Friday, September 24, 2010

Pernah ikuti slot muhasabah...?

Pernahkah anda mengikuti slot muhasabah dalam program-program Islamik yang pernah anda sertai? Bagaimana bentuk perlaksanaannya?


Saya masih ingat sewaktu di bangku sekolah menengah rendah, setiap kali saya terlibat sebagai peserta dalam kem ibadah yang dianjurkan pihak sekolah, biasanya akan ada slot muhasabah. Program-program tersebut dikendalikan oleh abang-abang senior, demikian juga slot muhasabah yang diadakan pada malam terakhir program. Slot muhasabah ini dimulakan dengan mengumpulkan para peserta dalam satu bilik besar dengan cahaya malap-malap. Kami akan ‘dipimpin’ oleh satu team abang senior untuk ‘melakukan kesalahan’, seperti disuruh membuat bising. Kemudian apabila keadaan menjadi ‘tidak terkawal’, satu team yang lain akan masuk untuk memulakan ‘muhasabah’. Bahagian pertama, kami akan dimarah habis-habisan; “Awat hangpa ikut ja cakap abang tu! Dia suruh buat bising, hangpa pun buat bising!”

Teruk benar kami dimarahi seolah-olah perbuatan tadi benar-benar satu dosa yang tak terampunkan!



Kemudian bahagian kedua, seorang senior akan mengajak kami supaya bermuhasabah terhadap diri dan apa yang telah kami lakukan selama ini. Mengenang kembali dosa-dosa yang kami lakukan kepada ibu ayah dan guru-guru. Begitu bijak dia memilih kata-kata dan mengawal intonasi suara sehingga sebahagian peserta ada yang menitiskan air mata. Keinsafan itu bertahan sehingga...

keluar daripada bilik gelap tadi! Yang lebih baik lagi ada yang mampu bertahan selama beberapa hari.

Itu metode tarbiah yang pernah saya terima, yang kemudian saya warisi pula dan teruskan tradisi itu ketika telah menginjak sedikit dewasa dan melangkah ke alam menengah atas, ketika generasi saya pula yang mengendalikan program untuk adik-adik. Namun adakah metode itu sangat sesuai dan berkesan?

Ada kisah lain lagi.

Sewaktu di alam menengah atas ini, generasi kami pula yang menggantikan senior memegang ‘tampuk pemerintahan’ dalam beberapa badan seperti badan dakwah, badan pengawas dan pimpinan asrama. Pernah suatu ketika suatu program diadakan oleh senior yang sudah memasuki alam universiti, untuk barisan pimpinan badan dakwah, muslimin dan muslimat. Dan saya adalah salah seorang yang terlibat sebagai peserta.

Kali ini programnya lebih ‘dahsyat’. Peraturan dan undang-undang sepanjang program lebih ketat. Almaklumlah, program untuk para pimpinan. Dan seperti dijangka, malam terakhir program akan diisi dengan slot muhasabah. Tapi bukan lagi menggunakan modul untuk adik-adik menengah rendah. Modul kali ini lebih advance. Malangnya banyak perkara yang benar-benar mengecewakan dan tidak saya setuju. Demikian juga para peserta yang lain.

Antaranya sewaktu program, para peserta diminta mengisi borang yang memuatkan beberapa soalan kefahaman fikrah dan diminta menyerahkannya setelah tamat program. Pada petang hari terakhir program, salah seorang AJK meminta borang tersebut daripada beberapa orang peserta. Kerana tsiqah dengan tindakan AJK, mereka memberikan sahaja borang itu tanpa banyak bicara. Namun lain pula yang terjadi.

Pada sebelah malamnya sewaktu slot muhasabah, kami dimarahi dengan teruk kerana kononnya AJK menemui beberapa set soalan yang diletakkan merata-rata. Sedangkan sebenarnya set soalan itu adalah yang diberikan kepada AJK yang memintanya pada waktu petang tadi. Apabila ditanya kepada AJK terbabit, beria-ia dia menafikan. Rupa-rupanya kesalahan-kesalahan kami sengaja ‘dicipta’ untuk dijadikan point untuk slot ini. Aduh! Apalah nasib badan!

