1. Terdapat sebuah hadith yang menarik untuk dikongsikan kali ini. Sebuah hadith yang saya dapatkan dari kitab emas Riyadhus Shalihin himpunan al-Imam an-Nawawi rahimahullah, yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dalam Sunannya, dari sahabat Abu Umamah al-Bahili dan berstatus sohih.
2. Hadith tersebut ialah:
أنَا زَعِيمٌ بِبَيْتٍ فى رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإنْ كان مُحِقًّا وَبِبَيْتٍ فى وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإنْ كان مَازِحًا وَبِبَيْتٍ فى أعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ
Aku menjamin sebuah rumah di bawah syurga bagi sesiapa yang dapat meninggalkan perdebatan sekalipun dia benar, dan sebuah rumah di tengah syurga bagi sesiapa yang dapat meninggalkan kata-kata dusta sekalipun gurauan, dan sebuah rumah di bahagian atas syurga bagi sesiapa yang baik akhlaknya.
3. Sebuah hadith yang ringkas tapi mengandung manfaat yang sangat besar. Sebuah JAMINAN SYURGA bagi 3 jenis manusia. Tidakkah anda teruja?
4. Golongan pertama dijanjikan dengan sebuah rumah di BAWAH SYURGA... sekali lagi diulangi; sebuah rumah di BAWAH SYURGA, bagi yang dapat meninggalkan sikap suka berdebat yang sia-sia. Bunyi seperti mudah, tapi sebenarnya tidak semudah yang disangka. Antaranya kerana manusia kebiasaannya memang suka melibatkan diri dalam perdebatan:
Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan pelbagai cara dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya. (surah al-Kahfi; 18:54)
5. Kadang-kadang perdebatan ilmiah, tapi sehingga membawa kepada permusuhan. Seolah-olah hukum agama adalah sesuatu yang jumud. Pendapat lain semua diketepikan. Hanya rujukannya sahaja yang betul. Lagaknya bagai telah banyak kitab yang ditelaah, tetapi hakikatnya semangat mudanya lebih menonjolkan bahawa ilmunya begitu dangkal. Ilmu alat tidak diperdalami, tetapi gayanya bagaikan ulama mujtahid.
6. Kadang-kadang perdebatan kosong yang sengaja ditimbulkan, seolah-olah telah menjadi rutin harian, dan seolah-olah begitu seronok kalau dapat mencetuskan perang mulut sesama muslim. Bukan hanya berlaku dalam kalangan masyarakat awam, malah tidak terlepas mereka yang telah terlibat dalam gerak kerja dakwah sekian lama. Benda-benda yang asalnya kecil tapi diperbesarkan dan diperpanjangkan. Isu bola, isu makanan, malah isu kain baju pun nak diperdebatkan. Tidak rasakah bahawa kebiasaan tersebut hanya menguras masa dan tenaga para da’ie dengan sia-sia, sedangkan masih banyak tenaga dan buah fikiran mereka diperlukan dalam memikirkan strategi dakwah dan ubat bagi penyakit masyarakat.
7. Golongan kedua ialah mereka yang dapat meninggalkan ucapan-ucapan dusta walaupun hanya sekadar gurauan dan lawak jenaka. Mereka ini dijanjikan dengan sebuah rumah di TENGAH SYURGA... sekali lagi diulangi; sebuah rumah di TENGAH SYURGA! Apakah hati masih belum tertarik?
8. Dusta dalam kata-kata sangat diambil berat dalam Islam, sehingga sekadar gurauan pun merupakan sebuah larangan keras berdasarkan hadith ini. Hal ini kerana terbiasa dengan gurauan akan menyebabkan seseorang itu hilang sifat integriti dalam diri, lantas boleh membentuk jatidiri seseorang menjadi penipu yang licik. Lebih dari itu, menurut Imam al-Ghazali dalam suratnya kepada anak muridnya berjudul Ayyuhal Walad! (Wahai anak!), seorang yang terbiasa menipu boleh membawa kepada sikap pencuri, dan lebih teruk boleh menjadi seorang pembunuh!
