Monday, January 10, 2011

Gerakkan aku juga...

Ketika siang telah melabuhkan tirai, malam menjengah hari sebagai ganti. Ketika keletihan membaluti tubuh setelah seharian bekerja, minda, hati dan anggota minta hak untuk direhatkan. Lalu sang arjuna pun membaringkan kujuran badannya di atas peraduan, di samping isterinya yang tercinta. TUNGGU! Sebelum kalian melelapkan kelopak mata, ingatkan firman Sang Pencipta:

 


Sesungguhnya lelaki muslim dan wanita muslim, lelaki beriman dan wanita beriman, lelaki yang tetap dalam ketaatan dan wanita yang tetap dalam ketaatan, lelaki yang benar dan wanita yang benar, lelaki penyabar dan wanita penyabar, lelaki yang khusyu’ dan wanita yang khusyu’, lelaki yang bersedekah dan wanita yang bersedekah, lelaki yang berpuasa dan wanita yang berpuasa, lelaki yang memelihara kehormatannya dan wanita yang memelihara kehormatannya, lelaki yang berzikir kepada Allah sebanyak-banyaknya dan wanita yang berzikir kepada Allah sebanyak-banyaknya, Allah telah sediakan bagi mereka ampunan dan pahala yang besar. (surah al-Ahzab; 33:35)

Kemudian, ingatkan juga sabdaan mulia nan suci baginda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

إذا أيقظ الرجل من الليل فصليا أو صلى ركعتين جميعا كُتب فى الذاكرين والذاكرات

Apabila seorang lelaki membangunkan isterinya atau ahli keluarganya pada waktu malam, lalu solat kedua-duanya, atau dia (lelaki itu) solat dua rakaat berjemaah (bersama-sama keluarganya), maka ditulis kedua-duanya dalam golongan adz-dzakirin wa adz-dzakirat (lelaki yang berzikir kepada Allah sebanyak-banyaknya dan wanita yang berzikir kepada Allah sebanyak-banyaknya). (HR Abu Daud dengan isnad sohih, dari Abu Hurairah dan Abu Sa’id al-Khudri)

Dan ingatkan juga sebuah hadith lain yang tidak kurang hebatnya:

رحم الله رجلا قام من الليل فصلى وأيقظ امرأته فإن أبت نضح فى وجهها الماء. رحم الله امرأة قامت من الليل فصلت وأيقظت زوجها فإن أبى نضحت فى وجهه الماء.

Allah merahmati seorang lelaki yang bangun pada waktu malam kemudian solat dan membangunkan isterinya. Jika isterinya enggan (bangun), dia menyiramkan air ke mukanya. Dan Allah merahmati seorang wanita yang bangun pada waktu malam kemudian solat dan membangunkan suaminya. Jika suaminya enggan (bangun), dia menyiramkan air ke mukanya. (HR Abu Daud dari Abu Hurairah)

Lalu kini, setelah kalian mengingati semua itu, tidurlah dengan penuh ketenangan, dan sebelum melelapkan mata untuk ditemani mimpi nan indah, palingkan wajah anda kepada pasangan di sebelah. Dengan pandangan penuh kasih sayang, bisikkan ke telinganya, “Sayang, gerakkan ku juga untuk solat malam bersama.”

Rehatlah dan tidurlah dalam naungan rahmat-Nya, dalam rumah tangga muslim yang sedang kalian bina. Usahakan dan doakan ia berkekalan sehingga kalian dipertemukan semula dalam syurga-Nya.

Ameen…

No comments: