Thursday, July 22, 2010

Ceramah Hj Ayub

Nama beliau sudah lama saya dengar. Rakaman ceramah-ceramah beliau pun pernah saya lihat di laman YouTube. Namun sayangnya saya tidak pernah bertemu dengan beliau secara langsung. Kerana itulah saya begitu bersyukur apabila beliau dijemput menyampaikan ceramah di masjid berdekatan dengan rumah saya tempoh hari. Alhamdulillah…

Pada Sabtu, 17 Julai yang lalu, Masjid Desa Ilmu mengadakan ceramah sempena peringatan peristiwa Israk dan Mi’raj dan menjemput Tn. Hj. Ayyub bin Abdul Rahman. Itulah pertama kali saya bertemu dan mendengar ceramah beliau secara ‘live.’


Banyak kisah yang beliau kongsikan, sejak beliau muda remaja ketika menuntut di institut untuk menjadi seorang paderi, bagaimana beliau mula tertarik dengan Islam, sehinggalah kepada pengalaman beliau pada hari ini dalam berdepan dengan beberapa masalah yang berlaku dalam masyarakat.

Hj Ayub Abdul Rahman. Sumber: Blog akhi Nazmi

Di sini, ingin saya kongsikan beberapa kisah yang sempat beliau sampaikan dalam ceramah yang memakan waktu lebih kurang 2 jam setengah. Kisah-kisah ini mengandung manfaat yang sangat besar bagi kita umat Islam.

KISAH 1

Sewaktu beliau telah bertekad untuk memeluk Islam sekitar tahun 1970-an, beliau menuju ke masjid pada waktu solat. Beliau menunggu di luar masjid sehinggalah orang ramai usai menunaikan solat fardhu. Ketika jemaah berpusu-pusu keluar untuk beredar, beliau menuju ke arah seorang remaja dan berkata, “Adik, saya ingin memeluk Islam.”

Agak-agak, apakah reaksi remaja terbabit?

Dengan selamba dia hanya berkata, “Eh! Awak jangan main-main. Agama Islam hanya untuk orang MELAYU!”

Tersentak dengan pernyataan tersebut. Apakah memang Islam tidak dibuka ‘penyertaannya’ kepada seorang india kristian seperti beliau?

Namun alhamdulillah, setelah beberapa ketika, beliau dipertemukan dengan Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Tun Abdul Rahman Yaakub, yang juga mantan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-4, dan di rumah Tun, beliau mengucapkan dua kalimah syahadah.

Apa komen beliau tentang remaja tadi, “Tiada semangat DAKWAH!”

KISAH 2

Menceritakan pengalaman beliau sewaktu menjadi paderi, antara yang dikongsikannya ialah bagaimana bentuk layanan gereja terhadap kanak-kanak sewaktu berlangsung sesuatu majlis di gereja.

Menurut beliau, kanak-kanak dilayan bagai VIP. Jika ada jamuan makan, kanak-kanak adalah yang pertama diberi makan. Golongan dewasa, ibu dan bapa semuanya akan dijemput makan kemudian. Hal ini menyebabkan kanak-kanak sentiasa tertarik untuk hadir ke sebarang majlis yang dianjurkan gereja.

Namun pemandangan di sebahagian masjid yang selalu beliau lihat pula adalah terbalik! Golongan kanak-kanak seolah-olah dianaktirikan. Malah ada masjid yang tidak mengizinkan kanak-kanak masuk ke kawasan dewan solat utama, hanya boleh solat di kawasan solat luar sahaja. Jika ada sebarang majlis, kanak-kanak tidak akan dilayan, malah akan dimarahi jika ‘membuat kacau’. Apalagi jika ada jamuan makan. Kanak-kanak adalah yang terakhir mendapat peluang untuk makan.

Hal ini pada pandangan beliau, antara faktor yang menjauhkan kanak-kanak dengan masjid. Jika ada apa-apa majlis pun kebanyakannya adalah disasarkan kepada golongan dewasa. Amat jarang penganjuran majlis khusus untuk kanak-kanak. Malah mereka juga akan berasa ‘malas’ untuk hadir kerana takut dimarahi.

Saranan beliau, masjid haruslah menjadi lebih ‘mesra’ dengan semua golongan. Tak kira budak-budak, atau bapak budak. Jangan sampai masjid hanya dihadiri oleh golongan pencen. Sedang golongan remaja lebih suka merempit dan melepak.

* Isi bertanda merah adalah tambahan penulis.


KISAH 3

Kisah seorang lelaki yang bekerjaya dan sangat mementingkan pendidikan anak-anaknya. Kisah ini berlaku di kawasan beliau.

Si ayah sanggup menghabiskan wang untuk menghantar anak lelakinya ke tusyen, demi memastikan anak tersebut cemerlang dalam peperiksaan. Begitu obses beliau terhadap pelajaran anaknya, sehingga sanggup mengabaikan tuntutan solat. Walaupun waktu tusyen bertembung dengan waktu solat, tusyen lebih diutamakan.

Sehinggalah pada suatu Jumaat, setelah si anak meningkat dewasa...

Si ayah sedang bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat Jumaat. Sedang si anak sedang leka di hadapan skrin komputer.

“Anak! Jom ke masjid, solat Jumaat.”

“Tak apalah ayah. Ayah pergi dahulu, nanti saya akan pergi sendiri.”

