Isu yang sedang diperkatakan sekarang, selain siasatan kes kematian almarhumah Datuk Sosilawati Lawiya beserta tiga yang lain (semoga Allah mengampunkan mereka dan menempatkan mereka dalam kalangan hamba-hamba NYA yang soleh) adalah tentang tindakan kumpulan pelampau Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) di Indonesia yang menyuarakan bantahan terhadap beberapa isu membabitkan pekerja Indonesia yang dianiaya di Malaysia. Malah mereka menyatakan niat mereka yang begitu keras konon akan menghalau semua warga Malaysia yang ada di Indonesia untuk pulang semula ke Malaysia. Mereka juga pernah mengepung kediaman Duta Besar Malaysia di Jakarta dan memberi kata dua supaya Duta berkenaan meninggalkan Indonesia.
Isunya berkisar tentang sikap majikan di Malaysia yang memperlakukan amah warga Indonesia dengan teruk sehingga ada yang dirogol, dipukul, diseterika dan pelbagai lagi perlakuan haiwani yang tidak mencerminkan sifat manusiawi. Masalahnya sikap yang melibatkan individu tersebut habis dikaitkan dengan kerajaan Malaysia dan semua warga Malaysia. Semua main pukul rata. Tidakkah hal ini begitu janggal? Adakah perbuatan individu dalam sesebuah organisasi apalagi sebuah negara mencerminkan sifat kesemua warga organisasi atau negara tersebut? Apabila berlaku kes bunuh, rompak dan ragut dalam sesebuah komuniti, adakah hal tersebut bermaksud semua unit dalam komuniti tersebut memiliki perangai yang sama? Apabila terpampang di dada akhbar berita seorang warga Indonesia ditangkap kerana mengedar dadah, adakah itu bermaksud semua warga Indonesia ialah pengedar dadah?! TENTU TIDAK! Lalu kenapa hal ini dibangkitkan dengan penuh emosional sehingga meninggalkan rasional di belakang?
Apabila sudah benci…
Tidak lama sebelum ini kita digemparkan dengan perancangan seorang paderi di gereja Florida yang ingin membakar naskhah al-Quran konon sebagai memperingati kekejaman umat Islam yang terlibat dalam tragedi ngeri 11 September 2001. Sedangkan mengikut laporan media perancangan tragedi jahat itu sangat besar kemungkinan dirancang oleh kaum Yahudi, dan hal tersebut telahpun tersebar dalam masyarakat. Jadi tragedi 11 September hanya dijadikan alasan semata-mata untuk menghalalkan perbuatan tidak bertamadun itu, untuk memanifestasikan kebencian mereka terhadap Islam.
Apabila sudah benci…
Di beberapa buah negara Eropah yang memiliki minoriti penduduk Islam, mereka dihalang oleh kerajaan daripada mendirikan masjid. Malah jika ada masjid, azan pula dilarang daripada dilaungkan menggunakan pembesar suara, lebih-lebih lagi pada waktu Subuh. Ada lagi negara yang malah menghalang kaum muslimat daripada memakai tudung dan purdah! Ironinya mereka begitu bangga melaungkan slogan kebebasan individu. Ke sana sini digembar gemburkan melalui pelbagai sarana media yang ada bahawa mereka ialah negara yang memperjuangkan hak setiap individu dan memberi kebebasan kepada semua komuniti dalam masyarakat. Lalu mengapa apabila menyentuh tentang Islam, pelbagai sekatan dikenakan untuk menghalang umatnya daripada mengamalkan Islam dengan sempurna?
Apabila sudah benci... rasional diketepi, syahwat dituruti, bisikan nafsu dipatuhi, sehingga buta mata hati. Pelbagai dalil dan alasan dicipta demi memuaskan nafsu diri dan membetulkan tindakan yang diambil walaupun bertentangan dengan norma manusiawi.
Suatu ketika, seorang akhi menemui saya dan menceritakan tentang seorang kawannya yang mempertikaikan ungkapan Hassan al-Banna yang menyebut dakwah Ikhwanul Muslimin ialah dakwah salafiyah, thoriqah sunniyah, hakikat sufiyah, lembaga politik, organisasi olahraga, organisasi ilmiah dan budaya, lembaga ekonomi dan pemikiran sosial. Ungkapan ini dimuatkan dalam risalah beliau, Da’watuna fi Thaurin Jadid; Dakwah Kita Pada Era Baru. Pertikaian kawan ikhwah tersebut berkisar pada kenapa perlu ada lapan pecahan sedangkan Islam hanya satu. Jika dakwah kepada Islam, cukuplah dengan satu, kenapa mesti lapan?
Aduh! Runsing jika difikirkan. Bukan runsing untuk mencari pencerahan, tapi runsing dan pening dengan sikap yang ditonjolkan. Sedangkan kawan beliau tersebut juga terlibat dalam membawa fikrah Islam. Yang dijelaskan oleh Hassan al-Banna dengan ungkapan tersebut ialah CIRI dakwah Ikhwan. Bukan bermaksud ada lapan versi Islam. Apakah susah untuk memahami definisi CIRI dalam Bahasa Melayu? Contohnya apabila kita menyebut perkataan ‘manusia’, ia adalah sejenis makhluk yang kita semua kenali (kerana kita adalah manusia!). Apabila kita sebut manusia memiliki dua tangan, dua kaki, hidung, mata, mulut dan telinga, adakah bermaksud kita mengatakan ada banyak versi dan jenis manusia?
Tentu tidak! Yang kita ingin sampaikan adalah CIRI makhluk yang bernama manusia tadi. Demikian dengan ungkapan Hassan al-Banna. Beliau bermaksud menjelaskan CIRI dakwah Ikhwanul Muslimin pada zaman tersebut yang telah wujud pelbagai jemaah Islam. Namun malangnya ada yang hanya menekankan aspek politik, ada yang hanya menekankan aspek menghidupkan sunnah, ada yang cuma memerhatikan masalah ekonomi umat Islam, ada yang cuma mendakwahkan masalah akhlak semata-mata dan sebagainya. Di tengah-tengah kewujudan pelbagai jemaah Islam yang mendakwahkan Islam secara separa, beliau ingin menjelaskan bahawa dakwah yang dibawa oleh Ikhwan adalah bersifat syumul.
Adakah benci yang mendasari ‘kesalahfahaman’ ini?
Kebencian kadang-kadang menutup mata kita daripada melihat perkara yang benar dan menilai sesuatu isu dengan rasional. Malah sehingga ada yang sanggup bermusuhan sesama sendiri. Lebih teruk daripada itu sehingga ada yang sanggup membid’ahkan dan menyesatkan orang lain hanya kerana tidak sefahaman.
Terakhir, ingatlah pesan Saidina Umar bin al-Khattab ini dan jauhilah kebencian yang berlebihan kerana khuatir kebencian itu sebenarnya adalah hasutan syaitan, “Janganlah kecintaanmu menjadi beban bagimu, dan janganlah kebencianmu menjadi hal yang membuatmu rugi.” (petikan dari buku Tazkiyatun Nafs, karangan Sa’id Hawwa).

0 komen:
Post a Comment