9. Selain itu, larangan ini juga kerana menipu, sebagaimana diketahui umum adalah salah satu sifat munafiq. Kerana itu seorang mukmin sejati ditegah dari menghampirkan diri, apalagi membiasakan kehidupan dengan sifat golongan yang tercela ini:
Ada empat sifat, sesiapa yang ada padanya keempat-empat sifat tersebut dia adalah munafiq, dan sesiapa yang ada salah satu daripadanya, maka dia memiliki salah satu ciri munafiq sehinggalah dia meninggalkannya (iaitu) apabila diberi amanah dia mengkhianati, apabila bercakap dia berdusta, apabila membuat perjanjian dia menyalahi, dan apabila bermusuhan (bertengkar/berdebat) dia melampaui batas. (HR al-Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash)
10. Namun amat malang apabila kita melihat gejala yang amat membimbangkan sedang menular. Bohong yang sepatutnya hanya menjadi hiasan munafiq, telah cuba dibudayakan dalam masyarakat. Media memainkan peranan penting dalam hal ini. Sejak sekian lama, telah wujud rancangan seperti ‘Talian Hangit’ di stesen Hot FM, ‘Wakenabeb!’ di NTV7, dan beberapa rancangan lain yang seumpama. Apakah kesan rancangan seperti ini? Apakah minda terdidik menjadi lebih intelek? Atau lebih ramai kalangan yang suka mengenakan sesama rakan mereka. Fikir mereka ini hanya hiburan, sedangkan sebaliknya sifat munafiq sedang dipupuk dalam diri, wal ‘iyadzu billah. Akhirnya BOHONG bukan lagi sifat jelek yang perlu dijauhi, bahkan menjadi mainan yang menghiburkan hati. Tidakkah hati kita sedang sakit? Setiap golongan sejak dari kanak-kanak tadika sehingga kaum dewasa menikmati rancangan-rancangan seperti ini.
11. Akhirnya golongan ketiga yang mendapat jaminan SYURGA dari Rasulullah ialah golongan yang berakhlak mulia. Wah! Ringkas bunyinya. Namun jaminannya adalah yang paling hebat; sebuah rumah di ATAS SYURGA!!! Hebatnya jaminan tersebut sekurang-kurangnya memberi gambaran bahawa berakhlak mulia seperti yang dikehendaki Islam adalah lebih susah daripada dua sifat sebelum ini. Malah baginda Nabi menyebutnya secara umum, beerti akhlak mulia tersebut haruslah dari segenap segi, dan meresap jauh ke dalam hati.
12. Susahkah berakhlak mulia? Akhlak mulia hanyalah cerminan jatidiri yang memaknai matlamat setiap ibadah yang ALLAH fardhukan; solat, puasa, zakat dan haji yang menjadi rukun agama. Matlamatnya adalah membentuk insan yang mulia, luaran dan dalaman, dalam interaksi dengan manusia, juga dalam hubungan dengan ALLAH.
13. Ada orang yang telah lama dan tekun ibadahnya, namun masih lancang ketika berbicara sesama manusia. Ada orang yang hebat dakwahnya dan luas pengalamannya, namun masih kurang lapang dadanya terhadap gerak kerja dakwah orang lain. Ada orang yang ilmunya bagai lautan, namun begitu mudah menghukum manusia yang masih jahil tentang agama. Ada lagi orang yang telah lama dalam medan tarbiah, tapi masih kuat buruk sangka dalam dadanya. Wal ‘iyadzu billah, mudah-mudahan ALLAH menjauhkan kita dari semua sifat ini, dan membantu kita dalam memperbaiki diri yang serba kekurangan.
14. Rebutlah peluang yang ada. Jaminan telah diberi, jalan terbentang luas di hadapan, tinggal kita yang memilih, adakah mahu mengubah diri, atau masih selesa dengan peribadi yang sedia ada.


0 komen:
Post a Comment