Friday, January 14, 2011


Demi masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran, dan saling menasihati untuk kesabaran. (surah al-‘Asr; 103:1-3)

Menukilkan kata-kata imam asy-Syafie tentang surah ini, “Jika manusia memikirkan tentang surah al-‘Asr, nescaya surah itu sudah memadai untuk mereka.

Hanya surah ini sudah memadai…



1. Manusia akan terus berada dalam kerugian selama tidak ada padanya tiga sifat; BERIMAN, BERAMAL SOLEH dan BERPESAN-PESAN DENGAN KEBENARAN DAN KESABARAN, yakni BERDAKWAH. 

2. Kerana individu yang tiada padanya ketiga-tiga sifat tersebut, tidak akan banyak mengisi kehidupan sehariannya dengan perkara yang mendatangkan faedah yang besar. Bekalan perjalanannya ke akhirat esok tidak begitu dipedulikan kerana visi dan misi hidupnya adalah bermatlamat pendek sekadar kehidupan di dunia. Kerana itulah Allah menyebutnya sebagai golongan yang RUGI. 

3. Ciri pertama; BERIMAN – asas dalam kehidupan seorang muslim. Aqidah yang benar dan teguh adalah basis utama dan penentu nilai perjalanan hidup kita di sisi Allah Ta’ala.

4. Ciri kedua; BERAMAL SOLEH – sebagai petanda dan bukti dari keyakinan dan keteguhan aqidah. Iman bukan hanya ungkapan di lisan, tapi perlukan pembuktian melalui amal anggota badan. Di mana pun kita berada, kita tetap seorang mukmin! Mukminnya kita bukan sekadar di masjid ketika menghadiri solat jemaah dan tazkirah mingguan, tapi kita mukmin di dewan kuliah ketika pensyarah sedang mengajar dengan memberi sepenuh perhatian dan menghormati pensyarah. Kita mukmin ketika bersendirian di dalam bilik dengan tidak melakukan sebarang maksiat walaupun yakin tiada mata manusia yang sedang memerhatikan kita. Kita mukmin ketika di pasar yang dipenuhi pelbagai ragam manusia, dengan menjaga mata dan hati dari menikmati pemandangan-pemandangan yang tidak halal. Kita adalah mukmin di mana sahaja kita berada. Kita adalah mukmin dengan amal yang boleh dinilai dengan mata zahir. 

5. Ciri terakhir; BERPESAN-PESAN DENGAN KEBENARAN DAN KESABARAN – bagi seseorang yang melihat rakannya atau orang di sekitarnya berada dalam kelalaian dan hanyut dalam kegelapan jahiliyyah akan mengingatkan rakannya tersebut. Dengan itu jumlah manusia yang berada di luar lingkungan kehidupan Islami yang benar dapat dikurangkan. Demikian juga termasuk dalam tugas sebagai seorang khalifah di muka bumi. Ayat ini juga sebagai peringatan agar kita semua berperanan menyelamatkan umat manusia dari terlalai, di samping sentiasa berusaha memelihara diri kita sendiri. YA! Kita semua berperanan. Bukan hanya sibuk menuding jari ke sana ke mari. Dengan itu ciri ketiga ini juga ialah sebagai PENYELAMAT kepada umat manusia!

6. Apalagi yang diserukan oleh al-Quran? Melainkan keseluruhannya berkisar pada tiga perkara ini.

7. Surah ini sudah memadai… jika ditelusuri dan ditadabburi dengan benar.

Mari usahakan tiga ciri ini, agar kita jauh dari golongan yang rugi. Dan agar dapat membantu mereka yang masih berada dalam golongan yang RUGI untuk berhijrah menuju masuk ke dalam lingkungan golongan yang berUNTUNG.

Wallahul musta’an. Semoga Allah memudahkan…

1 comment:

azarahman said...

boleh juga rujuk buku Al-Munthalaq bab 7 untuk penjelasan tambahan berkaitan surah ini.