Saya masih ingat lagi, program ini melibatkan barisan pimpinan muslimin dan muslimat. Beberapa aktiviti seperti slot pengisian disekalikan. Hal itu tidaklah menjadi masalah. Namun yang menjadi kejanggalan apabila sewaktu slot muhasabah turut disekalikan antara peserta muslimin dan muslimat. Malah pada sebahagian ketika, jika peserta muslimin melakukan kesalahan, peserta muslimat yang akan didenda. Demikian jika peserta muslimat yang tersalah, peserta muslimin yang akan kena padahnya. Sewaktu evaluasi, AJK menjelaskan bahawa hal tersebut adalah untuk membentuk wihdatul fikri, yakni kesatuan fikrah antara para pimpinan badan dakwah muslimin dan muslimat. Barulah kemudiannya kesatuan gerak kerja dapat duwujudkan. Aduh! Susah benar mahu menghasilkan sinergi gerak kerja. Perlu didenda dan dimaki hamun dahulu barulah kerjasama dapat diwujudkan!?

Itulah bentuk tarbiyah yang pernah saya terima...

Dalam program yang lain ketika saya di tingkatan empat, saya pernah mengikuti program pimpinan badan dakwah khusus untuk tingkatan empat. Seperti biasa, slot muhasabah adalah ramuan wajib yang tidak boleh dikesampingkan. Slot yang diadakan kali ini benar-benar meninggalkan kesan dan terpahat dalam ingatan saya sehingga ke hari ini. Tapi bukan kerana keberkasanan slot tersebut yang menimbulkan keinsafan, sebaliknya modul yang dilaksanakan terkesan bertentangan dengan Islam yang saya pelajari.

Slot muhasabah kali ini dikendalikan oleh seorang sahaja bekas senior sekolah saya yang ketika itu sedang menuntut di sebuah institusi tahfiz dalam negara. Pada malam tersebut kami para peserta dikumpulkan dalam sebuah bulatan besar. Lalu sesi ‘soal siasat’ pun dimulakan...


Antara soalan yang diajukan kepada saya, “Siapakah pengasas jemaah Ikhwanul Muslimin?”

Saya menjawab, “Hassan al-Banna.”

“Apakah nama penuh Hassan al-Banna?!”

“Hassan bin..., Hassan bin...,” Saya tidak yakin mahu menjawab soalan itu. Lalu dengan mudah senior tersebut berkata kepada rakan-rakan saya para peserta yang lain sambil tangannya menuding tajam ke arah saya, “Lihat! Inilah timbalan setiausaha antum!” (ketika itu saya memegang jawatan Timbalan Setiausaha Badan Dakwah, jawatan paling tinggi dalam kalangan pimpinan tingkatan empat).

Berdesing telinga saya mendengar cemuhan seperti itu. Mahu saja rasanya saya kenakan pukulan buku lima (atau mungkin sepuluh) kepada senior tersebut. Dimalukan dihadapan belasan peserta yang lain. Apakah ini metode tarbiyah warisan Rasulullah?!

Modul yang lain, dia tunjukkan salah seorang peserta, kemudian ditanyakan kelemahan peserta tersebut kepada peserta yang lain. Saya kehairanan. Setahu saya keaiban seorang muslim WAJIB ditutupi oleh muslim yang lain. Bukan dibuka di hadapan orang ramai. Apalagi jika bukan bertujuan untuk perbaikan. Malah jika tujuannya untuk memperbaiki sekalipun, bukan begitu etika yang diajar oleh Islam. Ataukah saya yang masih di alam sekolah menengah ketika itu belum sampai silibus seperti yang dipelajari oleh senior terbabit?

Ketika sampai giliran saya, saya ditanya, “Apakah kelemahan si fulan?” (sambil menunjukkan kepada salah seorang rakan saya).

Kerana berpegang dengan apa yang saya pelajari, yakni kewajipan menutup aib sesama muslim, saya hanya menjawab, “Tidak tahu!”

“Jadi apa yang kamu tahu?!” senior tersebut memarahi sambil merenung tajam ke arah saya. Saya hanya mendiamkan diri sambil menundukkan pandangan.

Kemudian saya pula yang menjadi subjek tumpuan, “Apa kelemahan dia?” soal senior tersebut kepada rakan-rakan saya yang lain.

Kebanyakkannya memberikan jawapan yang sama. Saya yakin mereka juga tidak bersetuju dengan kaedah yang entah dari belahan bumi mana diambil, tapi sekadar menjawab sepatah untuk mengelakkan dari dimarahi.

Itulah bentuk tarbiyah yang pernah saya terima...

Ketika menamatkan pengajian di alam persekolahan, saya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sains di kolej matrikulasi. Walaupun ketika di sekolah, bersemangat juga ingin menyambung pelajaran di tingkatan enam, mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang agama di Timur Tengah. Namun keputusan yang saya ambil bukanlah secara terburu-buru atau sekadar mengikut orang. Keputusan itu dibuat setelah melakukan solat istikharah.

Dan alhamdulillah, sehingga saat ini, saya merasakan keputusan itu adalah yang terbaik untuk saya antaranya kerana dengan melangkah masuk ke matrikulasilah saya dipertemukan dengan sistem tarbiyah yang benar dan lebih baik daripada yang saya terima daripada para senior ketika di bangku sekolah agama.

TARBIYAH SEBAGAI PROSES WARISAN

Tarbiyah adalah proses. Ia adalah proses pendidikan untuk membentuk jati diri seorang muslim. Tarbiyah juga adalah warisan. Ia diwariskan daripada generasi awal kepada generasi kemudian. Generasi kemudian mewariskan pula kepada generasi seterusnya. Warisan ini akan berterusan selagi matahari terbit dari sebelah timur. Kesinambungan generasi muslim mujahid adalah jaminan dari RABB semesta alam, dan kesinambungan tersebut adalah menerusi proses tarbiyah.

Seandainya dari awal lagi proses tarbiyah dimulakan dengan kefahaman Islam yang separa, atau disampaikan dengan kefahaman dan sarana yang salah, nescaya warisan proses ini akan terus berlaku untuk generasi seterusnya, dan seterusnya, dan seterusnya, sehinggalah masalah kefahaman itu dibetulkan semula. Seandainya saya masih lagi memahami dan melaksanakan tarbiyah itu sebagaimana yang saya terima dalam program-program sewaktu di bangku sekolah, nescaya seperti itu jugalah saya akan laksanakannya kepada generasi di bawah saya, dan mereka juga akan meneruskannya kepada generasi penerus mereka.

Bukanlah menyalahkan slot muhasabah. Ia masih boleh dilaksanakan jika modulnya diubah kepada yang lebih baik. Aktiviti marah-marah dan mencari salah bukanlah metode terbaik untuk mengubah peribadi seseorang. Saya juga pernah mengikuti slot muhasabah yang dikendalikan sekumpulan senior yang telah menuntut di IPT ketika itu, yang menggunakan modul yang lebih baik dan langsung tidak diselitkan dengan ungkapan marah atau caci maki. Slot muhasabah ketika itu dilaksanakan dengan penuh santai tapi padat berisi. Ketika itu barulah kesan yang diterima bertahan lebih lama. Namun saya juga tidak menafikan, berdasarkan perkongsian pengalaman dari rakan-rakan yang terlibat dalam pelbagai program motivasi remaja, kadang-kadang marah-marah itu perlu juga. Tapi tentu marah kerana Allah atas perkara yang PASTI, bukan mencari-cari kesalahan, apalagi MENCIPTA kesalahan peserta untuk dijadikan point muhasabah.

Saya sudah serik dengan modul program seperti itu. Keinsafannya tidak lama. Tapi marah, benci dan dendam yang terbuku di hati. Apa gunanya mengatasnamakan sesebuah program dengan title ‘Islam,’ apalagi program Badan Dakwah samada peringkat sekolah atau IPT, tapi impak negatif yang diterima peserta. Sedangkan program tarbiyah sepatutnya memberi kefahaman Islam yang benar dan kesan terhadap peserta yang positif dan bertahan lama.
________________________________________
Nota kaki

1. Dalam program pertama yang dikisahkan di atas, setelah slot muhasabah berakhir, kami menuju ke khemah masing-masing untuk tidur. Ketika itu waktu telah sangat lewat. Namun alhamdulillah dapat juga bangun untuk solat Subuh berjemaah pada awal waktu dengan diimamkan oleh rakan saya salah seorang peserta. Malangnya tiada seorangpun AJK yang kelihatan. Setelah selesai solat dan bacaan zikir al-Ma`thurat, barulah salah seorang AJK tertinggi datang ke tempat solat. Dengan mata yang masih merah, jelas kesan baru bangun tidur, dia berkata, “Kami nak tengok macam mana antum conduct sendiri solat jemaah.”

Pelik betul! Selama ini kami (ketika itu sudahpun tingkatan lima) memang telah terbiasa menjadi imam dan memimpin adik-adik dalam program-program. Apakah susah benar nak mengakui kelemahan hanya sekadar terlewat bangun tidur?!

