Apa itu tarbiyah?
Saban hari membicarakan tentang tarbiyah dan kepentingannya, tapi apabila disoal tentang maksud tarbiyah, apa jawapan yang boleh diberi?
Menurut Dr Ali Abdul Halim Mahmud dalam buku beliau dengan judul terjemahan 'Perangkat-Perangkat Tarbiyah Ikhwanul Muslimin', mendefinisikan tarbiyah sebagai suatu cara ideal berinteraksi dengan manusia untuk mengubah mereka dari suatu keadaan kepada keadaan yang lebih baik.Berdasarkan definisi tersebut dapat difahami bahawa tarbiyah melibatkan hubungan sosial sesama manusia di sekeliling kita. Justeru manusia punya pelbagai ragam dan latar belakang tersendiri yang tidak boleh tidak perlu diberi perhatian sewaktu kita ingin melibatkan seseorang ke dalam jalan dakwah dan tarbiyah ini. Kita bukan mentarbiyah robot yang 100% akan mengikut segala cakap dan arahan kita. Tidak punya emosi dan perasaan, tidak punya akal fikiran, tidak punya tanggungan dan beban lain yang perlu diberi perhatian. Tapi kita mentarbiyah manusia!
Dalam membahaskan tentang tarbiyah, ada dua kata kunci penting iaitu tathwir dan taurith.
Tathwir ialah pengembangan. Ertinya tarbiyah bertujuan mengembangkan potensi seseorang yang mentarbiyah dan ditarbiyah. Setiap manusia punya potensi kebaikan dan kejahatan seperti yang ALLAH ungkapkan dalam surah asy-Syams; 91:7:
Maka KAMI ilhamkan kepada jiwa itu jalan fujur dan jalan taqwa.
Justeru tarbiyah bertujuan mengembangkan potensi taqwa mengatasi potensi dan kecenderungan berbuat dosa.
Selain itu, turut dikembangkan dan diberi perhatian ialah potensi dalam diri seseorang yang kadang-kadang menjadi kelebihan khusus bagi dirinya dan mendatangkan manfaat yang besar buat dakwah. Contohnya kebolehan seseorang dalam menulis, menyampaikan syarahan di hadapan ribuan manusia dan kebolehan mengendalikan sebuah kursus motivasi pelbagai peringkat umur dan status sosial masyarakat.
Manakala Taurith pula bermaksud pewarisan. Yakni tarbiyah ialah sebuah pewarisan ilmu dan amal. Kerana itulah wujudnya murabbi dan mutarabbi. Seorang murabbi BERKEWAJIPAN mewariskan bukan sekadar ilmu, tapi juga amal da'awi dan tarbawi kepada mutarabbinya. Kemudian mutarabbi tersebut juga lambat laun perlu menjadi murabbi kepada generasi seterusnya dan turut sama BERKEWAJIPAN mewariskan ilmu dan amal. Hal inilah yang bakal menjamin kelangsungan gerak kerja dakwah dan tarbiyah di sesuatu tempat.
Dalam menjalankan proses tarbiyah, pelbagai kendala perlu ditempuh. Pada masa yang sama juga beberapa fenomena sering berlaku akibat masalah yang menimpa. Ada halaqah yang tidak konsisten dilaksanakan, ada murabbi yang tidak mengambil berat perihal peribadi mutarabbi, ada murabbi yang tidak disiplin, tidak menepati masa, ada mutarabbi yang tidak menjaga ukhuwwah sesama ‘halaqah-mate’ yang lain, ada mutarabbi yang tidak menunjukkan minat untuk beramal jama’ie, dan lain-lain. Ringkasnya, ada masalah yang datang dari murabbi dan ada yang berpunca dari mutarabbi. Ada lagi fenomena yang berlaku akibat kendala dalaman, dan ada juga yang berpunca dari kendala luaran.
Salah satu masalah yang biasa berlaku ialah perlaksanaan sarana tarbiah tanpa memerhatikan objektif yang telah ditetapkan. Halaqah dilaksanakan kerana ‘paksaan’ murabbi, atau materi dakwah disampaikan hanya kerana ingin menghabiskan silibus, atau murabbi tidak tahu bagaimana menilai mutarabbi walaupun telah lebih setahun dihalaqahkan, atau program mabit yang sepatutnya menjadi sarana meningkatkan ruhiyyah dipenuhi dengan gelak ketawa dan perbincangan yang tidak ruhi. Akibatnya halaqah dan program tarbiah lain berjalan dengan konsisten, tapi pelaksana tarbiah a.k.a. murabbi tidak tahu apa target yang perlu dicapai ke atas anak halaqah.
Untuk mengatasi hal ini, setiap murabbi perlu menyedari bahawa setiap program tarbiah memiliki objektif tersendiri. Malah dalam mengendalikan halaqah juga punya target tertentu untuk setiap level yang perlu dicapai. Setiap mad’u yang diamanahkan kepada kita perlu ada arah dan hala tuju ke mana mahu dibawa. Seandainya murabbi mengabaikan perkara ini, maka masalah-masalah yang disebutkan di atas bakal muncul yang menghambat urusan pengendalian tarbiah setiap anggota halaqah tersebut.
Itulah yang disebut ‘tarbiyah bil ahdaf.’
TARBIYAH BIL AHDAF
Dalam Ikhwanul Muslimin, Tarbiyah bil Ahdaf (TBA), atau Tarbiyah berorientasikan objektif mula dipelopori oleh Syeikh Sobri Arafah sekitar tahun 90-an. Beliau ialah seorang tokoh yang terkenal dalam kalangan Ikhwan sebagai Abu ar-Ruhi (Bapa tarbiyah ruhiyah).
TBA bermaksud tarbiah yang mampu menterjemahkan setiap maklumat dan pengetahuan yang disampaikan kepada mewujudkan tingkah laku dan tindakan. Oleh itu apabila seorang mad’u mempelajari tentang iman, pelajaran tersebut benar-benar berbekas di hati sehingga terzahir kesan keimanan itu dalam kehidupannya. Apabila seorang mad’u mengetahui tentang kepentingan solat jamaah, ia akan berusaha sedaya upaya untuk menjaga tuntutan solat jamaah tersebut. Apabila seorang wanita yang asalnya kurang memerhatikan masalah aurat diberitahu tentang kewajipan memelihara aurat daripada pandangan liar lelaki ajnabi, maka ia akan berusaha memperelokkan tatacara pemakaiannya agar selari dengan kehendak Islam. Semuanya adalah kesan tarbiyah, tarbiyah yang berorientasikan objektif. Dan semuanya dicapai melalui pelbagai sarana tarbiyah yang ada samada halaqah, rehlah, mabit, pembacaan, daurah, dan lain-lain.
Lalu apakah objektif tarbiyah?
Objektif besarnya ialah setiap anggota tarbiyah mencapai muwasofat individu muslim yang 10!
Antara kepentingan penentuan objektif khusus dalam tarbiyah ialah membantu pemilihan bidang pelajaran dan mauduk materi tarbiyah yang sesuai, membantu pemilihan sarana tarbiyah yang terbaik dan paling sesuai berdasarkan objektif yang ingin dicapai, menjadikan proses penilaian lebih teliti, mudah dan sistematik, dan usaha setiap anggota tarbiyah digarap secara lebih intensif.
Tarbiyah perlu dilaksanakan secara sistematik. Bukan hanya hentam kromo tanpa perancangan. Kerana demikianlah proses tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah sehingga melahirkan generasi tangguh yang memahami, menghayati dan mengamalkan Islam secara teguh dan utuh dalam kehidupan. Mereka hidup untuk dan demi Islam, tidak rela seandainya Islam dinoda dan dihina. Objektif dan perancangan yang teliti perlu demi mengalahkan kebatilan yang juga berjalan dalam masyarakat dengan begitu strategik.
Ayuh tarbiyah! Tegakkanlah Islam dalam diri dan di atas muka bumi dengan tarbiyah. Adakah anda yakin tarbiyah mampu menyelesaikan pelbagai penyakit dalam masyarakat kini?


0 komen:
Post a Comment