Tuesday, November 16, 2010

Salam 'Idul Adha

Hari Raya Idul Adha pada tahun ini jatuh pada 17 November. Iaitu esok (sewaktu artikel ini ditulis). Di masjid-masjid, musholla-musholla, di siaran televisyen dan di corong-corong radio sudah mula kedengaran pengkisahan pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim ‘alaihimus salam yang menjadi teras dan asal muasal ibadah haji dan ibadah korban. Mudah-mudahan ketaatan keluarga baginda kepada perintah Allah tanpa sebarang kata dua dan argumen dapat kita jadikan iktibar yang paling berharga dalam usaha kita untuk menjadi hamba Allah yang sejati. 


Coretan kali ini hanya ingin menyentuh dua perkara yang berkaitan, untuk tatapan kita semua:




TAKBIR

Takbir untuk ‘Idul Adha bermula pada pagi selepas Subuh 9 Zulhijjah hingga selepas Asar hari Tasyriq terakhir iaitu 13 Zulhijjah. Bermakna untuk tahun ini ia jatuh pada Subuh 16 November sehingga Asar 20 November. Ertinya hari ini kita sudah disunatkan memulakan laungan takbir raya. Masalah waktu memulakan takbir raya menjadi khilaf hatta dalam mazhab Syafie, namun Imam an-Nawawi, muhaqqiq mazhab Syafie menyebut bahawa pendapat ini (memulakan takbir selepas Subuh 9 Zulhijjah) adalah pendapat paling kuat. Demikian sebagaimana yang disebutkan dalam kitab al-Azkar.

Namun hal ini kurang disebarkan dalam masyarakat kita di Malaysia. Di sini, kita terikut-ikut dengan amalan takbir ‘Idul Fitr iaitu dimulakan selepas maghrib pada malam raya. Ertinya kebanyakan masjid dan surau akan memulakan takbir selepas maghrib 16 November. Walaupun pihak JAKIM telah memaklumkan hal ini dalam sebuah ruangan kecil dalam akhbar tempatan, namun mungkin tidak ramai yang terbaca atau perasan. Apalagi ketika ini kita sedang hangat dengan laporan harian perkembangan atlet kita di Sukan Asia ke-16. Mungkin pihak berwajib perlu memanjangkan perkara ini kepada pihak media penyiaran, memandangkan media penyiaran memainkan peranan sangat penting dalam menyampaikan sesuatu perkara kepada masyarakat marhaen di negara kita.

Tak percaya? Lihat sahaja penerimaan dan sanjungan yang diberikan masyarakat kepada para artis dan budaya hedonisme yang masuk ke dalam hati setiap individu di negara ini tanpa mengira batas umur apabila media ‘mendewakan’ artis-artis dalam dan luar negara. Artis yang terkenal di peringkat antarabangsa mengimani budaya gay, lesbian dan tarian berahi juga turut dijemput dan diberi kesempatan membuat persembahan di negara ini. Malah sebahagian artis turut diminta pendapat hatta dalam masalah agama! Jadi, kerana ‘kuasa’ sangat besar yang ada pada media, seharusnya ia digunakan untuk urusan agama yang jauh lebih mulia.

Wallahu a’lam. Tak pasti adakah menjadi kesalahan memulakan takbir lebih lewat sebagaimana yang biasa kita amalkan, apalagi ibadah takbir adalah ibadah sunat, namun bukankah yang paling baik adalah melaksanakan ibadah sebagaimana yang diajarkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, dan yang paling baik juga adalah kita mengejar-ngejar untuk melakukan ibadah yang lebih mendekati sunnah dan lebih disepakati oleh jumhur ulama.

KORBAN

Apakah kelebihan dan hikmah melaksanakan ibadah korban? Allah menyebut dalam al-Quran yang mafhumnya;

Daging (haiwan korban) dan darahnya itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah. Tetapi yang sampai kepada-Nya adalah ketakwaan kalian. (surah al-Hajj; 22:37)

Bagaimana perlaksanaannya?

Dari Abu Ya’la Syaddad bin Aus radhiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, Sesungguhnya Allah telah menetapkan (mewajibkan) berbuat ihsan dalam semua perkara. Maka apabila kalian mahu membunuh (dalam peperangan), bunuhlah dengan cara yang ihsan. Dan apabila kalian menyembelih (haiwan), maka sembelihlah dengan cara yang ihsan. Dan hendaklah seseorang dari kalian (yang hendak menyembelih) menajamkan pisaunya dan hendaklah merehatkan haiwan sembelihannya. (HR Muslim)

Hatta ketika ingin membunuh musuh dalam peperangan dengan kaum kuffar yang jelas menentang Islam, Islam menetapkan kewajipan supaya berlaku ihsan! Janganlah mendera dan menyakiti musuh sebelum membunuhnya, sebagaimana yang biasa dilakukan oleh kaum Yahudi ketika menyerbu masuk ke Baitul Maqdis, atau seperti puak Kristian Ortodoks ketika melakukan penghapusan umat Islam di Bosnea Hervegovena, atau seperti puak Barbar ketika masuk menakluki Kota Andalus.

Malah ketika ingin menyembelih haiwan korban juga Islam sangat menaruh perhatian! Berbuatlah ihsan wahai para penyembelih! Itu adalah seruan Islam yang mulia! Bagaimana berbuat ihsan dengan haiwan sembelihan? Rasulullah mengingatkan untuk menajamkan pisau supaya tidak menyakiti haiwan ketika ia disembelih, dan merebahkannya dengan baik dan dalam keadaan selesa agar ia terasa direhatkan.



Saya masih ingat sewaktu sambutan ‘Idul Adha beberapa tahun lalu di sebuah kolej di UNIMAS. Ada dua ekor lembu yang akan direbahkan selepas solat raya. Seekor jantan dan seekor betina. Ketika menyembelih korban pertama, lembu jantan yang berbadan besar, semua urusan begitu mudah daripada merebahkan lembu untuk disembelih sehinggalah ia disembelih. Namun apabila ingin menyembelih korban yang kedua, lembu betina yang berbadan jauh lebih kecil, urusannya begitu susah. Kami terpaksa mengejar lembu tersebut kerana ia berlari ‘merentas desa’ sekeliling kolej, meronta-ronta minta dilepaskan sehingga jenuh kami menariknya ke tempat sembelihan. Ada yang terjatuh dan terluka ketika berusaha menangkap lembu korban tersebut.

Mengapa demikian? Mungkin anda dapat mengagak. Kerana lembu jantan yang menjadi korban pertama tadi disembelih DI HADAPAN lembu yang bakal menjadi korban seterusnya. Bayangkan saja perasaannya. Saya masih tidak lupa titisan air mata lembu betina tersebut melihat ‘kawannya’ disembelih di hadapan batang hidungnya! Malah lembu betina itu begitu terkejut dan takut sampai terkencing! Tidakkah kita rasa bersalah apabila meninggalkan salah satu ajaran Islam yang ditunjukkan baginda Nabi? Sekurang-kurangnya sembelihlah kedua-dua korban tersebut pada waktu yang sama.

Mungkin beberapa hal yang disebutkan sekadar peringatan kita bersama. Salam ‘Idul Adha buat semua pembaca.

No comments: