawa berdekah-dekah.
Apalagi jika ada yang berkongsi gambar-gambar intim dan mesra tak bertempat. Kemudian di'tag'nya rakan-rakan lain untuk melihat. Samada sedar atau tidak, berkongsi gambar yang maksiat dikhuatiri mengundang dosa, malah yang turut berseronok dengan gambar tersebut juga dikhuatiri berdosa, dan dosanya bertimpa-timpa ke atas tuan empunya gambar.
Lalu apa yang perlu dilakukan? Kembalilah melihat tuntutan syariat. Jangan menilai sesuatu perkara kerana seronoknya kita melakukannya, atau kerana ramainya manusia turut menyokong tindakan kita. Tapi nilailah dengan nilaian syariat. Kata kuncinya TAQWA.
Dan barangsiapa yang berpaling dari pengajaran ALLAH Yang Maha Pengasih (al-Quran), KAMI biarkan syaitan (menyesatkannya) dan menjadi teman karibnya. (surah az-Zukhruf; 43:36)
Janganlah kita 'dihukum' sehingga dijadikan syaitan itu teman akrab yang mendampingi kita dan membisikkan keburukan untuk kita lakukan saban hari. Tapi berusahalah mendekati ALLAH melalui amal wajib dan sunat sehingga perbuatan anggota kita bertepatan dengan syariat.
إن الله تعالى قال: مَنْ عَادَ لِى وَلِيًّا فَقَد آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ. ومَا تَقَرَّبَ إِلَىَّ عَبْدِى بِشَئٍ أَحَبُّ إِلَىَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عَلَيْهِ, وَلَا يَزَالُ عَبْدِى يَتَقَرَّبُ إِلَىَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ, فَإذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِى يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِى يُبْصِرُ بِهِ وَيَدَهُ الَّتِى يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِى يَمْشِى بِهَا, وَلَئِنْ سَأَلَنِى لَأُعْطِيَنَّهُ وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِى لَأُعِيْذَنَّه
ALLAH berfirman, "Sesiapa yang memusuhi walu-KU, maka AKU mengumumkan perang terhadapnya. Tidaklah hamba-KU mendekatkan diri kepada-KU dengan sesuatu yang lebih AKU cintai daripada apa-apa yang telah AKU wajibkan ke atasnya. Dan tiadalah hamba-KU berterusan mendekatkan diri kepada-KU dengan amalan-amalan sunat sehingga AKU menyintainya. Apabila AKU telah menyintainya, AKU akan menjadi pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang dia gunakan untuk menggenggam dan kakinya yang dia gunakan untuk berjalan. Jika dia meminta pasti AKU berikan, dan jika dia memohon pertolongan nescaya pasti akan AKU lindungi." (hadith qudsi, riwayat al-Bukhari dari Abu Hurairah)
YUK! Pelajari syariat!
YUK! Pelajari syariat!



0 komen:
Post a Comment