Si ayah pun akur. Dia menuju ke masjid seorang diri kerana yakin anaknya akan menyusul dengan kenderaan sendiri.

Usai solat Jumaat, si ayah pulang ke rumah. Terkejut bukan main si ayah kerana anaknya masih di hadapan komputer!

“Anak! Kamu tak pergi solat Jumaat?!”

“Tak apalah ayah. Nanti saya akan pergi solat di GEREJA!”

Solat... di GEREJA!!!

Marah si ayah tak dapat dibendung lagi. Penyesalan sudah tidak berguna. Anaknya sudah MURTAD! Diikatnya si anak, dirotan dan dikurung dalam bilik.

Diringkaskan cerita, kes tersebut sampai ke pengetahuan Hj Ayub. Melalui usaha beliau terutamanya, si anak tadi berjaya diyakinkan semula dengan Islam dan akhirnya kembali mengucap dua kalimah syahadah. Dan kini, si anak tidak lagi mengabaikan kefardhuan solat lima waktu.

Apa yang beliau simpulkan, didikan dari ibu bapa sebagai madrasah pertama sangat penting. Merekalah yang mencorakkan kehidupan anak-anak. Jika ibu ayah mengabaikan tarbiyah islamiah, mengabaikan kewajipan solat, puasa dan ibadah-ibadah lain, kesannya boleh menjadi seburuk tadi. Si anak MURTAD hanya kerana si ayah tidak pernah menekankan kewajipan solat sejak dari kecil.

...............................................

Selain itu, beliau juga kerap kali mengingatkan hadirin dengan satu masalah yang berlaku di Malaysia terkait dengan agama Kristian dan orang Islam.

Sebahagian penceramah tidak mendapat maklumat yang benar dan jelas tentang agama Kristian, sehingga menyampaikan perkara-perkara yang tidak benar tentang paderi, ritual di gereja, dan lain-lain. Malah beberapa tahun lepas heboh diperkatakan tentang Holy Water. Konon orang Islam yang meminum air tersebut terus tidak dapat mengucap. Lebih teruk lagi, bahan-bahan dan cara penghasilan air suci tersebut digambarkan dengan sangat jijik. Sedangkan beliau yang pernah terlibat dalam menghasilkan Holy Water menerangkan bahawa air tersebut sebenarnya dihasilkan dengan ritual tertentu yang tidaklah sejelek yang digembar-gemburkan. Malah air tersebut dikhususkan untuk mengambil ‘wudhu’ bagi orang Kristian, bukan air minum!

Selain masalah tersebut, ada lagi masalah lain. Pernah ada seorang Kristian yang memeluk Islam dan mengaku sebagai bekas paderi. Lalu beliau diberikan pentas di serata tempat di Malaysia untuk menyampaikan ceramah tentang agama Kristian. Banyak yang disampaikan hanyalah tentang kehidupan seks paderi dan perkara-perkara lucah! Sehingga pernah suatu ketika, dalam suatu ceramah, Hj Ayub sendiri pernah ditanya, “Sepanjang 12 tahun menjadi paderi, berapa banyakkah biarawati (nun) yang anda simpan?!” Sedangkan kenyataannya, sejak beliau terlibat dalam kelas formal untuk menjadi paderi, sehinggalah menjadi paderi, tidak pernah beliau melakukan perbuatan terkutuk tersebut.

Setelah diselidiki, ternyata, penceramah tersebut bukanlah bekas paderi, melainkan hanyalah bekas ‘tok siak’ di sebuah gereja di Sabah.

Penyebaran cerita-cerita seperti ini hanya mencemarkan imej kaum Muslimin pada mata pandangan orang Kristian. Beliau mengingatkan hadirin dengan firman ALLAH;

Dan janganlah kalian mencerca benda-benda yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca ALLAH secara melampaui batas kerana ketiadaan pengetahuan. Demikianlah KAMI memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu DIA menerangkan kepada mereka apa-apa yang mereka telah lakukan. (surah al-An’am; 6:108)

...............................................

p/s: ceramah berlangsung pada Sabtu malam. Keesokannya pada pagi Ahad, 18 Julai 2010, saya menerima panggilan daripada ukhti Hasni yang menyampaikan berita tentang suami beliau, akhi Aizam terlibat dalam kemalangan.

Doa dipanjatkan, bantuan dihulurkan semampu mungkin bagi meringankan beban musibah yang menimpa akhi Aizam. Mudah-mudahan ALLAH merahmati beliau dan keluarga beliau, menguatkan hati mereka untuk tabah dengan ujian, ameen.

Jazakumullahu khairal jaza` kepada sekalian ikhwah akhawat di seantero bumi Malaysia yang begitu cepat bertindak, mengumpul dana sumbangan untuk dihulurkan kepada akhi Aizam sekeluarga.

Secebis kisah mengenai kemalangan ini boleh dilayari di blog Dr Khairol.

2 komen:

filzatul izzah said...

salam..kalau x silap ana ustaz ayub ni juga dikenali sebagai brother ayub kan?..ana ingat2 lupa coz masa ana kat kolej matrikulasi melaka (KMM) dulu ana pernah hadiri satu seminar yang mana semua jemputan adalah mualaf..yang ada masa tu 3 orang iaitu brother ayub, ann wan seng dan sorang lagi ana tak ingat..
kalau betul..alhamdulillah..

hisyam_mujahid said...

ya. betul la kot. tengok gambar tu muka sama tak?