2. Sewaktu di matrikulasi, saya pernah menghubungi salah seorang junior yang rapat dengan saya kerana saya pernah menjadi naqib usrah beliau. Ketika itu dia ialah salah seorang Exco tertinggi badan dakwah di sekolah. Sekadar menanyakan khabar berita dan perkembangan. Sewaktu dihubungi, mereka baru sahaja selesai mengikuti program untuk pimpinan seperti yang saya ceritakan dalam kisah pertama. Kepalang terkejutnya saya dan akhi Hafidz (juga merupakan bekas pelajar sekolah sama dengan saya, dan juga bekas Exco tertinggi badan dakwah) apabila dia menceritakan, salah satu aktiviti dalam program tersebut, setiap peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan setiap kumpulan terdiri daripada peserta muslimin dan muslimat. Mereka perlu melalui beberapa check point yang dijaga oleh AJK program. Dalam salah satu check point, mereka tidak dapat menjawab soalan yang dikemukan. Lalu apakah hukumannya? Setiap peserta dalam kumpulan tersebut, lelaki dan perempuan dikehendaki masuk ke dalam sungai!!!

Masih dengan alasan yang sama? Mahu mewujudkan wihdatul fikri dan wihdatul amal?

Tarbiyah dari manakah ini?

10 komen:

abu ridho said...

masih ingat satu siri muhasabah untuk pimpinan di daerah kelahiranku "Baling"..

Kami ditanya soalan demi soalan bertubi tubi..dan seperti biasa, kami tidak dapat menjawab..

Hukumannya

Muslimat yang dibelakang kami (kebetulan saya di barisan belakang) disuruh melangkah setapak demi setapak mendekat barisan muslimin paling belakang..

salah, langkah setapak..

sehinggalah lagi setapak mungkin muslimat akan bertembung dengan saya di belakang..

Hampir menangis pimpinan badan dakwah muslimat ini..saya menjadi gelisah..tidak pernah dihampiri perempuan sebegitu rapat..

Saya tidak faham rasionalnya hukuman ini

Bila ditanya, untuk 'wehdatul amal'..nanti kat IPT senang berurusan

PANAS!!

Saya bertanya ustaz..ustaz jawab

" babi ni haram, tak boleh makan, tapi kalau darurat, boleh la ambik sikit..tapi sikit saja untuk keperluan hidup, kalau perlu sangat bercampur muslimin dan muslimat untuk urusan penting, tak pa la, tapi jangan la ajar makan babi dari awal.."

Kembali kepada quran dan sunnah dalam menilai corak tarbiyah..

azarahman said...

pengalaman membuat salah menjadikan kita lebih menghargai perkara yang benar. Walaubagaimanapun salah tetap salah. sejujurnya ana memang tak setuju dengan metode dakwah warisan yang jumud di sekolah 'kita' dulu sejak dari awal dan itulah sebabnya ana tak aktif. sampai satu tahap ana skeptikal dengan kumpulan dakwah sehinggalah bertemu tarbiah di KMPK. Itu pun makan masa lama untuk membuka hati aktif dalam dakwah dan membersihkan fikrah . Alhamdulillah akhirnya berjaya dan semoga kita semua tsabat dalam jihad fi sabilillah.... amin

abu ridho said...

tu sisi pandang negatifnya..tapi sungguh pengalaman bersama mereka adalah pengalaman sangat berguna..positifnya ada bahkan mungkin lebih pada negatifnya..

teringat waktu abang2 badan dakwah MM bersusah payah datang ke Yan untuk buat usrah..membantu mengatur program untuk sekolah, keluar setiap minggu ke sekolah sekolah untuk buat 'tamrin',

masih ingat beberapa sesi muhasabah..adik adik sekolah menangis selepas kena muhasabah ..insaf, tak nak tinggal solat dan menghormati orang tua..

Juga saya pernah jadi urusetia untuk program pelajar tingk. 5 salah sebuah kolej di Kedah..masa tu kami ting. 4, dibuat di pantai merdeka..diorang ni panggil kami abang abang sepanjang program

..Petua guru

"kalau orang panggil abang, biar ja..jangan bagitau umur..nanti diorang lebih 'thiqah' dan mudah terima"

kebanyakan mereka ini tak pandai solat..selama 3 hari cuba diterapkan nilai nilai baik dan diajar solat..

ALhamdulillah, diakhir program, seperti biasa, ada sesi muhasabah, ramai yang sedar dan kami dapat banyak hadiah kenangan beserta surat ucapan terima kasih dari pelajar untuk 'abang abang ma'had'

Sampai sudah diorang tak tahu kami tingkatan 4, ingat kami mahasiswa Al- Azhar baru balik mesir..herm..

Banyak sekolah sekitar Kedah kami pergi untuk buat program. Memang badan Dakwah MM terkenal dan sering terima jemputan sekolah sekolah sekitar Kedah.Ramai juga pelajar hantar surat ke rumah saya..ucap terima kasih, ada juga ibu bapa yang menghubungi saya..

Sebenarnya pengalaman yang dicurahkan oleh 'abang abang ma'had' mahal harganya..dan pengalaman ini juga yang membentuk sebahagian karakter saya pada hari ini..

Terima Kasih kepada 'abang abang dan para asatiz badan dakwah MM'

hisyam_mujahid said...

buang yang keruh ambil yang jernih. yang ana cerita ni part yang keruh, cuma sekelumit berbanding part yang jernih. pergaulan dengan abang2 dan adik2 di maahad memang sangat kuat kesannya dalam peribadi. dok kat maahad boleh berkumpul dengan kumpulan yang menjaga solat, jaga iman, kurang buat benda2 merapu, hidup budaya ilmu, dan banyak lagi kelebihan yang takda kalau belajar kat sekolah lain. ana masih bangga dengan maahad.

dalam kesempatan lain kita cuba post pengalaman part yang jernih plak :) hafidz dan adli pun buat la satu dua post mengenang maahad. :D

cuma pengalaman yang keruh dinukilkan di sini utk ibrah bersama, dan dengan penuh harapan jugak kalau ada individu2 yang disebutkan dalam cerita ni membaca post ni. mudah2an ada manfaat utk semua.

betul kata adli, pengalaman buat salah menyebabkan kita amat sangat menghargai benda yang betul. ana rasa kita semua setuju kita sangat bersyukur dapat ikut tarbiyah sehingga hari ni. mudah2an kekal hingga titisan darah terakhir, ameen.

pandangan adli pun ada benarnya. masih banyak di luar sana yang skeptik dengan para da'ie, bukan kerana dakwah yang dibawa, tapi kerana SIKAP da'ie tu sendiri.

petikan bebas dari tulisan ust hasrizal: biarlah mad'u lari dari kita kerana bencikan dakwah, jangan lari kerana bencikan pendakwah.

wallahu a'lam.

azarahman said...

komen ana tak menggambarkan keseluruhan ma'had dan tak mungkin menggambarkan keseluruhan pun. Beberpa baris yang buruk perlu ada juga dalam sebuah karangan yang indah tentang sekolah kita.Namapun komen. Tapi komen hisyam dengan hafidz dah boleh buat artikel dah. Oh kena buat tribute dekat maktab mahmud ni...

hisyam_mujahid said...

faddhal! teruskan :D

ana menanti-nanti...

.sYaFiQ. said...

nice entry la akh..menarik gak cite ni..banyak ibrah leh dapat..Alhamdulillah,akhirnya bertemu jua dengan tarbiyyah yang sebenarnya..

hisyam_mujahid said...

syafiq: cerita menarik yek. pengalaman pahit tuh. :)

mudah2an bermanfaat utk semua amek iktibar.

Ustaz Nazmi said...

Salam...Sekadar mencelah...

- Itulah pengalaman yang kita dapat di Maahad..walaupun ada pro & kontra... sedikit sebanyak itulah yang "mencetus" sayangnya kita dengan Islam...

- Ana lagi kagum dgn bang pit dan abg syam...pernah rasa bagai2 pengalaman...penah jdi pimpinan...sedangkan ana tak lalu semua itu...

- Hampir 5 tahun terlibat dgn pgrm MTVC selepas keluar Maahad ini...Tak pernah sekalipun ana buat muhasabah dgn menggunakan method "PANAS-SEJUK" itu...

- Bukan tak setuju...cuma bila dah ada pengalaman jadi peserta...Ternyata..Itu bukan sebaiknya...

w'alam....

hisyam_mujahid said...

ustaz nazmi: walaupun tak sempat waktu d maahad, tapi pengalaman nta sekarang pun dah lagi banyak dari ana :)

tengok blog nta, banyak betul program motivasi yang nta kendali. ana pun kena menuntut dgn nta nih.

sama2 usaha utk yang terbaik. mungkin waktu maahad dulu abang2 senior buat macam tu sebab itu jugak la cara depa terima waktu jadi junior. mungkin sekarang dah berubah :)

p/s: MTVC tu apa?